Bagi sesiapa yang ingin menanam sendiri sayur di rumah, kangkung adalah antara tanaman yang saya cadangkan untuk bermula. Hal ini kerana kangkung cepat tumbuh, kurang atau hampir tiada serangan perosak, mudah dijaga dan boleh dituai sekitar 25 hingga 30 hari selepas bercambah.
Kangkung memang mudah untuk dibeli di pasar atau kedai runcit. Namun, ada antara rakan-rakan saya tidak makan kangkung yang dijual kerana takut ada lintah atau telur serangga di dalam batang kangkung. Yelah, mungkin kangkung yang dijual itu diambil di tepi parit. Tetapi jika kita tanam sendiri, perkara seperti ini tidak akan ada.
Sama seperti sayur lain, khasiat kangkung mengandungi zat-zat yang sesuai untuk pertumbuhan manusia.
Sebelum kita pergi lebih jauh, suka saya nyatakan untuk kita belajar sedikit maklumat botani tentang kangkung.
Nama Melayu: Kangkung
Nama Inggeris: Water spinach
Nama saintifik: Ipomea aqutica
Keluarga: Convolvulaceae
Terdapat dua varieti kangkung yang ada ditanam di Malaysia iaitu kangkung daun lebar dan kangkung daun tirus. Bergantung kepada citarasa anda, saya lebih suka kangkung daun tirus. Rasanya lebih rangup dan manis. Manakala daun lebar lebih sesuai masak celur.
Kangkung boleh ditanam daripada bekas sekecil botol mineral 500mL sehinggalah pasu 5L. Kangkung tidak cerewet dengan saiz pasu asalkan media tanaman yang digunakan kaya dengan bahan organik.
Biasa satu pasu dengan diameter 30 cm, boleh ditanam sekitar 3 hingga 5 lubang per pasu. Kedalaman pasu boleh jadi 10 cm sehingga 30 cm. Jika pasu itu rendah, maka lebih keraplah kita perlu siram. Jika dalam, maka kuranglah kerja menyiram kita.
Kangkung tumbuh baik di atas campuran tanah yang kaya dengan bahan organik. Oleh itu jika kita menanam kangkung, eloklah lebihkan penggunaan bahan organik seperti kompos di dalam tanah campuran.
Campuran tanah ini boleh jadi kita beli di nurseri pokok atau kita boleh buat campuran sendiri. Bagi saya, jika ada masa dan kudrat, eloklah buat sendiri. Hasilnya lebih puas hati. Rujuk kaedah campuran tanah sendiri untuk maklumat lanjut.
Kangkung boleh ditanam menggunakan biji benih atau pun keratan batang. Untuk pertumbuhan dan hasil yang sekata eloklah kita tanam menggunakan biji benih. Harga biji benih kangkung tidaklah mahal. Sekitar RM2 per pek, boleh tanam lebih daripada 50 biji kangkung.
Walaupun begitu, jika anda ingin kan cabaran, anda boleh tanam menggunakan akar atau keratan yang anda dapat daripada kangkung yang dibeli di kedai runci Acheh. Cuma untuk sesiapa yang baru hendak mula menanam, kekal pada penanam menggunakan biji benih.
Setelah kita sediakan pasu dan tanah campur yang sesuai, boleh lah mula menyemai biji benih terus ke dalam pasu. Buat lubang sekitar 3-5 cm dalam. Jangan tanam terlalu dalam ataupun terlalu cetek. Jika terlalu cetek, nanti benih kangkung mungkin dimakan semut. Manakala jika terlalu dalam boleh jadi benih sukar untuk bercambah.
Biasanya saya gunakan satu ruas jaring kelingking sebagai ukuran untuk mencucuk di atas tanah sebagai lubang. Jarak antara lubang sekitar 10-15 cm.
Satu lubang boleh dimasukkan 2-3 biji benih kangkung. Biasanya benih kangkung mempunyai peratus percambahan yang tinggi. Saya sarankan lebih 1 biji satu lubang kerana kangkung tidak begitu bersaing semasa proses tumbesaran.
Biasanya dalam 2-3 hari selepas semaian, kita boleh nampak percambahan kangkung.
Kangkung hidup subur dengan cahaya matahari penuh. Walaupun begitu, jika di separa cahaya pun tetap kangkung boleh tumbuh subur. Sekurangnya 4-6 jam cahaya matahari sehari.
Jika pasu yang kita gunakan itu rendah (sekitar 10cm) maka perlu kerap siram agar tanah sentiasa lembab. Sekurangnya siram 2 kali sehari iaitu di pagi dan petang hari.
Kangkung yang sudah besar masih boleh bertahan jika 1-2 hari tidak mendapat air. Jika lebih daripada itu, kangkung akan layu dan seterusnya sukar untuk pulih kembali segar. Jika tanah kerap kering akibat kita terlupa siram hal ini boleh membantut tumbesaran kangkung. Jadi pastikan tanah dalam pasu sentiasa lembab.
Kangkung cukup suka dengan baja organik seperti tahi ayam dan kompos. Bubuh di awal penanam dan 2 minggu kemudian.
Tambah baja lagi jika anda menuai tanpa mencabut akarnya sekali.
Kangkung adalah tanaman yang kuat. Ia tidak mudah diserang penyakit dan perosak melainkan kita tidak memberi baja ataupun air yang secukupnya untuk tumbesaran kangkung yang subur.
Sebab itulah kangkung menjadi pilihan utama bagi saya untuk dicadangkan kepada newbie berkebun.
Setelah 30 hari bercambah, sudah tibanya masa untuk kita menuai kangkung. Terdapat dua cara untuk menuai kangkung.
Cara pertama yang biasa digunakan petani komersil adalah dengan mencabut kangkung berserta akarnya.
Cara kedua pula adalah dengan memotong sekitar 5 cm dari pangkal. Hal ini membolehkan kangkung tumbuh kembali. Jadi kita tidak perlu menanam lagi kangkung. Cuma kelemahan kaedah kedua ini adalah kangkung yang tumbuh itu akan lebih kecil saiz batang dan daunnya. Kita boleh tuai sehingga 3 kali dan selepas itu rupa kangkung yang terlalu kecil tidak sesuai untuk dibuat makan.
Bagi cara kedua, selepas kita tuai, eloklah kita menambah 2 genggam kompos.
Ini untuk sesiapa yang tiada idea kangkung boleh masak apa. Saya himpunkan dalam satu artikel. Senangkan? Ini hanya untuk idea. Kalau nak tahu lebih boleh google cara masak.
Kangkung masak belacan
Kangkung celur