Rumput sering menjadi masalah kepada kebun. Banyak sangat rumput menjejaskan pertumbuhan tanaman kita. Kita sering mesin rumput dan buang dan bakar rumput kering. Tetapi selepas baca ini tentunya anda tidak akan buang rumput lagi.

sayur sawi pahit

Sawi pahit sebelum disiram dengan baja rumput.

Lihat betapa besarnya sawi pahit 7 hari selepas siraman baja rumput dibuat.

Kaedah membuat baja rumput ini amatlah mudah. Mari kita lihat caranya.

Resipi Baja Rumput

Bahan:

  1. Rumput hijau
  2. Air
  3. Daun reput – segenggam
  4. Garam – 2-5 sudu makan

Alatan:

  1. Tong 50-100 L

Cara buat baja:

  1. Isikan tong dengan rumput hijau sehingga separuh
  2. Seterusnya isikan air sehingga tong penuh
  3. Masukkan daun reput dan garam
  4. Kacau sehingga rata
  5. Jika rumput timbul, biarkan. Tiada masalah.
  6. Peram sehingga 10 hari ke atas sebelum digunakan.

Tanda peraman jadi apabila ada selaput warna putih muncul setelah dua tiga hari peraman berjalan. Setelah cukup 10 hari, anda akan dapati warna cecair menjadi semakin pekat. Semakin lama diperam, semakin berkualiti baja ini.

Baja rumput boleh digunakan selepas 10 hari diperam. Muncul seperti debu di atas permukaan air tanda mikrob sedang menjalankan tugas. Lagi lama diperam, lagi bagus.

Cara guna:

  1. Peraman boleh digunakan setelah 10 hari berlalu.
  2. Cairkan pati baja rumput 30-50 kali dengan air biasa. Contohnya jika kita guna sebanyak 1L pati, maka kita perlu campurkan dengan 30 L air kosong.
  3. Siram pati yang telah dicairkan itu kepada tanaman.
  4. Siram 2-3 kali seminggu
  5. Biasanya kesan akan terlihat setelah 7 hari penyiraman dijalankan

Penerangan Setiap Bahan

Mesti anda tertanya-tanya mengapa baja ini begitu mudah untuk dibuat? Mari saya terangkan setiap satu kebaikan.

Rumput

Mengapa guna rumput? Sebab ianya bahan tanaman yang paling mudah kita dapatkan di sekitar kebun kita. Rumput dapat hidup subur di tanah kebun kita. Ini bermakna rumput ada sifat yang boleh kita gunakan sebagai baja. Kita keluarkan sifat itu dengan memeram rumput tersebut dengan air. Air akan menyerap keluar segala nutrien dan kebaikan rumput. Akhirnya menjadi pati yang bagus untuk tanaman kita.

Daun reput

Daun reput ini adalah daun yang berada di bawah perdu pokok yang besar. Jangan ambil daun yang berwarna perang. Ambil tanah yang berada di bawah daun tersebut. Tanah tersebut kaya dengan mikrob baik yang mampu membantu di kebun kita.

Garam

Garam laut mengandungi 83 jenis mineral yang boleh digunakan oleh mikrob.

Kebaikan Baja Organik Ini

Baja ini mampu untuk:

  1. Memberi kesuburan pada tanah
  2. Memberi kesuburan kepada sayuran
  3. Meningkatkan hasil pengeluaran sayuran

Kelemahan Baja Rumput

Walaupun baja ini mudah dan ringkas pembuatanya, tetap baja ini ada kelemahan. Apa-apa pembuatan baja yang menggunakan proses tanpa oksigen atau anaerobik pasti akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

Terus-terang saya katakan baja ini bau seperti longkang tersumbat! Jadi jika anda ingin membuatnya di belakang rumah di rumah taman, fikirlah dua kali. Sebagai seorang muslim, saya sendiri diminta agar tidak boleh menyakiti hati jiran. Tidak elok. Apatah lagi menghasilkan bau yang tidak menyenangkan ini.

Saya buat semua ini di kebun. Jauh daripada penempatan manusia.

Jika tetap ingin buat di kawasan kejiranan, pastikan bekas ditutup rapat.

Kesimpulan

Membuat baja rumput ini tidaklah sukar. Yang penting kita ada kemahuan untuk membuatnya. Dan yang paling utama adalah kita percaya.

Ada soalan atau komen? Tinggalkan di bahagian bawah ini. Saya suka membaca dan menjawabnya.

Tidak Mahu Terlepas Maklumat Terkini Kebun Bandar?
Saya nak kongsi PERCUMA je buat masa ni. Cepat join!

LANGGAN EMEL KEBUN BANDAR

Masukkan nama dan alamat emel anda

*Kami hormati privasi anda. Bila-bila masa anda boleh berhenti melanggan.