Apabila saya mula terlibat dalam pertanian organik, saya sering mendengar perkataan EM dalam pembuatan baja organik. Bolehkah kita buat EM sendiri guna bahan ada di dapur? Setelah membuat beberapa kajian, saya kongsikan kepada anda cara membuat EM menggunakan air basuhan beras yang biasa disiram untuk tanaman dan susu segar.
Apa sebenarnya EM ini? EM (effective microorganism) adalah mikrob bermanfaat mempunyai pelbagai kegunaan. Salah satu bakteria yang ada dalam EM adalah Lactobacillus. Kita boleh buat sendiri EM ini hanya dengan bahan-bahan yang ada di dapur.
BACA >>> Apakah Itu EM? Manfaat EM Kepada Kebun Anda
Resipi Membuat EM Sendiri
Bahan:
- Air basuhan beras (basuh tanpa klorin) – 200 mL
- Gelang getah – 2 gelang
- Kertas – 2 helai
- Bekas 1L
- Baldi 5L
- Susu lembu kotak – 2 L
Cara buat:
Fasa 1:
- Isi air basuhan beras ke dalam bekas
- Tutup bekas tersebut dengan kertas dan ikat dengan gelang getah
- Label tarikh pembuatan
- Peram air itu selama 3 sehingga 5 hari.
- Peraman menjadi apabila air berbau masam dan terbentuk 3 lapisan. Tapis peraman ini untuk proses seterusnya.
- Lapisan atas berbentuk pepejal putih – karbohidrat dan kulat
- Lapisan tengah berwarna kuning cair – bakteria asid laktik
- Lapisan bawah berwarna putih pekat – lemak dan kanji
Fasa 2:
- Campurkan cecair peraman ini dengan susu ke dalam baldi. Nisbah campuran adalah 1:10. Bermakna jika 200 mL cecair peraman campur dengan 2L susu.
- Tutup baldi dengan kertas dan gelang getah
- Label tarikh pembuatan
- Peram campuran ini selama 5 sehingga 7 hari.
- Selepas seminggu, akan terbentuk dua lapisan iaitu lapisan susu kental di atas dan di bawah adalah serum bakteria asid laktik.
- Asingkan dan tapis lapisan atas. Lapisan susu kental ini boleh dibuat keju atau dijadikan makanan haiwan atau bahan kompos
- Boleh simpan serum ini di dalam botol
Untuk tahan lama, campurkan serum EM ini dengan molases. Molases ialah gula merah yang dimasak dengan air sehingga cair. Nisbahnya ialah 1 bahagian serum EM + 1 bahagian molases.
Alternatif lain, kita boleh campurkan serum ini dengan gula perang atau gula kasar dengan nisbah yang sama iaitu 1:1. Contohnya 1L serum EM + 1kg gula perang.
Simpan serum EM ini di tempat yang gelap dan dingin.
Sukatan dan Cara Penggunaan EM (Effective Microorganism)
- Untuk pembajaan:
Campurkan 2 sudu makan EM bersama 1L air. Boleh sembur terus pada daun, batang dan pangkal tanaman dan tanah, atau campur dengan baja cecair lain. - Untuk menghilangkan bau najis haiwan:
Campurkan 2 sudu makan EM bersama 1L air. Beri haiwan ternakan minum campuran tersebut dan juga sembur pada najis haiwan. - Mempercepatkan proses pengkomposan: Sembur atau siram pada kompos,
- Mengurangkan alga akuarium: masukkan beberapa sudu makan ke dalam akuarium
- Membuat bokashi bran dan kompos bokashi
- Membuat IMO5
- Membersihkan sungai dan parit yang tercemar
Selamat mencuba semua!
Rujukan:
