Cara Tanam Peria dalam Pasu (Awal Sampai Tuai)

Peria mempunyai rasa pahit yang mampu menaikkan selera makan. Peria boleh ditanam di dalam pasu. Peria yang saya tunjukkan ini boleh digunapakai untuk semua macam jenis peria seperti peria besar dan peria katak.

Maklumat botani

Nama Melayu: Peria
Nama Inggeris: bitter gourd, bitter melon, balsam pear atau balsam apple
Nama Santifik: Momordica charantia
Keluarga: Cucurbitaceae

Peria adalah tumbuhan menjalar yang mempunyai kitaran hidup semusim. Ini bermakna peria hidup kurang daripada setahun. Setelah cukup menghasilkan buah, peria akan mula mati.

Terdapat pelbagai varieti peria. Kita boleh menanam mengikut citarasa masing-masing. Yang penting rasa peria tetap sama – pahit.

Penyediaan Pasu dan Tanah Campuran

Peria memerlukan pasu bersaiz 30 cm x 30 cm (diameter x tinggi). Ini adalah saiz yang paling sesuai untuk pokok peria. Manakala untuk polibeg, kita boleh gunakan saiz 16 x 16 inci. Jika saiz bekas kecil daripada yang saya sarankan, akan ada masalah penyiraman di kemudian hari nanti. Saiz pasu akan memberi kesan kepada tumbesaran pokok nanti.

Seterusnya untuk campuran tanah, pokok peria suka akan tanah yang kaya dengan bahan organik. Oleh itu kita boleh mulakan dengan tanah campur tiga dalam satu. Atau anda boleh guna juga guna tanah sawit dan tanah kompos.

Jika anda ingin menggunakan tanah bakar, pastikan tanah tersebut dicampur sekali dengan kompos pada nisbah 2:1 agar tanah menjadi lebih stabil dan subur. Semua kaedah campuran tanah ini ada saya terangkan dalam penulisan saya ini.

Semaian

Oleh kerana peria mudah tumbuh, jadi biji benih peria boleh terus kita semai ke dalam pasu. selain daripada menggunakan talam semaian. Di mana hendak dapatkan biji benih? Terdapat dua cara. Pertama adalah dengan kita membeli peria di pasar dan biarkan peria di dapur sehingga peria kekuningan.

Cara kedua pula adalah dengan membeli biji benih peria. Saya lebih suka cara kedua untuk sesiapa yang ingin baru bermula. Hal ini kerana biji benih yang dibeli daripada syarikat benih lebih berkualiti dan mampu memberi kepuasan pada hasil yang digunakan.

Cara semaian benih peria adalah mudah. Hanya tanam biji benih peria sekitar 5cm ke dalam tanah. Tidak kisah lah nak melintang atau menegak. Asalkan tanam pada kadar lubang 3 kali saiz biji benih. Anda boleh bubuh 1-2 biji benih di dalam satu pasu.

Biji benih peria adalah jenis yang keras. Jadi ia mengambil masa sekitar lima hingga sepuluh hari untuk mula bercambah. Kita boleh mempercepatkan percambahan dengan merendam biji benih selama 24 jam dalam air sebelum menyemai. Selain itu jika anda pandai, anda boleh mengopek kulit keras peria bagi membolehkan benih segera bercambah.

Jika lebih daripada satu benih bercambah dalam pasu, anda boleh cabut dan pindahkan ke pasu lain. Biarkan satu pokok untuk satu pasu sahaja.

Penjagaan

Pokok peria perlukan tanah yang lembab agar dapat tumbuh dengan subur dan sihat. Oleh itu siram dua kali sehari. Jika pada cuaca panas, boleh tingkatkan kekerapan siram. Yang penting di sini kita rasa kelembapan tanah dalam pasu. Caranya dengan mencucuk jari telunjuk ke dalam tanah. Jika kita dapat rasakan kelembapan, bermakna tidak perlu siram. Jika sebaliknya, sudah boleh menyiram.

Pokok peria memerlukan 5 hingga 6 jam cahaya matahari penuh sehari sama seperti tanaman berbuah yang lain. Cahaya matahari diperlukan bagi proses fotosintesis tumbuhan. Fotosintesis ini seterusnya membantu tumbuhan menghasilkan makanan. Dan makanan yang akan kita ambil daripada peria tentunya buahnya. Jadi proses fotosintesis yang cukup membantu penghasilan buah yang cukup.

emel kebun bandar

Pembajaan

Peria bertindakbalas dengan baik pada baja organik. Saya suka menggunakan baja vermikompos sebagai baja organik utama saya dalam pembajaan tanaman. Hanya segenggam dua minggu sekali memadai.

Manakala jika ingin menggunakan baja kimia, anda boleh gunakan baja NPK hijau pada 4 minggu pertama selepas benih bercambah. Kadar satu sudu makan setiap dua minggu sekali. Setelah itu, gunaka baja NPK biru dengan kekerapan yang sama iaitu dua minggu sekali, satu sudu makan.

Jika anda hanya mahukan satu jenis sahaja baja kimia untuk sepanjang penanaman, saya sarankan guna baja 888. Baja ini bau seakan kopi. Kadar pemberian baja adalah satu sudu makan setiap 2 minggu sekali.

Pastikan kita bubuh baja jauh daripada pangkal pokok. Kebanyakan orang yang baru bermula gagal di awal penanaman apabila pokok mati akibat terkena baja. Bubuh jauh sekitar 5 cm dari pangkal. Anda boleh gaul atau hanya letak begitu sahaja baja di atas tanah.

Tiang sokongan

Pokok peria adalah pokok menjalar. Tentunya pokok ini memerlukan tiang sokongan untuk memanjat. Anda boleh biarkan sahaja ia menjalar di atas lantai. Tetapi ini akan tidak nampak cantik dan kemas.

Biasanya mak mak kita dulu dulu akan menanam peria di tepi pagar rumah agar dapat memanjat pagar. Jadi tidak perlulah susah susah untuk kita buat tiang sokongan.

Tetapi dengan pendedahan dunia global, terdapat cara yang lebih bagus iaitu menggunakan pancang bulat. Hanya dirikan pancang bulat ini di atas pasu. Kemudian didik anak pokok peria untuk melilit keliling pancang tersebut.

Kawalan Perosak dan Penyakit

Pokok peria jarang diserang perosak melainkan serangan kumbang timun. Serangga ini suka memakan daun timun dan akhirnya menyebarkan penyakit.

Saya sudah cuba atasi dengan racun organik buatan sendiri tetapi tidak berapa berkesan. Akhirnya saya atasi dengan racun organik yang ada ekstrak mambu iaitu JAWAR S. Tidaklah dapat membunuh semua tetapi dapat mengawal serangan kumbang oren ini sepanjang musim penanaman peria.

Selain itu, cuka kayu juga mampu memberi kesan yang bagus kepada tanaman. Cuka kayu boleh bertindak sebagai kawalan organik tambahan kepada racun organik.

Tuai

Setelah 70 hari bercambah, akan tiba masanya bunga peria muncul. Di sini lah akan muncul kegembiraan di hati pekebun melihat tanamannya mula mengeluarkan hasil.

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!