Cara Mudah Penanaman Sayur dalam Tayar Terpakai

Pernah tak anda terfikir nak berkebun di bandar, tapi rasa tak cukup ruang atau bajet? Saya sendiri sudah cuba pelbagai cara, dan salah satu yang paling praktikal dan menjimatkan ialah menggunakan tayar terpakai untuk menanam sayur. Selain mudah, kaedah ini juga mesra alam kerana kita memanfaatkan bahan buangan yang selalunya terbiar. Kalau anda hendak cuba sesuatu yang kreatif dan seronok, ini lah masa untuk mulakan kebun bandar anda—dengan hanya tayar terpakai dan sedikit usaha!

Kenapa tayar terpakai? Sebab ia bukan sekadar bekas tanaman biasa—ia tahan lama, boleh disusun ikut kreativiti, dan paling penting, mudah didapati tanpa perlu keluarkan kos besar. Tapi ada persoalan penting: adakah ia selamat untuk menanam sayur, terutamanya dari segi risiko logam berat? Jangan risau, saya akan kongsikan langkah-langkah mudah untuk memastikan kebun tayar anda selamat dan berkesan. Teruskan membaca—anda akan terkejut betapa mudahnya memulakan kebun bandar dengan tayar terpakai!

Kelebihan Berkebun Menggunakan Tayar Terpakai

Menggunakan tayar terpakai untuk berkebun membawa pelbagai kelebihan yang menjadikannya pilihan praktikal, terutama bagi pekebun bandar. Berikut adalah penjelasan lanjut tentang manfaat utama:

  1. Penyelesaian Kos Rendah
    Tayar terpakai mudah didapati secara percuma atau dengan kos yang sangat rendah. Ia menawarkan alternatif kepada bekas tanaman yang mahal, menjadikannya pilihan sesuai untuk mereka yang ingin berkebun tanpa membebankan bajet.
  2. Kukuh dan Tahan Lama
    Berbanding bekas plastik atau kayu, tayar lebih tahan terhadap cuaca panas, lembap, atau hujan. Ia tidak mudah pecah atau reput, memastikan kebun anda dapat bertahan dalam jangka masa panjang.
  3. Maksimakan Ruang
    Tayar terpakai boleh disusun secara menegak (stacking) atau dijadikan hiasan kreatif dalam ruang sempit. Ini membantu pekebun bandar memanfaatkan kawasan kecil seperti balkoni, ruang tepi rumah, atau atas bumbung untuk menanam lebih banyak tanaman.
  4. Mesra Alam dan Kitar Semula
    Dengan menggunakan tayar, anda membantu mengurangkan bahan buangan yang mengambil masa beratus tahun untuk terurai. Ia adalah langkah kecil tetapi bermakna untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
  5. Fleksibiliti Penggunaan
    Tayar boleh diubahsuai untuk pelbagai kegunaan, termasuk penanaman sayuran, herba, atau sebagai tempat menyemai benih. Tambahan pula, ia boleh diletakkan di mana-mana permukaan, termasuk konkrit atau tanah yang kurang subur.
  6. Mudah Diselenggara
    Tayar mengekalkan bentuk dan saiznya, memudahkan anda mengurus tanaman, menyiram, atau membaja tanpa perlu bimbang bekas tanaman runtuh atau berubah bentuk.

Langkah-Langkah Membuat Kebun Tayar

Perkara pertama adalah kita perlu mendapatkan tayar terpakai. Saya yakin di tempat anda tentunya ada kedai tayar. Berdasarkan pengalaman saya, tauke kedai sangat berbesar hati untuk memberi kita tayar terpakai tanpa soal banyak. Yelah, kita sudah dapat bantu mereka membuang tayar yang tak tahu nak dibuang mana.

Walaupun begitu, ada juga sesetengah bengkel tayar yang menjual tayar pada harga rendah. Contohnya di Jeli ini, saya membeli sekitar 50 sen sehingga RM1 per biji tayar. Bagi saya harga itu masih murah berbanding saya membeli pasu yang sama besar dengan tayar terpakai itu.

Setelah kita kenalpasti di mana nak dapat tayar, kita boleh mulakan dengan satu biji tayar dahulu.

Untuk mendapat jumlah luas permukaan yang tinggi, eloklah kita potong telinga tayar terpakai.

