Apabila kita berkata tentang sistem fertigasi atau hidroponik, kita tidak akan lari dengan penggunaan baja AB. Tentunya ramai ingin tahu apakah keistimewaan baja AB ini sehingga wajib ada pada sistem pengairan titis ini?
Apakah baja AB ini? Baja AB adalah baja kimia cecair yang membekalkan nutrien lengkap pada tanaman. Baja AB dihasilkan daripada campuran pelbagai baja larut air (dalam bentuk serbuk) dan dibahagikan kepada dua set iaitu set A dan set B.
Untuk faham, saya bahagikan dua istilah di sini. Larutan stok atau pati baja AB dan larutan nutrien.
Pati baja AB adalah bancuhan baja AB pekat daripada bentuk serbuk. Biasanya dibuat dalam kuantiti 100 liter A dan 100 liter B. Pati ini seterusnya perlu dicairkan membentuk larutan nutrien. Larutan nutrien adalah pati baja AB yang telah dicairkan 1000 kali di dalam tangki air.
Baja AB adalah baja kimia dan tidak berbahaya kepada tumbuhan dan manusia (melainkan anda minum terus baja ini!). Semua baja ini adalah food grade iaitu selamat untuk diserap oleh tumbuhan.
Baja fertigasi adalah baja hidroponik. Kedua-dua baja ini sama sahaja. Istilah sahaja berbeza mengikut sistem yang digunakan.
Dalam artikel ini, saya terangkan bagaimana kita boleh membuat baja AB sendiri tanpa perlu membeli set baja AB daripada penjual. Kita mampu menjimatkan kos baja fertigasi sehingga 30% dengan membuat sendiri baja AB.
Seperti namanya AB, baja ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu A dan B. Ada juga petani yang menjual baja AB tetapi melabelkan XY, A1 A2, dan YZ. Apa-apa pun label yang diberi, tetap akan ada dua bahagian baja ini.
Kenapa baja A da B diasingkan? Pengasingan ini dibuat kerana terdapat bahan-bahan dalam baja AB tidak boleh dicampur pekat antara satu sama lain. Antara semua bahan baja AB adanya kalsium nitrat, magnesium sulfat dan MKP. Ketiga-tiga bahan ini apabila larut di dalam air akan membentuk ion. Ion kalsium adalah bercas positif manakala ion sulfat dan ion fosfat adalah bercas negatif.
Pada kepekatan tinggi, ion kalsium akan bercantum dengan ion sulfat membentuk kalsium sulfat. Tindak balas ini akan membentuk mendakan putih. Mendakan putih ini apabila disalurkan ke dalam sistem fertigasi akan menyebabkan sistem pengairan tersumbat. Selain itu pokok tidak dapat mengambil baja ini.
Hal yang demikian sama juga bagi ion kalsium dan ion fosfat yang akan membentuk mendakan kalsium fosfat.
Kesimpulannya, pada kepekatan tinggi ion-ion ini akan bertindakbalas antara satu sama lain membentuk mendakan putih. Oleh sebab itulah bahan-bahan ini dipisahkan kepada dua bahagian iaitu set A dan set B. Namun begitu, ion ini akan berfungsi dengan baik jika dicairkan di dalam air menjadi larutan nutrien.
Tumbuhan memerlukan 13 unsur penting untuk hidup subur. Unsur ini pula adalah dalam bentuk nutrien yang boleh diserap oleh tumbuhan. Terdapat 6 nutrien makro yang diperlukan dalam kuantiti yang banyak, iaitu nitrogen (N), fosforus (P), kalium (K), kalsium (Ca), magnesium (Mg) dan sulfur (S). Antara 6 nutrien makro tersebut, N, P dan K diperlukan dalam kuantiti yang banyak.
