Panduan Lengkap Tanam Cili Padi dalam Pasu / Polibeg di Rumah

Cara Tanam Cili Padi dalam pasu di Rumah Sendiri

Buah cili atau cabai adalah antara sayuran buah yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Hampir kebanyakan masakan tidak lengkap jika tidak dimasukkan cili. Jika kita pergi ke pasar tentunya akan nampak kebanyakan gerai sayur menjual cili.

Dari segi cara penanaman, pokok cili tidaklah rumit jika tahu cara yang betul.

Namun begitu, jika anda baru nak bermula berkebun di rumah, saya tidak sarankan mula dengan cili. Cuba dahulu dengan kangkung agar dapat kemahiran berkebun.

Maklumat Botani

Nama biasa: Cili padi, cabai burung, lada padi, cabe, cili kecil, cabe rawit
Nama Inggeris: Tabasco chili, tabasco pepper
Nama saintifik: Capsicum frutescens
Keluarga: Solanaceae

Cili padi adalah tumbuhan saka renek. Istilah saka di sini bermakna pokok cili boleh hidup lebih daripada setahun. Manakala renek bermakna ketinggian pokok cili paling tinggi pun boleh mencecah 1.5 meter sahaja.

Buah cili padi tumbuh dengan bontot buah menunjuk ke langit. Hal ini berbeza dengan buah cili merah yang keadaan rupanya menghala ke tanah. Kebanyakan varieti cili padi berwarna hijau ketika muda dan akan mula berwarna kemerah-merahan apabila mula masak.

Kalau anda ingin tahu lebih lanjut cara mudah membaca maklumat botani pokok, rujuk Belajar Istilah Botani Untuk Noob.

Varieti Cili

Terdapat dua varieti utama cili padi yang biasa ditanam di Malaysia secara komersil iaitu cili padi bara dan cili padi centil. Kedua-dua varieti ini menjadi pilihan utama kerana mampu mengeluarkan hasil yang sekata dan kurang diserang perosak dan penyakit.

Cili padi centil popular di negeri selatan Malaysia seperti Johor dan Melaka. Manakala petani di negeri-negeri selebihnya banyak menanam cili padi bara. Benih cili api bara ini dihasilkan oleh syarikat Panah Merah yang berasal daripada Indonesia.

Ramai pemula yang teruja menanam cili mendapati cili mereka kerinting sebaik sahaja berumur 3-4 minggu selepas bercambah. Hal ini dapat dikurangkan dengan penggunaan benih cili yang rintang penyakit dan serangan perosak.

Oleh itu, saya sarankan anda membeli benih cili berkualiti agar dapat kurangkan peratus kegagalan menanam cili.

Di sini senarai benih dan di mana hendak beli:

  1. Cili Padi Bara (beli sini)
  2. Cili Padi Centil (beli sini)
  3. Cili Padi Sakata (beli sini)

Bagaimana jika ada di antara anda tidak mahu membeli benih pula? Boleh gunakan benih cili padi yang dibeli dari pasar. Tiada masalah. Itulah kelebihan menanam di rumah. Kita boleh bereksperimen dengan apa yang ada.

emel kebun bandar

Semai Biji Cili

Amalan ladang oleh petani adalah menyemai cili di dalam talam semaian (beli sini) dahulu sebelum memindahkan terus ke atas batas. Kaedah ini kita boleh amalkan juga untuk penanaman di dalam pasu. Talam semaian tidak perlulah besar. Sekadar 10 lubang sudah memadai.

Jika anda tiada talam semaian, anda boleh gunakan pasu kecil atau apa-apa bekas sebagai bekas semaian.

Untuk medium semaian, saya biasanya menggunakan peatmoss (beli sini) atau pun sabut kelapa hancur dikenali juga sebagai cocopeat (beli sini). Kedua-dua bahan semaian ini sangat sesuai untuk semaian cili kerana mampu menyerap air yang banyak dan kadar kelembapan yang tinggi.

Selain daripada itu, anda boleh menyemai terus ke dalam jiffy 7 (beli sini).

Biji benih cili memakan masa sekitar 7 hingga 14 hari untuk bercambah. Lagi lama usia benih cili itu, lagi lama ia memakan masa untuk bercambah. Saya pernah menyemai cili geronong (beli sini) yang sudah disimpan selama setahun. Benih hanya bercambah sekitar 30 hari disemai!

