
Sawi adalah antara tanaman yang mudah ditanam di dalam pasu sama seperti kangkung dan bayam. Penjagaan sawi tidaklah rumit. Hanya perlu memberi baja dan semburan racun organik berkala mampu membuat kita tersenyum menuai sawi.
Kali ini saya kongsikan cara tanam sawi dalam pasu untuk pembacaan semua.
Nama biasa: Sawi hijau, sawi bunga
Nama Inggeris: Mustard leaves
Nama saintifik: Brassica parachinensis
Keluarga: Cruciferae
Sawi adalah tumbuhan renek yang berbatang lembut dengan warna hijau keseluruhan batang dan daun. Kitaran hidup sawi hanyalah semusim yang bermaksud sawi akan mula mati selepas berbunga dan mengeluarkan biji benih.
Mengapa perlu tahu berkaitan botani sawi? Rujuk penulisan saya Belajar Istilah Botani Untuk Noob.
Terdapat dua kaedah yang boleh digunakan bagi menyemai biji benih sawi yang halus ini. Sama ada kita semai dahulu di bekas semaian dan kemudiannya pindah ke dalam pasu atau kita semai terus ke dalam pasu.
Berdasarkan pengalaman saya, eloklah kita mengikut cara pertama kerana itu lebih terjamin kejayaan penanam kita. Jika kita semai di dalam pasu terus ada kemungkinan sebaik bercambah benih dimakan oleh siput, beluncas atau belalang.
Selain itu, semaian di atas talam semaian membantu kita melihat perkembangan benih dengan lebih dekat berbanding kita menanam terus di dalam pasu. Kita ada kawalan penuh terhadap anak benih sawi disemai.
Media semaian yang biasa saya guna adalah peat moss. Tetapi jika tiada, anda boleh gunakan sabut kelapa hancur (cocopeat). Mana-mana yang mudah untuk anda dapat di tempat anda. Saya tidak menggunakan tanah kerana faktor kebanyakan tanah yang dijual mengandungi kulat yang mampu merosakkan anak benih yang baru bercambah.
Peatmoss dan cocopeat biasanya bebas kuman berbahaya untuk anak benih.
Penuhkan media semaian di dalam talam semaian. Buat sedikit lubang. Jangan dalam agar benih tidak terlalu tertanam dalam. Bubuh satu hingga dua benih satu lubang. Setelah itu tabur dengan sedikit media semaian lagi.
Untuk siraman, anda boleh memilih untuk rendam talam semaian ataupun siram dengan penyembur bertekanan tinggi. Siram sekali sehari sudah memadai. Kita mahu pastikan medium semaian lembab sahaja.
Biasanya benih sawi akan bercambah dalam dua hingga tiga hari. Apabila benih sudah bercambah, pastikan kita letak di tempat yang ada cahaya matahari yang cukup. Saya letak di tepi rumah dengan ada atap di atas bagi mengelak hujan. Anak benih akan terkena cahaya matahari di awal pagi.
Saya nak terang lebih tentang cahaya ini pun sedikit sukar sebab saya sendiri tidak berada di tempat anda. Apa yang saya boleh katakan, belajar dengan membuat. Cuba dahulu letak benih yang bercambah di tempat yang anda rasakan ada cahaya cukup. Jika benih tumbuh tinggi dan kurus sahaja, tanda kurang cahaya. Ubah dan letak di tempat yang ada cahaya matahari lagi.
Ini semua tentang kita belajar. Benih yang tumbuh melidi tersebut masih lagi boleh ditanam. Mungkin anda akan dapati ia akan sedikit layu jika terkena terus matahari. Cara pulihkan bibit begini boleh anda ikuti pada tulisan saya ini.
VIDEO: Cara Semai Benih Sayur Yang Betul
Persoalan selalu saya dapat, bilakah masa sesuai untuk pindah setelah benih bercambah? Tunggu sehingga ada empat hingga lima helai daun. Ketika ini akar pokok sudah kuat dan mampu menahan pergerakan yang banyak.
Jika terlalu awal kita pindah, akar benih mungkin terluka dan seterusnya menyebabkan anak benih mati. Jika ingin tahu lebih lanjut, boleh baca tulisan saya berkenaan pindah anak benih sayur ini.
Sawi sesuai ditanam di dalam pasu bersaiz 30 cm diameter dan tinggi 30 cm. Jika menggunakan polibeg, anda boleh gunakan saiz polibeg 16 inchi x 16 inchi. Polybag lebih besar lebih bagus.
