
Tidak ramai tahu bahawa cincau hitam berasal daripada pokok cincau. Cara menanam pokok cincau tidak lah sukar. Sama seperti kita menaman pokok pudina.
Kita boleh proses daun cincau hitam kering menjadi agar-agar cincau yang sedap dan lazat.
Nama biasa: Cincau
Nama Inggeris: Grass jelly
Nama saintifik: Mesona chinensis / Mesona palustris
Keluarga: Lamiaceae
Pokok cincau kategori pokok herba berbatang lembut dan renek. Tak berapa nak faham istilah botani? Boleh baca artikel Belajar Istilah Botani Tumbuhan Untuk Noob.
Cincau paling mudah dibiak dengan keratan batang. Potong batang pokok cincau sekitar 5-10 cm.
Seterusnya tanam keratan batang tersebut satu per tiga dalam daripada panjang keratan.
Untuk penyediaan media tanaman polibeg, boleh rujuk artikel saya berkaitan campuran tanah pasu.
Keratan batang cincau mudah berakar, jadi kita tidak perlu meletakkan hormon pengakaran. Tetapi jika tetap mahu, boleh la letak. Saya ada kongsikan cara buat hormon pengakaran semulajadi.
Tidak sukar untuk menjaga pokok cincau. Kita siram setiap hari sekali sehari agar tanah sentiasa lembab.
Manakala untuk pembajaan, cincau suka baja organik seperti kompos atau pun baja tahi ayam. Bubuh sekitar 5-10 g (segenggam) untuk satu pasu cincau sebulan sekali. Pastikan baja tidak terkena pada pangkal pokok kerana batang pokok cincau sensitif terhadap baja.
Jika tiada, boleh guna baja NPK hijau. Sekitar 3-5 g (satu sudu makan) dua minggu sekali.
Agar cincau tiada atau kurang diserang serangga perosak, sembur cincau dengan cuka kayu. Insya-Allah akan kurang serang bena dan afid.
Apabila cincau telah mencecah tinggi sekitar 15 cm, kita sudah boleh menuai cincau. Sebelum tuai, eloklah siram dahulu cincau agar daun berada dalam keadaan segar.
Setelah itu cantas keratan batang sehingga 5 cm dari pangkal.
Selepas menuai daun cincau, jangan lupa untuk membaja agar pokok cincau dapat tumbuh subur semula.
Daun dan ranting cincau segar dijemur sehingga kering. Biasanya daun cincau kering akan berwarna kehitaman akibat proses oksidasi yang telah berlaku. Selepas itu boleh diproses untuk menjadi cincau hitam.
Potensi cincau hitam adalah tinggi di Malaysia. Tidak ramai tahu cara menanam cincau hitam ini. Padahal sangat mudah seperti menanam pudina.
Saya berharap artikel ini membuka mata dan dapat menjadi panduan kepada semua pembaca.
Jika ada komen dan pandangan, boleh nyatakan di bawah.
Rujukan: