Cara Kompos Sisa Makanan Guna Kaedah Bokashi Composting

Kompos bokashi ialah kaedah pengkomposan bahan organik secara anaerobik (tanpa oksigen) menggunakan dedak bokashi. Kaedah ini berbeza dengan kompos biasa yang mengurai sisa organik dengan kehadiran oksigen (aerobik).

Saya sendiri membuat kompos bokashi di rumah kerana sangat mudah untuk dilaksanakan. Hanya perlukan tiga bahan iaitu tong kedap udara, sisa makanan dan dedak bokashi. Sejak mengamalkan kaedah bokashi ini, rumah saya sudah tiada sampah basah. Hanya ada sampah kering. Memang memudahkan!

Apa itu bokashi composting?

Pada dasarnya, bokashi composting adalah kaedah penapaian bahan organik menggunakan bakteria bagus sebelum diurai oleh mikrob tanah selepas itu. Istilah bokashi (ぼかし) adalah perkataan Jepun yang bermakna ‘penapaian’ atau ‘penjerukan’.

Seperti nama kaedah ini, kita akan peram dahulu sisa makanan atau sisa dapur kita itu dengan dedak bokashi dalam tong kedap udara. Dedak bokashi ini adalah dedak yang dihuni pelbagai mikrob baik daripada EM1. Kaedah moden bokashi menggunakan dedak bokashi ini telah dimudahkan oleh Dr. Teruo Higa, seorang profesor dari Jepun pada awal 1980-an.

Beliau telah mencipta campuran pelbagai mikrob dalam satu larutan yang beliau namakan sebagai EM1 atau effective microorganism. Untuk pembacaan lanjut, boleh rujuk penulisan saya tentang kebaikan EM1 di sini.

Secara mudahnya, kompos bokashi adalah kaedah kompos anaerobik yang mengambil kemampuan bakteria daripada jalur-jalur tertentu yang mampu hidup tanpa oksigen. Hal ini berbeza dengan pengkomposan biasa yang bersifat aerobik iaitu memerlukan oksigen untuk mengurai bahan.

Secara teknikal, bokashi adalah penapaian atau penjerukan bahan organik. Rupa dan bau bahan organik bokashi ini adalah sama seperti kita membuat jeruk, yang kemudiannya kita akan tanam di kebun.

Sebab itu hasil akhir selepas keluar dari tong bokashi, sisa organik masih seperti rupa asal dan hanya berbeza dari segi warna dan bau. Hal ini berbeza dengan kaedah kompos biasa di mana hasil akhir adalah rupa gelap, kehitaman dan bau seakan tanah.

Kelebihan Bokashi

Kaedah kompos bokashi lebih bagus berbanding kompos biasa kerana:

  1. Lebih cepat berbanding kompos tradisional – Pengkomposan tradisional mengambil masa berbulan-bulan untuk mengurai bahan organik manakala bokashi hanya sekitar sebulan. 2 minggu untuk penjerukan, dan 2 minggu di dalam tanah.
  2. Bau yang menyenangkan – Semasa proses pembuatan bokashi ini, anda tidak akan mendapati bau busuk seperti sampah. Hanya ada bau seperti jeruk. Hal ini kerana bokashi dibuat dalam bekas kedap udara dan dibantu oleh mikrob baik menyebabkan bau bokashi hampir tiada.
  3. Kurang kerja penyelenggaraan – Kompos biasa perlu digaul setiap 3-5 hari sekali dan pastikan sentiasa lembab. Manakala bokashi hanya perlu pastikan cecair keluar dari tong selang beberapa hari.
  4. Tidak memakan ruang – Jika anda tinggal di rumah kecil atau rumah pangsa, tentunya bokashi sesuai untuk anda. Hanya satu tong diletakkan di tepi singki dapur sudah memadai.
  5. Boleh kompos sisa daging dan ikan – Tidak seperti kompos biasa yang melarang meletakkan sisa daging dan ikan kerana bau busuk dan akan menarik vermin seperti lipas dan tikus, bokashi mampu kendali kedua-dua jenis bahan ini dalam tong anaerobik.
  6. Cecair sihat untuk kebun – Sepanjang proses bokashi, kita perlu mengeluarkan air yang terkumpul di bahangian bawah tong setiap selang beberapa hari. Cecair ini digelar ‘teh bokashi’ sangat sesuai dicampurkan bersama air untuk disiram pada tanaman. Anda akan dapat lihat betapa subur pokok anda selepas dirawat dengan teh yang kaya dengan nutrien dan mikrob ini.

