Simpan Benih dalam Peti Sejuk atau Freezer? Penerangan Mudah

Sebagai pekebun bandar, pasti ramai di antara kita yang suka mengumpul benih sendiri. Sama ada benih bendi dari tuaian lepas, atau biji durian dari kampung, rasanya sayang nak buang. Tapi, persoalan yang selalu timbul ialah: Di mana tempat terbaik untuk simpan benih-benih ini supaya tahan lama?

Ada yang kata simpan dalam peti sejuk biasa (chiller), ada juga kata kena bekukan dalam freezer. Sebelum anda simpan sebarangan, anda kena tahu rahsia penting ini – Bukan semua benih boleh disimpan dengan cara yang sama.

Jom kita rungkai mitos dan fakta tentang penyimpanan benih yang betul berdasarkan sains.

Kenapa Benih Cepat Rosak?

Sebelum kita cerita pasal peti sejuk, kita kena faham musuh utama benih. Benih akan cepat rosak disebabkan oleh dua perkara utama :

  • Kelembapan Tinggi: Ini musuh nombor satu. Jika benih lembap, kulat boleh tumbuh atau benih mungkin mula hidup dan bercambah sebelum waktunya.
  • Suhu Tinggi: Suhu panas mempercepatkan proses respirasi (pernafasan) benih, yang akhirnya menghabiskan tenaga simpanan dalam benih itu.

Jadi, matlamat utama simpanan adalah untuk pastikan benih sentiasa kering dan sejuk.

Mitos Peti Sejuk (Chiller) vs. Peti Beku (Freezer)

Ramai pekebun menyimpan benih dalam bahagian chiller (tempat simpan sayur biasa). Ini adalah langkah yang bijak terutamanya di Malaysia yang panas dan lembap. Suhu chiller biasanya sekitar 4°C, yang cukup untuk melambatkan kerosakan benih.

Tetapi, adakah freezer lebih baik?

Jawapannya: Ya, TAPI ada risiko besar.

Bank benih antarabangsa sememangnya menyimpan koleksi benih mereka dalam keadaan beku (sekitar -18°C) supaya tahan beratus tahun. Namun, untuk pekebun rumah, freezer boleh jadi perangkap maut .

Jika benih anda masih mempunyai kandungan air yang tinggi (belum cukup kering) dan anda masukkan ke dalam freezer, air di dalam sel benih akan membeku dan mengembang. Ini akan memecahkan dinding sel benih dan membunuh benih tersebut serta-merta.

Kenal Pasti Jenis Benih Anda: “Ortodoks” vs. “Rekalsitran”

Di sinilah ramai pekebun kita tersilap. Anda mesti tahu kategori benih anda sebelum tentukan cara simpannya. Dalam sains benih, ia terbahagi kepada dua:

Benih Ortodoks (Jenis Tahan Lasak)

Ini adalah jenis benih majoriti sayur-sayuran kita. Perkataan ortodoks itu melambangkan benih ini adalah benih yang mengikut normal yang sedia telah nenek moyang manusia beribu tahun buat. 80% biji benih adalah kategori ini.

Sifat: Boleh dikeringkan sehingga sangat kering (kadar air rendah) tanpa mati. Semakin sejuk disimpan, semakin lama ia tahan.

Cara Simpan: Sesuai dikeringkan dan disimpan dalam peti sejuk (chiller) atau freezer (jika betul-betul kering).

emel kebun bandar

Contoh: Cili, terung, bendi, sawi, bayam, tomato, jagung, kekacang.

Benih Rekalsitran (Jenis Degil)

Perkataan “recalcitrant” bermaksud degil atau keras kepala. Bibit jenis ini sangat sensitif unruk penyimpanan. Jenis ini melawan kepada benih ortodoks sebelum ini. Jika benih ortodoks mudah disimpan setelah dikeringkan, benih degil ini tidak seperti itu.

    Sifat: Ia MATI jika dikeringkan. Ia perlukan kelembapan tertentu untuk kekal hidup.

    Pantang Larang: JANGAN jemur kering sampai kecut dan JANGAN masuk freezer. Jika masuk freezer, air dalam benih akan beku dan benih mati.

    Cara Simpan: Susah disimpan lama. Terbaik adalah simpan dalam medium lembap (habuk kayu/cocopeat) pada suhu bilik atau sedikit sejuk (15°C – 20°C). Semai secepat mungkin.

    Contoh: Kebanyakan buah tropika kita seperti durian, manggis, rambutan, cempedak, nangka, dan tarap.

    Cara Simpan Benih yang Betul (Untuk Benih Ortodoks Sahaja)

    Jika anda simpan benih sayur (Ortodoks), ikut langkah ini:

    Keringkan Benih Sepenuhnya:

    Jemur benih di tempat berangin (bukan bawah matahari terik langsung) selama seminggu dua sehingga ia betul-betul kering.

    Gunakan Bekas Kedap Udara:

    Masukkan benih dalam beg plastik ziplock atau bekas kaca kecil. Pastikan tiada udara masuk untuk elak kelembapan peti sejuk meresap masuk. Tambah 1 paket kecil penyerap kelembapan seperti gel silika di dalam bekas tersebut.

    Simpan di peti sejuk:

    Untuk kegunaan biasa (1-3 tahun), simpan dalam peti sejuk biasa sudah memadai . Letak di bahagian belakang yang suhunya stabil, bukan di pintu peti sejuk. Hanya gunakan freezer jika anda pakar dan yakin benih itu 100% kering untuk simpanan 10 tahun ke atas.

    Kesimpulan

    Nak simpan benih Cili/Sawi? -> Keringkan, masuk bekas kedap udara, simpan dalam chiller.

    Nak simpan biji Durian? -> Jangan keringkan, jangan masuk peti sejuk lama-lama. Terus semai!

    Ingat, benih yang sihat bermula dari simpanan yang bijak. Selamat berkebun!

    Rujukan

    1. https://www.gardenmyths.com/storing-collected-seed-fridge-or-freezer/
    emel kebun bandar

    Izham Alias

    Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

    Tags

    Share

      Anda Mungkin Berminat:

      Inginkan Tips Berkebun Lagi?

      Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
      *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
      error: Content is protected !!