Cara Tanam Sawi Putih di Dalam Pasu / Polibeg di Rumah

cara tanam sawi putih bok choy pakchoy pasu bekas polibeg

Sawi putih adalah antara tanaman yang mudah ditanam di dalam pasu. Penjagaannya sama sahaja seperti kita menanam sawi hijau.

Maklumat botani

Nama biasa: Sawi putih,
Nama Inggeris: white bok choy
Nama saintifik: Brassica rapa L.
Keluarga: Cruciferae

Sawi putih mempunyai daun berwarna hijau dan batang berwarna putih. Sebab itulah sawi ini dinamakan sawi putih berbanding sawi hijau atau sawi bunga. Sama seperti saudara dalam keluarga sawi (cruciferae), sayur daun ini adalah tumbuhan semusim yang bermakna akan mati sebaik sahaja berbunga dan mengeluarkan biji benih.

Nak tahu apa kelebihan belajar botani tumbuhan? Jom baca penerangan saya Belajar Istilah Botani Untuk Noob.

Semai

Kita boleh memilih untuk menyemai terus biji sawi putih ke dalam pasu atau kita semai dahulu di dalam talam semaian. Mengikut pengalaman saya, elok lah kita semai dahulu dalam talam semaian. Satu lubang dengan 1-2 biji sahaja.

cara semai biji benih sayur talam semaian bekas
Penggunaan talam semaian yang berisi peatmoss lebih mudah untuk semaian biji benih sawi putih.

Isi penuh talam semian dengan media semaian seperti peat moss atau sabut kelapa hancur (cocopeat). Kemudian letak 1-2 biji benih. Tabur sedikit lagi media semaian bagi menutupi biji benih. Siram halus agar benih tidak terkeluar.

Biasanya sekitar 2-4 hari biji benih akan mula bercambah. Letak talam semaian di tempat ada cahaya matahari. Bibit yang bercambah akan menjadi tumbuh melidi jika kurang cahaya.

Tunggu sehingga ada 4-5 helai daun sebelum pindah ke dalam pasu.

Penyediaan Pasu

Sawi putih sesuai ditanam di dalam pasu bersaiz 30 cm diameter dan tinggi sekitar 25 cm. Manakala untuk polibeg boleh sekitar 14 inchi x 14 inchi ke atas.

Penyediaan pasu ini bukanlah sangat pada saiz pasu. Hal ini kerana jika kita guna botol minuman 500mL pun tetap boleh sawi putih tumbuh dengan bagus. Yang penting adalah pada bahagian menjaga kelembapan campuran tanah.

Campuran Tanah

Sawi putih adalah sayur yang suka dengan tanah kaya dengan bahan organik. Oleh itu eloklah kita membeli tanah campur yang kaya dengan bahan organik seperti tanah sawit atau tanah 3 dalam 1. Semua ini biasanya boleh kita beli di nurseri pokok.

Jika ingin menggunakan tanah hitam atau tanah bakar yang ada nurseri pokok jual, saya sarankan anda membuat sedikit penambahbaikan atas tanah tersebut. Tanah hitam tidak mengandungi bahan organik yang banyak. Oleh itu eloklah jika kita campurkan dengan kompos.

Saya sarankan anda beli vermikompos dan campurkan dengan 2 atau 3 nisbah 1. Contohnya 2 atau 3 pek tanah hitam campur bersama dengan 1 pek kompos. Gaul sehingga semua bahan sebati.

Jika ingin tahu lebih lanjut berkaitan campuran tanah ini, anda boleh lawati tulisan saya berkaitan membuat campuran tanah sendiri di sini.

emel kebun bandar

Pemindahan anak benih sawi

Setelah bekas tanaman dan campuran tanah siap disediakan, sudah masanya untuk memindahkan tanaman. Pastikan anak benih sudah mempunyai 4 hingga helai daun atau berumur 3 minggu selepas bercambah. Boleh baca tulisan saya untuk langkah demi langkah pemindahan anak benih sayur di sini.

Waktu terbaik pindah adalah lewat petang selepas asar ketika terik matahari mula turun. Siram dahulu anak benih dengan air sebelum pindah. Pindahkan secara berhati-hati agar akar pokok kurang tercedera.

Jika menggunakan talam semaian, cucuk di bawah talam semaian dengan lidi satay atau mana-mana batang kecil. Tanam bibit sawi separas dengan tanah.

Penjagaan Sawi Putih

Sawi putih seperti sayur berdaun lain memerlukan tanah yang sentiasa lembab. Oleh itu pastikan siraman dibuat dua kali sehari.

Sawi putih adalah sayur yang suka baja organik seperti kompos dan tahi ayam. Baja seminggu selepas pemindahan dilakukan. Dua minggu kemudian kita boleh baja lagi. Kuantiti paling sesuai adalah segenggam se pasu setiap kali pembajaan dibuat.

Jika anda sukakan baja kimia, anda boleh gunakan baja NPK hijau dengan kadar satu sudu makan (3-5g) sekali pembajaan. Ini bermula dengan seminggu selepas tanam dan dua minggu selepas tanam.

Untuk kawalan serangga perosak dan penyakit, saya sarankan kita gunakan cuka kayu dan racun organik buatan sendiri. Hal ini mampu mencegah tanaman kita daripada diserang serangga seperti lalat putih dan koya.

Tuai Sawi Putih

Sawi putih boleh dituai apabila mencecah umur 24-30 hari. Kita boleh tuai terus dengan menarik pokok dari tanah atau memotong pada pangkalnya.

Untuk jualan, saya biasa lihat petani menuai sekali akar. Selepas tuai mereka akan merendam sawi putih di dalam air bagi memastikan kesegarannya terjamin sehingga sampai ke tangan pembeli.

Video

Panduan video menanam sawi putih dalam bahasa tagalog.

Kesimpulan

Sawi putih adalah antara sayur berdaun yang senang ditanam di dalam pasu.

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!