
Terung adalah antara makanan yang popular di Malaysia. Penanaman terung tidaklah rumit seperti pokok cili jika kita tahu cara menanam yang betul.
Nama Melayu: Terung unggu, terung bulat, terung India
Nama Inggeris: Brinjal, eggplant, aubergine
Nama saintifik: Solanum melongena L.
Keluarga: Solanaceae
Terung adalah tumbuhan renek yang mempunyai kitaran hidup tahunan. Ini bermakna pokok terung hidup lebih daripada setahun berbanding sawi, kangkung ataupun bayam.
Tumbuhan daripada keluarga Solanaceae atau nightshade ini adalah adik beradik kepada cili, tomato dan kentang. Ini bermaksud mereka berkongsi perosak dan penyakit yang hampir sama.
Cara semai benih terung adalah sama seperti cili. Elok kita menyemai dahulu di atas dulang semaian berbanding menyemai terus di atas batas. Hal ini kerana di atas dulang semaian, penjagaan rapi dan teliti boleh kita buat berbanding menanam terus di atas tanah.
Sediakan bekas semaian dan bubuh medium semaian yang sesuai seperti peatmoss atau sabut kelapa hancur. Saya suka guna dua bahan ini kerana mempunyai kadar serapan air dan kelembapan yang bagus. Selain itu peatmoss bebas daripada kulat berbahaya yang mampu merosakkan anak benih yang baru bercambah.
Tanah campur yang kita gunakan mungkin tidak sesuai untuk semaian kerana mengandungi pelbagai bakteria yang berbahaya yang mampu merosakkan percambahan anak benih.
Biasanya benih terung mengambil masa sekitar 4-7 hari untuk bercambah. Setelah itu sekitar 15-20 hari untuk sedia dipindahkan ke dalam pasu lebih besar.
Terung memang sesuai ditanam di dalam pasu. Saiz sesuai adalah diamter 30cm dengan ketinggian 25 cm. Manakala untuk polibeg, boleh gunakan saiz 16 inci x 16 inci ke atas.
Saiz pasu yang lebih besar akan mengurangkan kerja kita untuk menyiram pada kemudian hari nanti.
Medium tanaman yang sesuai adalah medium yang kaya dengan bahan organik. Oleh itu eloklah jika tanah campur yang kita gunakan itu mempunyai kadar bahan organik yang banyak. Saya tidak sarankan untuk kita guna tanah bakar sampah atau tanah di sekitar rumah kita.
Lebih baik kalau kita beli sahaja tanah campur di nurseri pokok seperti tanah 3 dalam 1. Jika hendak gunakan tanah hitam, perlu dibuat campuran dengan baja kompos seperti vermikompos dengan nisbah 3:1. Iaitu 3 pek tanah hitam dan 1 pek vermikompos. Gaul sebati dan barulah dimasukkan ke dalam pasu.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut, boleh dapatkan maklumat berkaitan buat sendiri resipi tanah campur yang bagus untuk pekebun di sini.
Setelah anak pokok yang bercambah berumur 3 minggu tiba masanya untuk anda membuat pemindahan ke dalam pasu (istilah ini dinamakan transplanting dalam Inggeris). Jangan terlalu lama di dalam dulang semaian atau nanti anak pokok akan terbantut.
Ketika berumur 3 minggu, kita akan dapat lihat terdapat 4-7 helai daun sebenar pada anak pokok terung. Sewaktu ini lah akar anak pokok telah berada dalam keadaan bagus. Hal ini membolehkan anak pokok cepat pulih sebaik sahaja kita membuat pemindahan.
Jika anda menggunakan dulang semaian, hanya perlu cucuk di bahagian bawah lubang semaian untuk mengeluarkan anak pokok terung. Tanam biar separas dengan tanah.
Satu pasu / polibeg sesuai untuk satu anak pokok sahaja. Jika lebih akan berlaku persaingan seterusnya menyebabkan pokok tumbuh kecil dan buah tidak berapa banyak.
Habis sahaja pemindahan, boleh letak satu genggam baja kompos sekeliling anak pokok dengan jarak 5-10 cm. Siram.
Letak dua pancang kayu dan jaring hitam bagi mengurangkan kejutan pemindahan ini. Biarkan selama 1 minggu agar akar anak pokok pulih. Setelah itu bolehlah anda mengalihkan jaring hitam.
Pokok terung memerlukan tanah yang sentiasa lembab agar tumbuhan subur. Oleh itu siram dua kali sehari di awal pagi dan lewat petang. Jika tengah hari pun kita sudah nampak tanah semacam kering, boleh siram. Kata kunci di sini adalah memastikan tanah sentiasa lembab. Walaupun begitu, jangan terlebih siram.
Penanda pasu telah cukup siraman adalah dengan melihat pada air yang mengalir di bawah bontot pasu. Itu tanda air telah cukup menyerap di dalam pasu.
Pokok terung cukup suka akan baja organik seperti kompos dan vermikompos. Kunci utama pembajaan biarlah sedikit tetapi istiqamah. Saya sarankan dua minggu sekali berikan baja vermikompos yang berkualiti dalam segenggam. Tabur keliling pokok dan jangan bagi terkena pada pangkal.
Apa-apa baja pun sifatnya panas. Jika terkena pangkal mungkin boleh menyebabkan pangkal pokok melecur dan seterusnya mati.
Selain baja organik, anda boleh gunakan baja NPK biru sebagai baja utama. Baja NPK biru mengandungi kandungan 12-12-17 iaitu 12 peratus nitrogen, 12 peratus fosforus dan 17 peratus kalium. Kadar kalium yang tinggi ini mampu menggalakkan pengeluaran bunga dan buah yang elok untuk pokok terung. Tabur dalam 1 sudu makan baja buah ini setiap 2 minggu.
Walaupun pokok terung tidaklah serumit penjagaan seperti cili, namun tetap kita perlu mengawal serangan serangga perosak. Antara yang kerap menyerang adalah kumbang seakan ladybird. Walhal kumbang ini bukanlah ladybird!
Larva kumbang ini akan memakan daun dan menyebab daun menjadi rongak. Apabila daun rongak, maka pokok akan kurang membuat fotosintesis. Ini seterusnya membantut tumbesaran dan penghasilan buah oleh pokok.
Kawal serangga ini dengan semburan racun organik. Anda boleh membeli racun organik atau belajar buat sendiri racun organik di sini.
Pokok terung akan mula berbunga setelah 60 hari bercambah jika cukup air, baja dan cahaya. Selepas berlaku pendebungaan lengkap, maka putik buah pula akan mengambil masa sekitar 15 hari untuk sedia dituai. Jumlah keseluruhan adalah 75 hari kita mula menuai buah pertama terung.
Jangan tunggu terlalu lama untuk tuai! Agak agak saiz sudah cukup untuk dimakan, terus anda boleh tuai dengan memotong pada tangkainya. Lebih pantas anda tuai, lebih banyak bunga yang bakal terhasil oleh pokok terung. Maka akan lebih banyak buah terung!
Jika terlambat tuai, buah terung akan banyak serat dan keras untuk dimakan.
Pastikan pembajaan dibuat seperti yang saya nyatakan pada bahagian pembajaan agar terung sentiasa mengeluarkan buah untuk kita tuai.