Nutrien selain daripada enam ini pula disebut nutrien mikro (atau dikenali sebagai unsur surih, trace elements) yang diperlukan hanya dalam kuantiti sedikit. Antaranya adalah ferum (Fe), kuprum (Cu), mangan (Mn), zink (Zn), molibdeum (Mo), boron (B) dan klorin (Cl).
Terdapat 10 bahan yang digunakan oleh petani fertigasi dalam membuat set A dan set B baja AB. Bahan-bahan ini sudah mengandungi nutrien yang diperlukan oleh pokok seperti diterangkan sebelum ini. Boleh dikatakan baja AB adalah baja cecair lengkap untuk tanaman.
Amalan petani di Malaysia adalah menghasilkan isipadu baja A 100L dan baja B 100L daripada 25kg baja AB. Kita boleh kurangkan sendiri kuantiti takaran mengikut keperluan seperti kepada 50L AB atau 12L AB.
Berikut adalah senarai bahan yang perlu anda beli (pautan pembelian online saya letak sekali pada setiap satu bahan):
Bahan A:
Bahan B:
Bagi yang betul baru ingin bermula, saya tak sarankan anda membuat sendiri baja ini. Lebih baik anda beli baja AB yang telah dibuat sedia. Saya berikan senarai dan link pembelian.
Berapa kuantiti untuk setiap bahan yang dinyatakan untuk membuat baja AB? Secara umumnya, petani di Malaysia menggunakan formula Cooper untuk sayuran daun (sawi, salad, bayam, kangkung) dan sayur buah (cili padi, cili kulai, terung, tomato). Bezanya adalah pada kepekatan EC yang diukur nanti apabila pati AB ini dilarutkan menjadi larutan nutrien.
Manakala untuk tanaman akar seperti halia dan kunyit formulanya sedikit berbeza. Petani melebihkan pada unsur fosforus (P) dan kurangkan nitrogen (N).
Berikut adalah formula Cooper untuk penggunaan secara umum pada semua jenis tanaman.
Baja | Kandungan (g) |
A | 1. Kalsium nitrat – 11,000 2. Ferum EDTA -200 |
B | 1. Kalium nitrat – 13,200 2. Mono-kalium hidorgen fosfat – 2,200 3. Magnesium sulfat – 5,300 4. Mangan sulfat – 30 5. Asid borik / hibor -50 6. Zink sulfat – 35 7. Kuprum sulfat – 3 8. Natrium molibdat – 4 |
Bagi yang baru ingin mencuba buat sendiri, saya cadangkan eloklah anda untuk mengikut formula atau resipi yang telah petani buat. Biasanya mereka dapatkan daripada MARDI ataupun Jabatan Pertanian.
Di sini saya berikan percuma semua formula baja AB bagi sayur daun seperti kangkung, bayam, sawi, kubis / formula baja AB untuk sayur buah seperti cili, terung, bendi, jagung / formula baja AB untuk rockmelon.
Saya ambil dan tambah baik daripada nota kursus-kursus fertigasi berbayar dan percuma dari MARDI yang pernah saya sertai. Boleh download pdf di sini.
Pengiraan formula baja fertigasi ini dapat kita buat sendiri dengan memahami asas keperluan baja hidroponik untuk tanaman khusus.
Kita boleh menggunakan kalkulator hidroponik (rujuk bahagian rujukan untuk link) untuk mengetahui berapa jumlah gram perlu untuk kitab buat campuran.
Penyediaan larutan stok baja AB ini tidaklah sukar.
Alatan:
Bahan:
Langkah-langkah:
Berapa lamakah baja AB ini boleh disimpan? Baja AB ini tiada tarikh luput. Jika anda nampak ada mendakan pada baja AB, anda perlu kacau sahaja sehingga mendapan itu larut. Namun jika mendakan tidak hilang walaupun setelah dikacau, mungkin campuran anda sebelum ini ada kesilapan.
Kalau ada yang masih kurang faham, saya sarankan anda menonton video cara saya buat bancuhan larutan stok A dan B.