Roti adalah antara makanan cepat rosak. Jika kita beli dan tidak makan selepas tarikh luput, maka roti akan muncul kulat.

Jika anda rajin, anda boleh jadikan roti ini sebagai salah satu cecair baja. Di sini saya kongsikan caranya.

Terdapat pelbagai variasi pembuatan baja roti. Jika anda baca cerita yang viral, ramai yang guna tiga hingga empat keping roti dan botol 1.5L. Berdasarkan pembacaan dan ilmu pertanian saya, cukup sekadar sekeping roti sebagai pemula untuk mikrob baik membiak.

Khasiat Baja Roti

Mengapa roti boleh dijadikan baja? Ini adalah sebab yis yang ada dalam roti.

Jika kita pernah guna EM, pastinya kita akan tahu bahawa yis adalah salah satu daripada tiga kumpulan mikrob yang ada dalam EM. Yis membantu akar pokok menyerap baja dengan baik.

BACA >>> Apa itu Mikrob Baik Untuk Kebun?

Yis menghasilkan hormon dan enzim yang dapat membantu pembahagian sel tumbuhan dan akar. Ia menggunakan asid amino dan gula hasil sampingan daripada bakteria fotosintetik dan akar tumbuhan. Seterusnya membantu pertumbuhan bakteria asid laktik.

Secara ringkasnya, khasiat baja roti adalah:

  • Menghidupkan tanah yang mati
  • Menghijaukan daun pokok
  • Menggalakkan pokok berbunga banyak
  • Memaniskan buah
  • Meningkatkan saiz buah

Resipi Baja Roti

Bahan:

  1. Roti -2-3 keping
  2. Air
  3. Botol 1.5L
  4. Gula merah – 200g

Alat:

  1. Penapis

Cara buat:

  1. Masukkan roti ke dalam botol 1.5L
  2. Isi dengan air sehingga 4/5 penuh botol
  3. Peram selama 6 sehingga 10 hari. Tidak kisah berapa lama peram. Asalkan apabila nampak air mula tohor dan berbau masam, tanda sudah menjadi peraman itu.
  4. Tapis air peraman dan isikannya pada botol 1.5L yang lain.
  5. Sisa roti yang lembik itu boleh dijadikan sebagai baja pada pangkal pokok
  6. Tambahkan gula merah ke dalam botol dan goncang. Langkah ini hanyalah pilihan. Tak nak tambah pun tiada masalah.
  7. Simpan botol di tempat gelap dan dingin. Cecair baja roti ini boleh disimpan sehingga 6 bulan jika ditambah dengan gula merah.

AMARAN: Untuk elakkan botol meletup, pastikan botol tidak ditutup ketat sepanjang proses pemeraman dan simpanan

Cara guna:

  1. Campurkan 10 mL cecair baja roti dengan 1L air. Boleh juga 2 sudu makan cecair + 1L air
  2. Sembur pada daun, batang dan pangkal pokok.
  3. Atau siram pokok dengan cecair campuran tersebut
  4. Biasanya kesan boleh dilihat pada pokok selepas seminggu
  5. Paling bagus kalau dapat digabungkan dengan EM buatan sendiri.

Nota Tambahan

Soalan sering saya dapat. Apakah boleh saya guna air paip sahaja? Buat makluman semua, saya sudah cuba semua jenis air. Tiada masalah. Dalam masa beberapa hari tetap yis akan muncul. Klorin dalam air paip tidaklah kuat mana untuk membunuh yis dan bakteria yang ada. Logiknya kenapa kita masih masak air walaupun air paip sudah ada klorin, bukan? Jadi tidak perlu risau jika tiada air sungai, air hujan, air perigi atau apa segala macam air termasuklah air tapis. Yang penting asalkan air. Ada faham?

Kesimpulan

Secara ringkasnya, yis dalam roti berfungsi sebagai pengeluar hormon dan enzim yang bertindak sebagai bahan bioaktif untuk meningkatkan keaktifan sel tanaman dan akar. Seterusnya membantu tanaman untuk hidup subur.

Rujukan:

Saya jenis suka buat rujukan sebelum menulis. Jika anda ingin baca lanjut, boleh la klik mana-mana link di bawah. Jika ada maklumat tambahan, mari sama-sama kita bincangkan di bahagian komen.

  1. https://www3.epa.gov/pesticides/chem_search/reg_actions/registration/fs_PC-100053_18-Feb-04.pdf
  2. https://www.researchgate.net/profile/Chanyarat_Paungfoo-Lonhienne/publication/273223410_Yeast_as_a_Biofertilizer_Alters_Plant_Growth_and_Morphology/links/54ff50f00cf2672e22457ce0.pdf
  3. https://www.hunker.com/13428268/positive-uses-of-yeast-in-the-garden
Tidak Mahu Terlepas Maklumat Terkini Kebun Bandar?
Saya nak kongsi PERCUMA je buat masa ni. Cepat join!

LANGGAN EMEL KEBUN BANDAR

Masukkan nama dan alamat emel anda

*Kami hormati privasi anda. Bila-bila masa anda boleh berhenti melanggan.