
Kailan adalah antara sayur yang menjadi makanan kegemaran orang Cina. Walaupun begitu orang Melayu juga mula menggemari kailan dengan rasa dan tekstur yang rangup dan sedap. Penanaman kailan tidaklah sukar jika tahu cara yang betul.
Untuk pengetahuan anda, kailan sesuai untuk ditanam di iklim tropika seperti Malaysia yang kita cintai ini. Yang penting sekali, ia boleh ditanam di dalam pasu.
Kailan tinggi dengan vitamin A dan C dan kalsium.
Nama Melayu: Kailan
Nama Inggeris: chinese kale
Nama saintifik: Brassica oleracea var. alboglabra
Tumbuhan yang berasal dari China ini adalah tumbuhan herba yang hidup saka. Bermaksud hidup lebih daripada setahun.
Kailan tergolong dalam keluarga Brassicaceae iaitu keluarga sawi. Jadi ini bermakna serangga perosak dan penyakit yang menyerang sawi ada juga menyerang kailan.
Kailan yang saya ceritakan pada panduan ini adalah kailan cina yang berbeza dengan kale yang biasa orang putih makan.
Saiz pasu yang sesuai adalah sekitar 25 cm diameter dan 25 cm tinggi. Untuk polibeg pula sesuai saiz 16 inch x 16 inch. Yang penting adalah kita sediakan tanah campur yang berkualiti.
Kailan suka tanah yang kaya dengan bahan organik. Oleh itu penggunaan tanah campur yang kaya dengan baja organik seperti kompos sangat saya sarankan.
Jika anda ingin buat sendiri tanah campur, boleh cek di sini.
Tanaman dripada keluarga sawi ini mempunyai biji benih halus. Kita mulakan tanam kailan dengan menyemai biji benih kailan dahulu. Semai dalam 2-3 biji benih dalam satu lubang di talam semaian. Jika tiada talam semaian, gunakan tapis atau apa-apa bekas yang sesuai untuk semaian.
Paling penting bahagian semaian ini adalah medium yang digunakan. Saya sarankan anda gunakan peatmoss atau cocopeat. Dua bahan ini paling bagus untuk semaian.
Kemudian, tahu bahawa untuk benih itu tumbuh dengan baik, perlulah ada lembab, pengudaraan yang bagus dan cahaya.
Bibit kailan akan bercambah sekitar 5-7 hari selepas semaian. Jika ingin percepatkan percambahan, anda boleh rendam dahulu biji benih di dalam bekas dan masukkan ke dalam peti ais di bahagian chiller selama 5 hingga 10 jam. Kiranya rendam di malam hari dan pagi esoknya sudah boleh menyemai.
Setelah berumur sekitar 1 minggu selepas bercambah, anda boleh menyembur baja foliar bagi mempercepatkan tumbesaran pokok. Baja foliar ini adalah baja cecair khas untuk semburan pada daun. Foliar bermaksud daun daripada perkataan Inggeris. Antara baja foliar yang boleh anda gunakan adalah baja foliar rumpai laut yang boleh anda beli di sini.
Setelah kita sediakan pasu dan tanah campuran, bibit kailan boleh dipindahkan sebaik sahaja terdapat 4-5 helai daun. Ketika ini lah anak pokok sudah kuat dan kita akan kurangkan peratus kematian.
Malaysia mempunyai cahaya matahari terik yang boleh menyebabkan anak pokok layu selepas kita pindah tanam. oleh hal yang demikian sebaik sahaja kita lakukan perpindahan, perlu kita lindungi anak pokok dengan jaring hitam. Cucuk dalam 1-2 batang buluh di dalam pasu dan letak jaring hitam di atas. Biar selama 7 hingga 10 hari sebelum mengalihkan jaring hitam sepenuhnya.<boleh beli jaring hitam di sini>
Pastikan tanah dalam pasu sentiasa lembab dengan siram sekitar 2 kali sehari untuk pokok kailan.
Kailan paling suka tanah yang kaya dengan baja organik. Jadi penggunaan baja organik seperti kompos adalah bagus.
Perosak yang biasa menyerang kailan ini adalah seperti siput, belalang dan afid.
Anda boleh mengawal belalang dan afid menggunakan racun organik yang boleh dihasilkan sendiri.
Setelah 6-8 minggu, kailan sedia dituai sepenuhnya. Walaupun begitu kita tetap boleh tuai kailan sikit demi sikit dengan mengambil daunnya. Hal ini berbeza jika kita beli sayur kailan terus dari kedai. Kedai aka tuai sekali akar. Tetapi jika tanam sendiri tiada masalah untuk kita mengambil hanya beberapa daun yang diperlukan. Sebab itulah untung kita tanam sendiri.
Nota: Dengan anda membuat pembelian melalui pautan diberikan, saya akan mendapat sedikit komisien daripada Shopee. Hal ini akan membantu saya untuk terus menyediakan lebih banyak konten berkualiti di website saya ini.