Menurut Tuan Azuan Abdullah, beliau lebih suka jika kedua-dua telinga tayar ini dibuang. Bagi saya pula, saya lebih suka dibuang sebelah sahaja agar keteguhan tayar itu kekal.

Saya pernah membuang kedua telinga itu dan saya dapati tayar menjadi lembik dan bentuk tayar tidak menjadi bulat. Walaupun begitu, saya sarankan anda berujikaji dengan gaya mana yang kena dengan jiwa anda.

Terdapat dua cara untuk kita gunakan tayar ini sebagai pasu.

Pertama, kita potong berbentuk corak bunga. Kemudian terbalikkan tayar tersebut. Maka akan nampak lebih kemas.

Namun begitu, ini memerlukan tenaga yang banyak. Apatah lagi jika tayar yang kita ambil itu adalah tayar keras. Lainlah kalau kita ambil tayar lembut.

Cara kedua adalah hanya memotong bulatan tayar tanpa membalikkannya.

Tayar mungkin nampak tidak cantik tetapi ini adalah paling mudah bagi pendapat saya untuk sesiapa bermula berkebun dengan tayar. Selain itu, dalam tayar yang berlekuk ini menjadi tempat simpanan air untuk akar tanaman menyerap air tatkala panas terik.

emel kebun bandar

Apabila sudah tetapkan mana bentuk yang kita mahu, apa lagi mula memotong.

Selesai pemotongan, kita letak tayar di kawasan yang kita ingin berkebun.

Susun tayar yang telah dipotong di tempat kita ingin berkebun.

Campuran Tanah dalam Tayar

Mesti ramai tertanya apa tanah sesuai untuk bubuh dalam tayar terpakai ini, bukan? Tak perlu runsing. Kita layan sama seperti kita berkebun pasu. Guna sahaja tanah campur yang kita boleh beli di nurseri tanaman. Kalau nak jimat lagi, guna sabut kelapa hancur (cocopeat) sebagai media utama.

Isi sampai penuh dan kita siap untuk mula menanam.

Jenis Sayuran Terbaik untuk Ditanam dalam Tayar

Tip Penyelenggaraan

Tidak banyak kerja perlu kita buat selepas tanam dalam tayar. Hanya perlu fokus pada menjaga tanah agar kekal subur. Tayar pula akan kekal begitu. Bahkan satu kajian oleh ECHO, terdapat kucai ditanam di dalam tayar berumur 20 tahun lamanya.

Adakah Tayar Terpakai Selamat untuk Penanaman Sayur?

Salah satu persoalan utama tentang penggunaan tayar terpakai untuk berkebun ialah keselamatan — adakah bahan dalam tayar boleh memberi kesan negatif kepada tanaman atau kesihatan manusia? Kajian menunjukkan bahawa tayar mengandungi bahan seperti logam berat (plumbum, kadmium, kromium, dan zink) yang boleh meresap ke dalam tanah atau tanaman dalam keadaan tertentu. Namun, risiko ini bergantung kepada cara tayar digunakan dan media tanaman yang dipilih.

Untuk mengurangkan risiko, beberapa langkah mudah boleh diambil. Pertama, pastikan tayar dalam keadaan baik dan tidak terlalu rosak atau mereput, kerana tayar yang terdegradasi lebih cenderung melepaskan bahan toksik. Kedua, lapik tayar dengan plastik atau cat dengan lapisan pelindung untuk mengurangkan leachate logam berat. Ketiga, pilih media tanaman pH neutral seperti kompos kaya organik, yang membantu mengikat logam berat dan mengurangkan penyerapan ke dalam tanaman.

Rujukan

  1. Technical Details of Above-Ground Gardens – https://www.echocommunity.org/en/resources/78c98226-46b6-408e-b9d3-837cb59b9567
  2. Portable Gardens Made From Old Tires
    https://www.echocommunity.org/en/resources/e4677cfd-4ba6-43f2-b1ea-e8f3dd4eadb9
  3. Tire Contaminants from a Container Gardening Perspective
    https://www.echocommunity.org/en/resources/b1d9d1eb-afcb-4729-ae31-950e13872d1d
  4. Research Update: Uptake of Heavy Metals in Tire Garden Planters – https://www.echocommunity.org/en/resources/40cb18a2-7d53-4316-a49c-991bf2e58e9b
  5. Urban Garden Resources
    https://www.echocommunity.org/en/resources/5ecf8780-1c06-4379-88a3-d08d149b5b36
emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!