Jika tanam menggunakan talam semaian, setelah bercambah, tunggu sehingga ada 5-7 helai daun iaitu sekitar 3 minggu selepas bercambah sebelum pindah ke dalam pasu.

Anak benih cili yang sudah bercambah setelah 10 hari di dalam talam semaian.

Setelah bercambah, kita boleh terus pindahkan ke dalam pasu kecil setiap satu benih. Pindah dengan hati-hati agar tidak rosak pucuk dan akar anak pokok cili. Setelah pemindahan, letak benih di tempat redup selama 7 hingga 10 hari agar tidak layu.

Penyediaan Pasu dan Campuran Tanah

Pokok cili sesuai ditanam pada pasu medium (🛒beli sini) saiz 25 cm diameter dan 30 cm tinggi ke atas. Manakala untuk polibeg 16 x 16 inci (🛒beli sini) adalah paling sesuai. Jika polybag kecil mungkin akan membantutkan tumbesaran pokok.

Pokok cili paling suka tanah yang kaya dengan bahan organik. Oleh itu campuran tanah yang kita guna mestilah mempunyai bahan organik yang berkualiti. Antara yang sesuai adalah tanah sawit (🛒beli sini) atau tanah kompos(🛒beli sini).

Selain itu, anda juga boleh gunakan tanah campur tiga dalam satu(🛒beli sini). Paling penting di sini adalah pembajaan. Rujuk pada bahagian pembajaan di bawah.

Saya gunakan campuran tanah atas, sekam bakar(🛒beli sini), kompos dan sabut kelapa hancur. Kalau anda ingin tahu lebih lanjut boleh baca penerangan saya Kaedah Campuran Tanah Untuk Pasu.

Pindah Dalam Pasu

Apabila bibit cili sudah mempunyai lima hingga tujuh helai daun, sudah tiba masanya untuk kita pindah ke dalam pasu lebih besar.

Apabila anak pokok cili ada sekitar 3-5 helai daun, iaitu dalam 3 minggu selepas bercambah boleh sudah dipindahkan ke dalam pasu.

Petua agar anak pokok tidak layu selepas pindah adalah dengan pindah di waktu petang selepas asar dan siram dahulu pasu kecil sebelum pindah.

Proses pemindahan ini mengganggu akar pokok cili. Oleh itu kita perlu biarkan pokok cili pulih dengan meletak di tempat redup selama lima hingga 7 hari. Kaedah lain adalah kita meletak jaring hitam🛒 di atas pasu.

Penjagaan Cili

Antara semua bahagian, bahagian penjagaan adalah bahagian yang paling penting untuk kita buat. Jika terlupa atau terlangkau boleh menyebabkan cili tumbuh kurang subur.

Penyiraman

Pokok cili padi memerlukan tanah yang sentiasa lembab agar ia dapat tumbuh dengan subur. Jika tanah dalam pasu kering, pokok boleh terbantut tumbesaran seterusnya mengeluarkan hasil yang sedikit.

Oleh itu pastikan kita menyiram sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kalau siram pula, pastikan siram sehingga air betul keluar dari bontot pasu. Ini barulah menandakan air betul diserap penuh dalam tanah campur.

Walaupun begitu, jangan terlebih siram pula. Jika tanah terlalu lembab, boleh mendatangkan penyakit pada akar pokok cili menyebabkan pokok kekal layu walaupun telah kita siram banyak kali.

Alatan yang sesuai untuk tugas ini tentunya tong siram (beli sini). Tong siram belilah mana yang sesuai dengan keperluan. Saya lelaki dan mampu mengangkat jumlah beban yang tinggi. Jadi saya memilih untuk membeli tong siram 12L. Mungkin jika anda wanita, eloklah beli mengikut kapasiti yang seuai dengan anda, mungkin 5L (beli sini)?

Jika risau tidak ada masa untuk menyiram, saya ada menulis panduan membuat siraman automatik. Rujuk, baca dan amalkan. Boleh?

Pembajaan Cili Padi

Pokok cili paling suka baja organik terutama baja kompos. Walaupun saya suka membuat sendiri kompos, saya yakin ada di antara kita yang tidak ada masa atau kawasan untuk membuat sendiri kompos. Oleh itu boleh la membeli baja organik. Saya sekarang menggunakan baja vermikompos (🛒beli sini). Memang berkesan untuk pokok cili.