Sawi cukup suka tanah yang kaya dengan bahan organik. Oleh itu paling sesuai jika menggunakan campuran tanah yang kaya dengan bahan organik seperti sabut kepala hancur (cocopeat) dan kompos.
Boleh guna tanah 3 dalam 1 yang ada dijual di nurseri pokok. Jika ingin gunakan tanah hitam, pastikan anda menggaul tanah hitam tersebut bersama dengan kompos dengan nisbah 2:1 iaitu 2 pek tanah hitam dan 1 pek kompos.
Selain itu, boleh gunakan tanah sawit yang dijual.
Manakala jika anda inginkan cabaran, boleh cuba buat campuran tanah sendiri seperti yang saya ajar di artikel ini.
Setelah cukup empat hingga lima helai daun, kita boleh mula pindahkan anak pokok ke dalam pasu.
Pindahkan dengan berhati-hati agar akar anak pokok kurang kerosakan. Setelah pindah, letak pasu di tempat redup.
Hal ini penting agar pokok dapat pulih daripada kejutan pemindahan. Yelah ketika pindah kita telah mengganggu akar pokok. Jadi ia memakan masa sekitar lima hingga sepuluh hari untuk akar pokok pulih.
Jika selepas proses pemindahan kita letak pasu terus di tempat panas, potensi untuk pokok sawi mati adalah tinggi.
Satu pasu sesuai dua hingga lima pokok sawi sahaja. Jika lebih daripada lima sudah dikira padat dan boleh menyebabkan berlaku persaingan antara sawi. Hal ini akan menyebabkan sawi tumbuh kurus dan tidak gemuk seperti di pasar.
Sawi adalah sayur yang sentiasa perlukan tanah yang lembab. Oleh itu, saya sarankan siram dua kali sehari iaitu di awal pagi dan pada lewat petang.
Untuk pembajaan, paling bagus untuk kita gunakan baja organik seperti kompos dan baja tahi ayam. Tabur dalam segenggam sebaik sahaja kita pindah bibit di dalam pasu. Kemudian tabur lagi segenggam dua minggu selepas itu. Cukup 2 kali pembajaan sahaja.
Jika anda suka guna baja kimia, anda boleh guna baja NPK hijau dengan kadar satu sudu makan sebaik sahaja selepas pindah. Kemudian selang dua minggu pula pada kadar yang sama. Cukup 2 kali pembajaan sahaja.
Panduan betul menabur baja adalah jauh daripada pangkal pokok. Hal ini kerana baja bersifat panas. Jika terkena pada pangkal anak pokok mungkin boleh membuatkan batang melecur dan seterusnya anak pokok sawi mati.
Cabaran sawi adalah pada serangan serangga perosak. Sawi paling digemari oleh pelbagai jenis serangga seperti beluncas, afid, lalat putih, koya dan juga belalang.
Paling mudah adalah dengan menyembur cuka kayu sebagai kawalan pencegahan. Selain itu, sembur juga dengan racun organik. Saya ada tunjuk cara membuat racun organik paling ringkas di sini. Semburan boleh dijalankan sebanyak seminggu sekali. Jika sudah terkena serangan, tingkatkan kekerapan semburan setiap hari sehinggalah serangan berkurangan atau hilang dan kembali kepada semburan seminggu sekali.
Sawi boleh dituai 24-30 hari selepas ditanam di dalam pasu. Cara tuai adalah dengan kita mencabut sawi terus dari pasu. Jika kita menuai dengan memotong sawi dari pangkal, akar sawi perlulah dicabut untuk penanaman seterusnya. Akar sawi tersebut boleh dijadikan sebagai salah satu bahan kompos.
Sepanjang sawi membesar, kita boleh menuai helaian daun sawi mengikut keperluan masakan di dapur. Tidak semestinya kita perlu menunggu sehingga pokok matang barulah tuai. Inilah kelebihan menanam sendiri sawi di rumah. Kita boleh tuai bila bila masa sahaja pada apa-apa peringkat pertumbuhan sawi.
Menanam sawi di dalam pasu tidaklah sesukar mana. Kita mulakan dengan menyemai dahulu di dalam talam semaian. Seterusnya pindah ke dalam pasu yang berisi campuran tanah berkualiti. Penjagaan seperti siraman, pembajaan dan kawalan racun perosak mampu menjadi sawi berkualiti.