Panduan Lengkap Menanam Cha-om (Ulam Daun Petai) di Rumah

cara tanam cha om daun petai ulam

Pokok ulam daun petai atau lebih dikenali sebagai cha-om, adalah tanaman yang popular di Asia Tenggara dan digunakan dalam pelbagai masakan tradisional terutama di Thailand dan Vietnam. Daunnya memiliki aroma yang menyerupai petai (Parkia speciosa), walaupun ia merupakan spesies yang berbeza. Berikut adalah panduan lengkap untuk menanam dan menjaga pokok cha-om di rumah supaya anda dapat menikmati hasil ulam yang subur.

Pengenalan Botani

Nama Saintifik/Botani: Senegalia pennata
Keluarga: Leguminoceae (kekacang)
Nama Melayu: ulam daun petai, cha-om
Nama Inggeris: climbing wattle

Senegalia pennata, juga dikenali sebagai “climbing wattle” atau cha-om, adalah pokok renek berduri kecil atau pohon kecil yang berasal dari keluarga Acacia. Kawasan asalnya meliputi Asia Tenggara, terutamanya di negara seperti Thailand, Myanmar, dan Vietnam. Tanaman ini mempunyai aroma yang unik bau seakan petai dan sedikit tajam yang akan menjadi lebih lembut setelah dimasak, serta terkenal kerana pucuk mudanya yang banyak digunakan dalam hidangan Asia Tenggara.

Penampilannya agak khas dengan daun halus seperti paku pakis. Daun-daunnya akan tertutup pada waktu malam dan bertindak balas terhadap sentuhan, serupa dengan pokok semalu. Walaupun ia adalah tanaman yang tahan lasak, duri-duri di batangnya menjadikannya agak mencabar untuk dituai tanpa perlindungan.

Pokok ini adalah antara pokok tahan kemarau.

Pembiakan

Pokok cha om paling mudah dibiakkan melalui keratan batang. Ambil kira kira 10-15 cm keratan batang dengan ada 3 hingga 5 mata tunas pada batang tersebut. Kemudian cucuk keratan tersebut ke dalam media semaian yang ada campuran tanah yang sesuai. Paling mudah guna sahaja tanah campur yang kita beli di nurseri pokok.

Saya cadangkan anda cucuk dalam polibeg saiz kecil. Jika tiada, boleh guna cawan plastik pakai buang dengan syarat telah ditebuk lubang pada bontot cawan tersebut bagi tujuan pengairan.

Cucuk sehingga satu per tiga keratan tenggelam di dalam media semaian. Padatkan media semaian dan akhir sekali siram. Keratan semaian ini perlu diletakkan tempat redup seperti di bawah bumbung bagi mengelakkan kering.

Sekitar 10-14 hari keratan akan mula mengeluarkan akar. Kalau kita guna cawan pakai buang itu, boleh lah kita lihat akar keluar di bahagian tepi cawan.

Ketika ini kita sudah boleh letak anak pokok di tempat yang ada cahaya mahatari penuh. Jangan letak lagi di bawah bumbung. Nanti anak pokok mati disebabkan tidak mendapat cahaya matahari yang cukup.

Tetapi perlu ingat bahawa semaian keratan ini jika kita tak jaga dengan betul mungkin boleh gagal. Saya ada pengalaman beli 10 keratan tetapi hanya 4 sahaja menjadi. Saya sarankan untuk pemula yang baru nak belajar menanam eloklah beli keratan tut.

Keratan tut

Apakah itu keratan tut? Tut adalah perbuatan membiakkan pokok dengan memaksa akar keluar pada batang pokok. Tut adalah pembiakan tampang (aseksual). Kita kelar pada batang pokok dengan membuang 3-5 cm kulit pokok pada kelaran tersebut. Seterusnya kita balut kawasan kelaran tersebut dengan media tanaman seperti tanah atau pun sabut kelapa hancur (cocopeat). Sekitar 20-30 hari balutan tersebut akan kita lihat keluar akar. Di sini lah di potong bahagian bawah kelaran tersebut dan ditanam di dalam polibeg.

Walaupun keratan tut sudah ada akar tetap kita perlu berhati-hati semasa pemindahan tanaman. Plastik pembalut perlu dipotong secara berhati-hati agar tidak melukakan akar yang masih tidak kuat itu.

Untuk pemindahan keratan tut tidak perlulah kita guna polibeg yang besar. Sekitar 4×6 inci sudah memadai. Atau cukup sekadar cawan pakai buang (telah ditebuk bontot untuk pengairan). Guna media semaian yang sesuai seperti yang saya katakan di sini.

emel kebun bandar

Untuk pemula tentunya saya cadangkan beli sahaja keratan tut (beli sini). Lebih berbaloi berbanding ingin mencuba nasib dengan semaian keratan. Kita perlu menghargai masa berbanding duit yang boleh dicari kemudian. Lagipun harga keratan dan tut tidaklah beza sangat. Ikuti langkah kelapan di bawah jika anda telah beli keratan tut.

