16 Tip Berkesan Untuk Mula Tanam Sayur di Rumah Flat

Tanam Sayur di balkoni rumah flat apartment

Tinggal di rumah flat mempunyai cabarannya tersendiri untuk berkebun. Ruang terhad dan kurang cahaya matahari adalah dua faktor utama penjadi penghalang untuk kita mula tanam sayur di rumah flat.

Di sini saya kongsikan beberapa tips untuk tanam sayur di apartment atau pun rumah flat.

1) Cari Tempat Ada Cahaya

Cabaran utama tinggal di rumah flat adalah kekurangan cahaya matahari. Hal ini kita tidak dapat buat apa. Terima hakikat bahawa hidup di rumah flat tidak menjaminkan tempat kita bercucuk tanam sentiasa dapat cahaya.

Apa yang kita boleh buat adalah mencari lokasi di rumah sama ada di balkoni dapur atau hadapan rumah yang ada cahaya pagi atau petang.

Jika balkoni dapur kita menerima cahaya, ini satu peluang untuk kita berkebun. Cahaya sekitar empat hingga lima jam memadai untuk sayuran berdaun seperti kangkung, sawi, bayam, kailan dan herba.

Saya sarankan untuk anda bereksperimen dengan pelbagai jenis tanaman. Baca tips memilih tanaman yang saya terangkan di bawah. Cuba tanam dan lihat macam mana perkembangan pokok.

Jika benih tumbuh kurus melidi, ini tanda cahaya tidak cukup. Baca tip di bawah berkaitan cahaya tambahan.

Saya ada terangkan jumlah cahaya diperlukan untuk tanaman mengikut jenis. Ini sebagai panduan asas kepada kita. Teruskan bereksperimen.

Selain itu, perlu kita tahu bahawa sinar matahari akan berubah mengikut kitaran musim. Walaupun kita duduk di negara beriklim khatulistiwa, jangan ingat pancaran cahaya matahari tidak berubah tempat. Hal ini selari dengan perubahan waktu solat dalam Islam.

2) Pilih Bekas dan Medium Yang Ringan

Pilihlah pasu yang ringan dan mudah dibawa. Jangan lah kita nampak jualan murah pasu tanah liat, jadi kita pun ingin pergi memborong. Berhenti sejenak dan fikir dulu. Kalau kita letak pasu tanah liat itu di balkoni. Kemudian nak dijadikan cerita terjatuh. Nak dijadikan cerita lagi ada pula orang bawah tu. Aduh! Pening kepala kita pula selepas itu. Ini ada kaitan dengan tip saya yang terakhir.

Jadi nasihat saya, beli lah pasu plastik. Serius murah. Kita boleh dapatkan terus di kedai RM2. Sekarang kedai RM2 tumbuh bakkan cendawan. Pelbagai saiz yang ada.

Nak kreatif? Nah guna lah botol. Botol ni guna botol minuman atau gred makanan. Serius jangan guna botol bekas kimia contohnya botol bekas sabun cuci kain. Kalau untuk tanaman hiasan, mungkin boleh. Tapi untuk sayur? Fikir dua kali.

Untuk media pasu, kalau baca penulisan saya berkaitan media tanaman dalam pasu, tentunya saya menyarankan penggunaan pasir sebagai salah satu media tanaman. Tetapi itu jika tanam di rumah atas tanah. Bagaimana pula bagi orang yang bercucuk tanam di rumah atas awan? Pilihan terbaik adalah menggunakan campuran medium yang ringan.

Antara bahan yang sering digunakan dalam campuran tanah adalah pasir. Pasir boleh digantikan dengan sekam bakar, perlit ataupun vermikulit.

emel kebun bandar

Jika ke kedai pertanian atau nurseri pokok, kita pilih media yang ringan. Biasanya tanah campur 6 in 1 sesuai.

3) Lapik Pasu

Lapik pasu ini antara perkara penting. Terutama kita yang tinggal di tingkat atas. Kasihan jiran apabila ada air menitik dari atas. Apatah lagi jika kita ada pasu di hadapan rumah.

Tambahan lapik pasu mengelakkan air mengalir di atas lantai.

Walaupun begitu, silalah keringkan air di lapik takungan itu setiap hari atau dua-tiga kali seminggu. Kita tidak mahu mengundang nyamuk untuk bertelur pula.

4) Tanam Secara Bertingkat (Vertikal)

Tanaman bertingkat dapat mengatasi masalah ruang terhad. Boleh mula beli rak bertingkat untuk letak pasu. Tidak perlulah tinggi. Sekitar 2-3 tingkat memadai.

Mana nak dapat? Cuba lihat di Shopee atau Lazada. Atau pergilah Tesco. Biasa saya nampak pasaraya ini buat jualan. Harga bermula RM50 sehinggalah RM200.

Jenis rak ini pilih yang besi. Jangan kayu macam plywood sebab mudah kembung jika terkena air.

5) Cahaya tambahan

Penggunaan cahaya tambahan boleh digunakan bagi menguatkan tumbusaran pokok. Sekarang kita boleh beli di shopee/lazada cahaya khas untuk tumbuhan.

Beli yang jenis LED. Jarak pula tidak boleh lebih 30-45 cm. Sebab semakin jauh cahaya, semakin kuang keamatan cahaya. Apabila kuran keamatan cahaya, maka kuranglah kesan cahaya pada pokok.

Sebab itu bersyukurlah kita ada cahaya matahari.