Saya pernah mendengar tips oleh petani bahawa pokok cili sensitif dengan baja tahi ayam. Saya awalnya memang tidak begitu yakin dengan kenyataan tersebut. Saya buat tak endah lalu saya pun letaklah baja tahi ayam pada pokok cili. Setelah beberapa hari saya mendapati pokok cili saya mudah diserang serangga perosak seperti whiteflies dan afid.

Saya terfikir mengapa boleh jadi begini? Setelah membuat beberapa pembacaan, saya mendapati hal ini kerana baja tahi ayam tinggi dengan nitrogen. Nitrogen membuatkan pokok menghasilkan daun yang banyak. Nitrogen yang tinggi sesuai untuk sayuran daun seperti sawi dan kangkung adalah sesuai. Tetapi tidak sesuai untuk sayuran buah seperti cili.

Oleh sebab itu setelah meletak baja tahi ayam, pokok cili bertindakbalas dengan menghasilkan lebih banyak daun. Ini menyebabkan pokok cili menjadi pokok kegemaran untuk kepinding putih (whiteflies) dan afid datang menyerang.

Panduan saya mudah sahaja untuk pembajaan. Pertama, lihat jika ada label panduan pembajaan pada pek baja. Jika tiada, gunakan kaedah pembajaan umum yang saya berikan ini.

Baja pokok cili dua minggu sekali dengan segenggam kompos. Tabur keliling pasu. Pastikan tidak terkena pangkal pokok. Walaupun kompos tidak panas, tetapi kita mesti amalkan sikap berhati-hati ini.

Bagi yang ingin menggunakan baja kimia, gunakan baja NPK hijau (🛒beli sini) di awal 4 minggu penanaman. Dos satu sudu makan (5 g) setiap dua minggu sekali. Setelah itu gunakan baja NPK biru (🛒beli sini) pula dengan dos dan kekerapan yang sama.

Jika anda jenis suka guna satu jenis baja kimia sahaja, saya akan sarankan guna baja 888 (🛒beli sini). Baja ini bau seakan kopi dan sebab itu ada yang menggelarnya sebagai baja kopi. Dos adalah 1 sudu makan (5 g) setiap 2 minggu sekali.

Pastikan anda menabur baja jauh dari pangkal pokok sekurangnya 5 cm jauh. Apa-apa baja sifatnya panas. Jika terkena pada pangkal boleh menyebabkan batang melecur. Paling bagus kalau anda dapat gembur sekali tanah semasa membaja.

Tiang Sokongan

Setelah umur pokok 2 bulan, ketinggian pokok boleh mencecah sektiar 50 cm. Sebolehnya kita perlu membuat tiang sokongan di tepi pokok cili agar nanti pokok tidak tumbang dek tiupan angin. Saya sarankan guna pancang plastik ini (🛒beli sini). Lebih tahan lama dan boleh guna berulang kali.

Tiang sokongan atau pancang ini panjang 1 meter atau 3 kaki. Biar 30cm atau 1 kaki tenggelam ke dalam pasu. Batang utama diikat pada tiang sokongan. Saya cadangkan guna cable tie atau tali rafia.

Kawalan Serangga Perosak dan Penyakit

Ketahuilah jika anda pernah menanam cili anda pastikan tidak lari daripada daun cili menjadi kerinting. Betul tak?

Kalau kita belajar agronomi tumbuhan, tentunya pokok cili ini ada 101 macam perosak dan penyakit. Saya tidak mahu terangkan sangat pasal itu. Anda akan lihat lalat putih, afid, lalat buah, koya, kutu daun, bahkan siput babi menjadi masalah kepada pokok cili.

Resipi saya untuk kawalan mudah sahaja. Pertama, amalkan dengan menggunakan cuka kayu(🛒beli sini) sebagai semburan mingguan. Cukup sekadar sekali seminggu. Cuka kayu bertindak sebagai suplemen yang membantu meningkatkan kekuatan pokok melawan penyakit dan perosak. Jika ingin tahu lebih lanjut, boleh rujuk penulisan lengkap saya tentang cuka kayu.

Kedua, sembur dengan racun organik buatan sendiri. Hanya guna bawang putih dan cili padi pedas. Bau bawang putih tidak disukai oleh kebanyakan serangga perosak. Manakala pedas cili membuatkan serangga tidak senang duduk.

