Anak Pokok Asyik Layu Lepas Pindah? Ini Teknik ‘Pengerasan’ Wajib Buat

Saya seorang pembeli tegar tanaman di Shopee dan website boleh dipercayai. Tentunya saya ada pengalaman gagal menanam daripada pembelian saya ini. Saya nyatakan dulu kesilapan yang saya buat selepas tanaman sampai di rumah.

Kesilapan Selepas Beli Anak Pokok Online

Anak pokok sampai di rumah. Saya terus buka bungkusan. Selepas itu saya letak terus di hadapan laman. Apa terjadi adalah pokok tersebut layu. Sedar tak sedar selepas 2-3 minggu, terus kojol (mati) anak pokok itu. Ah sudah. Kerugian saya.

Saya beli anak pokok lain pula. Kali ini saya terus tanam di atas tanah selepas membuang polibeg/pasu. Esoknya saya lihat anak pokok itu layu. Saya jadi keliru. Bukankah tanah telah saya siram. Masih lembab. Tapi kenapa layu?

Usah risau semua masalah ini normal.

Sebab itu saya akan ceritakan pasal pengerasan. Ya kita ingin mengeraskan anak pokok kita itu walaupun pada dasarnya kita nampak pokok itu sendiri keras.

Ramai orang beli anak pokok dari nurseri atau secara online, lepas itu terus tanam sebab nampak “dah besar dan sihat”, sedangkan anak pokok itu biasanya datang dari keadaan lebih terlindung (kurang angin, kurang matahari terik) dan perlukan penyesuaian beransur-ansur.

Bila langkah pengerasan (hardening off) ini tak dibuat, anak pokok lebih mudah alami layu / kejutan pindah tanam (transplant shock) selepas dipindahkan ke persekitaran kebun yang lebih ekstrem.

Jika tidak dikendalikan dengan betul, anak pokok boleh mati. Apabila hal ini terjadi kita akan rasa kecewa dan merasakan bahawa kita ini mempunyai sifat tangan panas. Ahhh, jangan begitu.

3 kesilapan yang paling kerap berlaku

  • Terus tanam tanpa pengerasan: Anak pokok “terkejut” bila terus kena matahari/angin kuat; pengerasan sepatutnya dibuat secara berperingkat beberapa hari sebelum betul-betul ditanam. di lapangan.
  • Biar begitu sahaja dalam pasu asal: Kadang-kadang anak pokok dibiarkan dalam polibeg/pasu asal terlalu lama, akar jadi padat/berpusing dan ini boleh menjejaskan adaptasi bila akhirnya dipindahkan.
  • Terus pindah ke pasu lain tapi cara salah: Kesilapan paling mahal ialah mencederakan akar semasa mengalih (contoh tarik batang, goncang kuat, koyak bebola akar), sedangkan teknik pindah tanam yang baik adalah dengan mengurang gangguan akar. Kalau boleh akar langsung tak terganggu masa pindah.

Cara selesaikan masalah “terus tanam” dan akar cedera ialah buat 2 fasa:

  1. stabilkan anak pokok 2–7 hari dahulu di tempat redup
  2. pindah pasu/ubah tempat dengan teknik yang minimakan gangguan akar dan kurangkan stres cahaya/angin.

Pengerasan yang dibuat beransur-ansur sebelum pendedahan penuh sangat membantu kurangkan kejutan pindah tanam.

1) Bila baru sampai dari nurseri/online

  • Letak anak pokok di tempat terang tapi teduh (tiada matahari terik) selama 1–2 hari pertama. Contohnya di tepi balkoni atau garaj kereta.
  • Periksa kelembapan media: kalau kering sangat, siram sampai air keluar bawah dan biar toskan (jangan biar bertakung).
  • Buat pemeriksaan ringkas perosak/penyakit (bawah daun, pangkal batang) dan asingkan 3–5 hari jika perlu.

2) Pengerasan yang betul (supaya tak terkejut)

Mulakan dengan pendedahan singkat kepada luar (contoh 30–60 minit) dan tambah tempoh harian sedikit demi sedikit, bukan terus letak bawah matahari penuh.​

Jika cuaca panas terik atau hujan lebat, perlahan kan jadual pengerasan (konsisten lebih penting daripada cepat).

Atau nak paling mudah adalah selepas pemindahan, kita tutup anak pokok kita itu dengan jaring hitam 50-90% gelap.

Guna jaring hitam bagi menutup tanaman yang kita baru pindah ke atas tanah atau ke pasu lebih besar.

3) Keputusan: biar pasu asal atau terus pemasuan semula?

Guna panduan mudah ini:

  • Biar pasu asal sementara (3–7 hari) jika pokok nampak layu/lemah selepas perjalanan, atau media masih elok dan akar belum penuh.
  • Terus pemasuan semula jika akar sudah padat/pusing, media terlalu ringan/cepat kering, atau pokok senget tak stabil.

4) Teknik pindah pasu tanpa cedera akar

  • Buat pemindahan pada awal pagi atau lewat petang untuk kurangkan stres haba.
  • Siram dulu sebelum pindah (media lembap pegang akar lebih elok), dan elakkan tarik pada batang; cuba keluarkan bersama akar dan media dengan gangguan minimum.​
  • Jika akar berpusing padat, cukup lerai perlahan di bahagian luar (jangan koyak agresif); objektifnya bantu akar keluar ke media baru tanpa kejutan melampau.
  • Lepas tanam, tekan tanah sekitar pangkal sehingga padat (hilangkan poket udara besar), kemudian siram sampai air menyerap ke dalam media.
Pemadatan tanah sekitar pangkal anak pokok mampu mengurangkan gelembung udara sekitar akar pokok. Ini membantu pokok tidak tersedu untuk menyerap air dan nutrien dalam tanah.

5) 48 jam pertama (ini yang ramai terlepas pandang)

  • Beri teduhan 1–3 hari (contoh jaring hitam/letak bawah porch) dan elak angin kuat.
  • Pastikan lembap stabil—jangan biar kering kontang, tapi jangan juga bertakung.
  • Tahan diri daripada membaja. Fokus utama masa ini pemulihan akar dan penyesuaian. Pembajaan biasanya lebih selamat selepas pokok stabil iaitu sekitar 14-20 hari selepas pindah tanam.

Diharapkan panduan ini dapat membantu anda untuk berjaya melakukan pengerasan pada tanaman selepas pemindahan.

emel kebun bandar
emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!