6) Sayur Sesuai Tanam

Pertama, cuba yang mudah bagi yang baru nak mula. Itu pesan saya seperti saya pesan di Cara Bermula Berkebun Untuk Newbie. Serius. Jangan pilih yang susah.

Kedua, pilih sayur yang sesuai. Jika sudah tahu balkoni kita kurang cahaya, cuba lah tanam tanaman yang boleh hidup dalam keadaan redup.

7) Baja Bebas Bau Busuk

Rumah flat sifatnya dekat dekat. Jika kita menjerit, pastinya jiran mudah mendengar. Apatah lagi jika ada bau busuk yang mampu mengganggu jiran.

Pilih baja yang sifatnya tidak busuk. Kita boleh memilih baja kimia atau pun baja organik seperti kompos atau tinja haiwan yang telah diproses.

Tidak sesuai untuk kita buat baja organik yang sifatnya berbau busuk seperti baja rumput.

8) Hidroponik – Tanam Tanpa Tanah

Kalau tips di atas semua berkisar tentang tanah, ini pula berkaitan tanpa tanah. Hidroponik adalah kaedah menanam tanpa tanah. Kaedah ini sangat sesuai untuk sesiapa yang tidak mahu rumahnya kotor dengan tanah.

Bagi yang tiada pengalaman, boleh mulakan dengan menanam salad secara hidroponik. Hanya perlukan bekas, span, biji benih, air dan baja hidroponik (baja AB).

Peringatan, hidroponik ini boleh mengundang jejentik jika kita tidak tutup betul bekasnya.

9) Jaring Kalis Kucing

Kucing pun boleh jadi masalah. Kucing kita tentunya tidak. Tetapi kucing jiran. Kalau tak jiran, kucing jalanan. Ia berak dan kencing di dalam pasu.

Pertama, bau serius busuk. Kedua, kencing serius lagi busuk. Ahhh. Geram.

Atasi dengan pasang jaring di dalam pasu. Terpaksa la melabur lebih kan? Ye lah kalau orang atas tanah cabarannya mungkin monyet dan babi hutan. Yang kita ini kucing je. Rileks. Boleh kawal lagi.

Berbau? Cuba sembur dengan cecair EM. EM atau effective microorganisms ini boleh kita buat sendiri atau beli. EM adalah mikrob baik yang mampu menghilangkan bau busuk seperti najis atau sampah. Kalau tiada masa buat, nah beli je cuka kayu saya jual. Guna sikit, tapi kesan, masya-Allah lega di hati.

10) Siraman automatik

Mengaku sahajalah bahawa kita berkebun ini ikut musim (atau lebih dikenali mood). Biasalah mood ini ada turun, ada naik. Kadang ada mood nak siram. Kadang tu balik kerja penat sangat. Tak terlayan pokok. Nak siram pun macam malas.

Ini belum masuk lagi masa cuti raya atau cuti sekolah anak-anak. Tak keruan nak tinggal pokok di rumah.

Jadi eloklah kita amalkan sistem siraman automatik. Sama ada kita guna botol-botol plastik atau pun kita gunakan pemasa yang boleh dipasang terus ke paip.

11) Bina Kebun Komuniti

Jika sukar sangat untuk berkebun di rumah, apa kata bina kebun komuniti? Saya yakin ada ruang sedikit di sekitar rumah flat kita untuk bina kebun bersama.

Contohnya Encik Rizal yang berjaya menghidupkan kebun komuniti di Puchong.

Ini boleh disuarakan di mesyuarat Rukun Tetangga. Paling penting adalah mencari seorang ketua yang mampu menggalas tanggungjawab membina kebun komuniti ini.

12) Tuai Buah Awal

Apabila kita berkebun di luar kawasan contohnya di tingkat bawah, bersedia lah untuk menerima kes buah hilang. Sama ada buah di pokok dicuri atau dikacau oleh budak-budak nakal sekitar rumah.

Kalau kita tanam betik dalam pasu contohnya. Tuai semasa buah masih hijau lagi. Agak-agak hendak tukar jadi warna kuning, kita tuai. Peram. Jika tidak nanti kita akan menyesal.

14) Dapatkan Kebenaran oleh Pengurusan Apartment

Pihak pengurusan ada sebab untuk tidak membenarkan penduduk rumah flat berkebun di kaki lima. Antara sebabnya adalah jika berlaku kebakaran, pasu-pasu di kaki lima akan mengganggu proses menyelamatkan diri dan mangsa.

15) Kemas

Berkebun tidak semestinya perlu kotor dan bersepah. Selepas menyiram pastikan sisa air yang keluar dari bontot pasu tidak mengotorkan lantai. Atasi dengan meletak lapik di bawah pasu.

Susun pasu agar tampak kemas dan teratur. Bukan sahaja sedap mata memandang untuk kita malahan jiran pun suka.

16) Sedekah

Rezeki hasil tuaian itu eloklah kita sedekah sesama jiran. Tak termakan punya untuk kita sekeluarga.

Lagi banyak kita sedekah, lagi banyak rezeki kita akan dapat, insya-Allah.

17) Racun Organik

Walaupun tinggal di atas angin, tetap serangga perosak seperti bena boleh datang mengganggu pokok kita. Serangga ini datang sama ada melalui bahan tanaman yang kita bawa ataupun dari angin yang bertiup.

Atasi dengan buat sendiri racun organik.

Kesimpulan

Masalah ruang terhad dan cahaya matahari di apartment boleh diselesaikan jika kita kreatif. Yang penting kita ada kemahuan untuk jadikan berkebun di rumah flat ini satu kenyataan.

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!