Buluh madu adalah antara tanaman yang paling senang ditanam. Hasilnya bermula dari rebung sehinggalah batang buluh.

Kelebihan buluh madu ini terletak pada rebungnya yang lebih lemak manis. Rebungnya sesuai untuk dijadikan pelbagai produk hiliran seperti jeruk, goreng tepung, kerepek dan manisan. Tambahan lagi buluh ini tidak miang seperti buluh-buluh lain.

Selain itu, batang buluhnya sesuai dijadikan produk kraftangan, perabot, chop-stick, pencungkil gigi atau pencucuk makanan serta boleh juga dijadikan tanaman hiasan yang menarik.

Untuk artikel ini, saya akan lebih fokus pada penghasilan rebung.

Pokok buluh ini sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah. Namun paling bagus di tanah yang mempunyai saliran yang baik.

Maklumat botani

Nama tempatan: Buluh madu
Nama Inggeris: honey bamboo
Nama saintifik: Gigantochloa albociliata

Penyediaan Polibeg

Sebelum kita mula mengambil bahan pembiakan buluh, eloklah kita sediakan dahulu polibeg untuk semaian. Paling sesuai adalah saiz polibeg 8 inch x 9 inch atau lebih besar.

Manakala untuk media tanah, kita boleh gunakan tanah atas sahaja atau campuran tanah antara tanah merah dan kompos. Ini perlulah mengikut kesesuaian dan bajet sesebuah tapak semaian. Lagipun anak pokok buluh ini mengambil masa sekitar 3-4 bulan untuk membesar dalam polibeg sebelum boleh ditanam ke ladang.

Pembiakan Buluh Madu

Terdapat tiga cara untuk membiak pokok buluh ini iaitu melalui biji benih, tisu kultur dan keratan batang. Dua cara yang awal itu tidak begitu praktikal kerana sukar untuk mendapatkan biji benih dan kaedah tisu kultur memerlukan peralatan dan bahan yang mahal.

biji benih buluh madu
Biji benih buluh (sumber: Google)
tisu kultur buluh madu China
Pembiakan buluh madu melalui tisu kultur di China (sumber: Google)

Ramai yang menganggap untuk membiak bulu perlulah diambil akar dari rebungnya. Cara paling senang biak rebung adalah dengan guna keratan batang.

Pertama, pilih batang buluh yang sihat dan bebas daripada sebarang penyakit. Umur batang yang paling sesuai adalah sekitar dua hingga tiga tahun. Ini dapat dilihat pada warna batang yang ada seperti kotoran tompok-tompok putih.

Petua agar anak pokok buluh menjadi, seeloknya potong keratan daripada bahagian tengah dan ke atas. Ini dapat meningkatkan kadar kemenjadian anak benih buluh.

Seterusnya potong tiga hingga empat ruas setiap keratan batang. Sebelum cucuk ke dalam polibeg, pastikan kita kenal mana pangkal dan mana atas. Ini bagi mengelakkan buluh salah tumbuh.

Cara Pokok Tanam Buluh Madu
Potong tiga hingga empat ruas buluh utuk menanam. (sumber: Jabatan Pertanian)

Bagi menggalakkan pertumbuhan akar yang pantas, disarankan untuk sapu hormon penggalak akar seperti seradix pada pangkal keratan.

Hormon penggalak akar ini boleh kita beli atau jika inginkan cabaran, saya ada tulis cara buat sendiri hormon penggalak akar.

Setelah selesai menyemai, letak semua polibeg di tempat redup. Paling bagus gunakan jaring hitam di atas sebagai penaung. Hal ini bagi mengelakkan tanah dalam polibeg kering.

Penjagaan Anak Benih

anak benih buluh madu polibeg
Anak benih buluh madu yang berjaya tumbuh di dalam polibeg. (sumber: Google)

Seperti biasa, siram keratan dalam polibeg dua kali sehari agar tanah sentiasa lembab. Setelah tiga hingga empat minggu, kita akan dapat lihat mata tunas mula pecah di tepi keratan batang. Itu tanda keratan kita menjadi.

Petanda keratan tidak menjadi apabila keratan mula mengecut seterusnya berwarna kekuningan dan akhir sekali perang. Biasanya kita boleh lihat dalam masa 2 minggu selepas keratan disemai.

Setelah dua bulan, kita boleh sudah memberi baja kepada anak benih buluh yang sudah berakar. Letakkan baja organik seperti kompos atau tahi ayam dengan kadar 5-10 gram atau segenggam sebulan sekali. Pastikan baja tidak terkena pada pangkal kerana jika tidak mungkin boleh menyebabkan anak benih atau bibit mati melecur.

Racun serangga dan penyakit tidak perlu diberi memandangkan anak benih buluh madu jarang diserang serangga perosak.

Penanaman di ladang

Setelah tiga hingga empat bulan, bibit buluh dalam polibeg boleh terus ditanam di ladang.

Pokok buluh sesuai ditanam semua jenis tanah. Namun begitu pokok buluh subur di tanah yang mempunyai saliran air yang bagus dan tidak bergenang terutama selepas hujan.

ladang buluh madu di Pahang
Keadaan ladang buluh madu. (sumber: Harian Metro)

Satu ekar tanah mampu memuatkan sekitar 300 hingga 350 pokok dengan jarak penanaman 12 kaki x 12 kaki atau 15 kaki x 20 kaki (antara batas x antara pokok).

Penyiraman anak pokok yang baru ditanam perlu dibuat sebanyak dua kali sehari sehingga sebulan lamanya bagi mengelak pokok mati kekeringan. Tanah yang kering mampu membantut tumbesaran awal pokok buluh.

Dari segi pembajaan, pokok buluh adalah antara pokok yang mesra dengan baja organik. Enam bulan sekali gunakan baja tahi ayam atau kompos dengan kadar 10kg per rumpun.

Selain itu, anda boleh gunakan juga baja NPK hijau (15/15/15) dengan kadar 100 hingga 300 kg/ha pada kekerapan tiga bulan sekali.

Biarkan sekitar 10 hingga 15 batang sahaja satu rumpun. Pangkas lebih batang jika ada. Hal ini agar rumpun buluh madu sentiasa kemas dan tidak terlalu padat. Seterusnya dapat menjimatkan penggunaan kos baja.

Tuai Rebung

Penjagaan rapi dari segi penyiraman dan pembajaan hendaklah dibuat sepanjang 8 hingga 12 bulan sebelum boleh menuai. Sekurangnya perlu ada 5 hingga 7 batang serumpun sebelum membuat tuaian rebung yang pertama.

tuai rebung buluh madu jabatan pertanian
Tuai buluh madu sekitar 0.8-1 m. (sumber: Jabatan Pertanian)

Rebung madu boleh dituai apabila tinggi rebung mencapai satu meter. Setiap rumpun mampu menghasilkan sekitar 2 kilogram rebung per bulan.

Selepas tuai, rebung perlu diproses dengan kadar segera bagi pengelakkan pengoksidaan berlaku. Pengoksidaan boleh dilihat apabila rebung mula lebam dan kehitaman warnanya. Hal ini akan menyebabkan harga jualan rebung menurun mendadak.

Harga bagi sekilogram rebung madu sekitar RM3 hingga RM7 mengikut pasaran tempat jualan.

Kegunaan Rebung

Rebung amat popular dalam masakan Melayu seperti gulai masak lemak cili api, gulai daging, masak pedas, goreng tepung, kerepek, daging salai, masak kari dan lain-lain. Perlu juga diketahui bahawa rebung madu mempunyai pelbagai khasiat, karbohidrat, antioksida, pelbagai vitamin dan mineral.

Kesimpulan

Potensi buluh madu adalah sangat banyak. Amat beruntung bagi sesiapa yang telah memulakan atau ingin memulakan. Ambil peluang ini dengan mengamalkan penulisan saya ini.

Moga bermanfaat. Sebarang komen atau pandangan boleh tinggalkan di bahagian komen.

Rujukan:

Tidak Mahu Terlepas Maklumat Terkini Kebun Bandar?
Saya nak kongsi PERCUMA je buat masa ni. Cepat join!

LANGGAN EMEL KEBUN BANDAR

Masukkan nama dan alamat emel anda

*Kami hormati privasi anda. Bila-bila masa anda boleh berhenti melanggan.