Setakat ini saya gunakan racun minyak semambu (🛒beli sini). Minyak mambu ini memang terkenal sebagai bahan yang mampu mengawal lebih 100 serangga perosak seperti kutu daun, kepinding putih dan kesing. Semburan 2 kali seminggu sudah memadai sebagai kawalan.

Masalah Penyakit Pokok Cili

Ada masalah seperti ini tak?

  • Bunga gugur
  • Daun kerinting
  • Buah gugur sebelum merah
  • Buah busuk

Cuba baca penulisan panjang lebar saya tentang ini di Masalah Utama Pokok Cili dan Cara Atasinya.

Petua Buah Banyak

Apabila cili mencapai ketinggian sekitar 15 cm atau mempunyai 6-8 helai daun, kita boleh mula mencantas pucuk cili. Pemangkasan pucuk cili di awal umur akan menggalakkan lebih banyak cabang muncul.

Menurut kajian oleh MARDI, pokok cili padi mengeluarkan hasil optimum dengan bilangan batang sebanyak lima hingga enam batang sepokok. Oleh itu, pastikan ada lima hingga enam batang sahaja termasuk batang utama pada pokok cili padi kita. Selebihnya kita pangkas dan buang.

Biarkan 5-6 cabang termasuk batang utama agar cili padi meriah mengeluarkan buah.

Mana-mana batang, daun, bunga dan buah cili yang kita cantas janganlah kita buang terus. Longgokkan di pangkal pokok. Ddeaun ini akan reput dan mengembalikan nutrien kepada pokok.

Amalkan ini, insya-Allah pokok cili anda akan sentiasa berbunga tanpa henti.

Kemudian, anda amalkan dengan semburan baja belacan. Saya serius. Baja belacan mampu membuatkan cili berbuah lebat. Tak percaya? Cuba dulu.

Selain itu, jika pokok cili sudah tidak mengeluarkan hasil yang banyak, anda boleh memangkas dahan cili yang tidak produktif. Ini akan menggalakkan pertumbuhan pucuk dan dahan baharu yang lebih produktif. Baja secukupnya setelah selesai pemangkasan.

Tuai Buah Cili

Pokok cili padi mengambil masa 65 hingga 75 hari selepas bercambah untuk mula mengeluarkan bunga. Manakala apabila putik buah menjadi, ia mengambil masa sekitar 15 hingga 20 hari untuk matang sebelum dituai. Buah cili berwarna hijau semasa muda dan berubah kemerahan apabila mula masak.

Untuk pastikan pokok cili sentiasa mengeluarkan bunga dan buah, pastikan petik sekali tangkai buah. Jika ada tangkai tertinggal di dahan, pokok cili akan memberi signal bahawa buah masih ada di pokok. Jadi pokok tidak akan mengeluarkan bunga lagi.

Satu satu pokok cabai burung mampu mengeluarkan hasil sekitar 1-2 kg buah per musim.

Walaupun pokok cili padi tergolong dalam kategori pokok saka, tetap kebanyakan petani menanam pokok cili padi maksimum selama 11 bulan sahaja. Hal ini kerana selepas 11 bulan penanaman, buah cili yang terhasil tidak lurus dan cantik rupanya. Perkara ini membuatkan harga buah cili tersebut akan menurun.

Walaupun begitu, jika kita tanam di rumah ia bukanlah satu masalah. Selagi pokok cili kita masih boleh mengeluarkan hasil selagi itulah kita boleh tuai. Cuma pastikan kita sentiasa memberi baja vermikompos (🛒beli sini) pada pokok cabe bagi memastikan pengeluaran bunga sentiasa ada.

Rumusan

Saya tahu menanam cili ini memang mudah. Menjaganya itu yang tinggi cabaran. Bagi yang cekal sahaja mampu untuk berjaya.

Saya berpesan kepada anda yang baca ini sampai habis. Jangan mengaku kalah. Cuba, cuba dan cuba. Di situlah nikmat dalam berkebun akan timbul. Sungguh. Moga panduan menanam cili di dalam pasu ini membuka mata dan memberi semangat untuk anda terus berkebun di rumah.

BONUS

Dapatkan ebook Panduan Lengkap Menanam Cili dalam Pasu. Dalam ebook ini saya ceritakan semua tentang menanam cili dari awal sampai habis.

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!