Cara Tanam Bayam Hijau Merah dalam Pasu / Polibeg

pelajar pertanian tuai kangkun bayam hijau daun bulat

Bayam adalah antara tanaman yang mudah ditanam selain daripada kangkung dan sawi hijau. Penjagaannya tidak rumit dari awal penanaman sehinggalah penuaian.

Bayam bukanlah spinach. Saya sendiri dahulu tertipu dengan cerita Popeye The Sailorman berkaitan spinach. Spinach yang Popeye makan itu adalah sayur yang berlainan dengan bayam Melayu kita makan.

Maklumat Botani

Nama Melayu: Bayam
Nama Inggeris: Amaranth,
Nama saintifik: Amaranthus spp.
Keluarga: Amaranthaceae

Terdapat pelbagai varieti bayam yang ditanam di Malaysia. Untuk bayam berwarna hijau, terdapat dua varieti iaitu bayam daun bulat dan bayam daun tirus. Manakala untuk bayam merah, hanya ada bayam daun bulat.

Selain daripada itu, terdapat juga bayam dwi-warna iaitu bayam variagated.

Walaupun terdapat pelbagai varieti, namun cara penanaman bayam semua adalah sama.

Kitaran hidup bayam adalah semusim yang bermaksud sebaik selesai sahaja menghasilkan biji benih, produktiviti bayam akan mula menurun dan akhirnya mati.

Semaian Benih

Biji benih bayam tergolong dalam jenis biji benih halus sama seperti biji benih sawi. Kalau kita perhatikan dengan teliti, biji benih bayam sedikit berkilat.

Harga biji benih bayam adalah relatif murah. Jadi untuk itu saya sarankan bayam benihnya disemai terus ke dalam pasu. Tidak perlu semai di dalam talam semaian dahulu seperti dalam kaedah semaian benih biasa.

Buat lubang sekitar 3-5 cm dalam dan taburkan sekitar 3-5 biji benih satu lubang. Sebelum penyiram, pastikan dikambus dahulu lubang tersebut.

Penyediaan Pasu

Bayam tidak cerewet dari segi saiz pasu. Mana-mana saiz pasu sekecil botol mineral 500 mL sudah memadai untuk ia hidup. Yang penting adalah pada campuran tanah yang kita gunakan.

Penyediaan Campuran Tanah

Bayam cukup suka pada tanah yang kaya dengan bahan organik. Oleh itu campuran tanah yang kita beli atau buat mestilah mengandungi bahan organik yang banyak terutama kompos. Gunakan tanah campur 3 dalam 1 ataupun jika inginkan lebih cabaran, anda boleh membuat sendiri campuran tanah dengan mengikut tips saya ini.

Penjagaan

Bayam perlu disiram dua kali sehari agar tanah di dalam pasu tidak kering tanah. Siram di awal pagi dan lewat petang. Bayam mampu bertahan maksimum 2 hari jika tanah kering. Jika hal ini berlaku, siram pasu secepat mungkin agar bayam dapat pulih daripada layu.

Untuk pembajaan, gunakan baja organik seperti baja tahi ayam sudah memadai. Tabur segenggam di awal penanaman iaitu selepas benih bercambah dan 2 minggu selepas itu.

emel kebun bandar

Jika ingin menggunakan baja kimia, gunakan baja NPK hijau 15-15-15 di awal penanaman dan 2 minggu seterus itu sebanyak 1 sudu makan per pasu setiap kali membaja.

Ketika membubuh baja, pastikan jarak sekitar 5 cm jauh dari pangkal anak pokok. Hal ini kerana apa-apa pun baja bersifat panas. Jika terkena pada batang pokok boleh menyebabkan lecur dan ada kemungkinan anak pokok mati akibat daripada kesan terkena baja.

Laksanakan penyiraman sebaik sahaja pembajaan selesai.

Perosak dan Penyakit

Pada asasnya, bayam jarang diserang perosak mahupun penyakit. Boleh dikatakan bayam adalah sayur daun yang paling mudah ditanam dengan kurang penyelenggaran. Jika ada pun, hanya sedikit sahaja dimakan belalang atau pun siput. Tetapi sebagai langkah selamat, ikuti strategi dan tips kawalan serangga perosak ini.

Tuai

Bayam boleh dituai setelah berumur sekitar 30 hari selepas bercambah. Terdapat dua cara untuk menuai bayam. Cara pertama adalah dengan mencabut bayam sekali akar.

pelajar pertanian tuai kangkun bayam hijau daun bulat
Bayam boleh dituai dengan mencabut terus sekali akarnya.

Selain itu, boleh juga dengan memotong batang bayam 5 cm dari pangkal dan meninggalkan akar sahaja di dalam pasu. Dengan ini, pucuk baharu boleh tumbuh. Jika anda ingin menggunakan kaedah kedua ini, harus ingat apabila selesai menuai batang dan daun perlulah anda memberi baja agar cepat pucuk baharu tumbuh.

Kelemahan kaedah ini adalah bayam yang muncul seterusnya akan lebih kecil batang dan daun walaupun betapa banyak baja yang anda berikan.

Penuaian bayam perlulah dibuat sebelum ia mula menghasilkan bunga dan biji benih. Jika tidak, rasa bayam akan berserat dan tidak enak untuk dibuat sayur.

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!