Perbezaan Ketara Bokashi dan Kompos

Walaupun kedua-dua kaedah pengkomposan ini mempunyai hasil yang sama pada penghujungnya tetap ada beberapa perbezaan ketara yang boleh kita lihat:

BokashiKompos
OksigenAnaerobik; bakteria dalam dedak bokashi memproses makanan dalam keadaan tanpa oksigenAerobik; bakteria dalam kompos perlu oksigen untuk mengurai bahan organik
MasaSekitar sebulan sahaja; 2 minggu penjerukan dan 2 minggu penguraian di dalam tanahMemakan masa berbulan-bulan sebelum menjadi kompos sepenuhnya
SelanggaraHanya perlu keluarkan air yang terkumpul di bontot tongPerlu jaga kelembapan, oksigen dan suhu
RuangBoleh dibuat guna tong 5-20 liter dan diletakkan di bawah, sebelah sinki atau berdekatan dapurPerlu sekurangnya ruang 1 meter per segi untuk meletakkan semua bahan organik
Bokashi vs Kompos

Bagaimana Cara Buat Kompos Bokashi?

Sedia untuk membuat bokashi kompos? Mari kita bermula dengan alatan dan bahan.

  • Tong 20L kedap udara – Jika anda baru nak bermula, eloklah saya sarankan beli sahaja tong 20L yang telah siap ditebuk. Hanya tinggal nak masukkan bahan sahaja ke dalamnya. Bukan apa, jangan jadi macam saya. Nak buat sendiri, tapi sampai ke sudah tidak siap. Eloklah beli je dulu. Ini link pembelian set tong bokashi.
  • Dedak bokashi – Dedak bokashi adalah dedak yang mengandungi pelbagai mikrob baik untuk mengurai sisa organik. Dedak ini jika anda beli sekali set, akan dapat percuma. Selain itu, anda boleh buat sendiri dedak bokashi ini atau beli asing. Ini link pembelian dedak bokashi.

Senang, bukan? Hanya perlukan dua benda ini anda boleh terus mula bokashi!

Setelah itu, anda pilih satu tempat di dapur anda untuk diletakkan tong bokashi ini. Saya sarankan berdekatan dengan sinki dapur.

Pada awal bokashi, tabur 1-2 sudu bokashi bran pada dasar tong. Kemudian masukkan sisa makanan sehingga 3-5 cm tinggi. Tabur lagi 2-3 sudu bran bokashi. Jika rajin, anda boleh gaulkan sisa makanan bersama dedak tadi. Jika tidak, boleh biarkan sahaja. Mikrob tahu cara mereka buat kerja mereka sendiri. Tekan sisa makanan agar padat selepas gaul. Kepadatan ini akan membantu proses anaerobik terhasil.

emel kebun bandar

Kemudian tutup rapat tong tersebut. Bahagian ini paling penting kerana mikrob bokashi bertindak dalam keadaan anaerobik. Tong kedap udara ini akan membantu mikrob dalam dedak memproses sisa makanan.

Ulang proses ini setiap kali anda memasukkan sisa makanan baharu.

Saya biasa akan menyediakan satu bekas untuk meletak segala sisa organik di atas sinki. Semua ahli keluarga saya akan buang sisa makanan di situ. Kemudian apabila malam hari saya akan kosongkan bekas tersebut dengan membuang semua ke dalam tong bokashi bersebelahan sinki dapur. Yang penting saya akan buat setiap 1-3 hari sekali sebelum sisa makana membusuk.

Apabila sisa makanan telah penuh, boleh letak di tempat lain untuk peraman berlangsung. Saya biasa akan menulis dengan pen marker pada atas tudung tong tarikh mula peraman berjalan dan tarikh siap peram. Dengan ini saya tidak akan mudah lupa bila perlu saya kosongkan tong.

Setelah 2 minggu peram, sisa tersebut boleh lah kita tanam di kebun. Korek berdekatan dengan tanaman kita dan tanam semua sisa bokashi itu. Selepas 2 minggu, anda boleh menanam pokok di atas tempat tersebut.

Mudah, bukan?

Untuk lebih mudah faham, anda juga boleh juga rujuk video asal bokashi yang telah saya terjemahkan.

Video penerangan tentang kompos bokashi

Kesimpulan

Bokashi kompos adalah salah satu kaedah pengkomposan yang ada. Sesiapa yang tinggal di rumah boleh membuatnya.

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!