Untuk lebih mudah bagi sesiapa yang ingin cuba tut pokok cha om ini, saya tunjukkan langkah demi langkah bergambar (diambil dari video sini):

cara tanam pokok ulam daun petai cha om thailand
1. Mula-mula pilih batang yang keras dan sihat. Kelar 3-5 cm panjang
cara tanam pokok ulam daun petai cha om thailand
2. Rupa kelaran yang terhasil.
cara tanam pokok ulam daun petai cha om thailand
3. Balut dengan sabut kelapa hancur (cocopeat)
4. Tekap keseluruhan kelaran tersebut
5. Ikat dengan tali rafia pada atas dan bawah bunjut
cara tanam pokok ulam daun petai cha om thailand
6. Setelah 20-30 hari akar mula kelihatan pada bunjut tanda tut menjadi.
7. Potong dengan gunting pemangkas di bawah bunjut yang sudah berakar
8. Buka dengan berhati-hati plastik bunjut akar tidak rosak akar
9. Pindah keratan ke dalam polibeg.
cara tanam pokok ulam daun petai cha om thailand
10. Jika keratan tut ada daun, cantas semua agar keratan dapat fokus pada perkembangan akar sahaja. Siram dan letak di tempat redup sehingga pucuk baharu keluar.

Jenis Tanah

Pokok ulam daun petai ini tidak lah cerewet. Mana-mana jenis tanah pokok ini boleh hidup. Yang penting diberi baja organik setiap minggu atau selang dua minggu sekali. Untuk baja, boleh terus ke bab pembajaan.

Pembajaan

Pokok ini tidaklah memerlukan baja yang banyak. Sekadar baja organik seperti tahi ayam sudah memadai. Tabur sekitar 1-2 genggam (10-30g) pada sekeliling pokok ini setiap minggu. Kemudian kambus dan lihatlah pokok cha-om ini kekal subur mengeluarkan pucuk baharu.

Jika anda ingin gunakan baja kimia saya akan sarankan guna baja NPK hijau (15/15/15) atau baja 888. Beri sekitar 1 sudu makan (5g) setiap bulan dengan menabur 5 cm dari pangkal batang.

Pemangkasan

Pemangkasan secara berkala membantu menggalakkan pertumbuhan yang lebih lebat dan menghasilkan lebih banyak pucuk muda yang paling sedap dimakan. Namun, berhati-hatilah semasa menuai kerana duri-durinya yang tajam. Menggunakan sarung tangan atau gunting pemangkas boleh memudahkan dan menjadikan prosesnya lebih selamat.

Pemangkasan penting untuk pokok cha-om bagi menggalakkan pengeluaran pucuk baharu. Pada awal tanam biarkan pokok tinggi sehingga 1 meter. Kemudian cantas ke 50-60 cm atau 2 kaki tinggi. Hal ini akan menggalakkan pengeluaran cabang baharu. Lebih banyak cabang, maka lebih banyak pucuk baharu akan keluar.

Guna alat pangkas yang betul seperti gunting pangkas. Elakkan guna parang yang akan merosakkan batang pokok ini.

Penanaman dalam pasu

Jika kita ingin menanam dalam pasu atau polibeg sahaja, cukup sekadar 2 batang maksimum bagi pasu saiz 30cm tinggi dengan diameter 30 cm juga atau polibeg 16×16 inci. Untuk skala rumah memadai menanam 2-3 pokok di dalam pasu. Anda boleh menuai sekitar 5-10 pucuk setiap 4-5 hari.

Jarak penanaman

Jika kita menanam atas batas, jarak paling sesuai adalah sekitar 50 cm antara pokok dan 1 meter antara baris. Perlu ingat bahawa pokok ini berduri. Jadi kita perlu menanam antara baris agak jauh agar pengurusan penanaman lebih bagus.

Kawalan perosak dan penyakit

Pokok ini tahan lasak dan jarang diserang mana-mana perosak dan penyakit. Mungkin sebab bau petai yang tengik?

Penuaian

Tentunya pucuk cha-om ini akan kita tuai. Daun tua terlalu liat dan keras untuk dibuat masakan. Manakalah pucuk elok lembut dan berbau seakan petai. Bahkan kalau kita makan, berak dan kencing kita bau seakan petai!

Petik pucuk baharu yang muncul. Satu pokok cha om dewasa boleh dituai sekitar 10-15 pucuk mengikut saiz pokok.

Kegunaan Cha-Om dalam Masakan

Salah satu sebab utama mengapa Senegalia pennata sangat digemari adalah kerana kepelbagaian penggunaannya dalam masakan. Daun cha-om mempunyai aroma kuat dan rasa unik, yang sering digambarkan sebagai sedikit sulfurik tetapi lazat. Rasa uniknya menjadikannya bahan tambahan popular dalam pelbagai hidangan Asia Tenggara. Berikut adalah beberapa cara tradisional menikmati cha-om:

  1. Telur dadar Cha-Om (Khai Jiao Cha-Om) – Hidangan klasik dari Thailand, omelet ini menggabungkan daun cha-om dengan telur, menghasilkan hidangan sampingan yang enak, sering dinikmati bersama nasi dan kari.
  2. Kari dan Sup – Cha-om sering ditambahkan ke dalam sup masam dan kari, di mana aroma dan teksturnya menambah kedalaman dan rasa yang rumit dalam hidangan.
  3. Ulam dan Hidangan Penapaian – Di beberapa tempat, daunnya dicelur atau sedikit diperam dan dijadikan sebagai ulam atau hidangan sampingan, sesuai dengan rasa pedas dan masam.

Kesimpulan

Pokok ulam daun petai ini tidak lah susah untuk ditanam di rumah. Sesiapa sahaja boleh tanam asalkan ada kemahuan di situ.

Rujukan

  1. Pembiakan tut cha om – https://www.youtube.com/watch?v=r_2CmmFDSlY
  2. Pembiakan keratan batang cha om – https://www.youtube.com/watch?v=uc0EfSzUeWk
emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!