Bawang merah memang menjadi antara bahan utama dalam masakan. Hampir semua masakan Malaysia ada menggunakan bawang merah sebagai bahan seperti telur dadar, masak kicap, masak sambal dan lain-lain lagi.
Saya mempunyai pengalaman menanam bawang merah sejak dari universiti lagi. Pengalaman ini membolehkan saya menanam bawang dnegan mudah di dalam pasu.
Maklumat Botani
Nama: Bawang merah
Nama Inggeris: Shallot
Nama Saintifik: Allium cepa cv. aggregatum
Keluarga: Alliaceae
Bawang merah adalah tumbuhan herba yang tiada batang keras. Bawang yang kita nampak itu adalah daun yang terubah suai. Jadi sebenarnya kita makan daun bawang.
Bau bawang yang tengik mampu menghalau serangga untuk datang menyerang pokok berdekatan. Sebab itu kalau tanam bawang jarang kita lihat afid atau kutu daun menyerang.
Semaian Bawang
Bawang boleh kita tanam dengan dua cara iaitu menggunakan biji benih atau bebawang. Jika menggunakan biji benih, tempoh untuk tuai bawang akan mengambil masa sekitar 3-4 bulan. Manakala jika kita tanam guna bebawang akan mengambil masa hanya sekitar 2 bulan setengah.
Biasanya kita akan menanam bawang merah terus ke dalam pasu. Betul tak? Cara ini betul. Tiada masalah. Tapi ada cara yang lagi cepat.
Kita boleh mempercepatkan pengeluaran tunas bawang merah dengan memotong 1/3 dari atas bawang. Jika tidak potong, bawang akan mengambil masa sekitar 6-10 hari untuk mengeluarkan tunas. Manakala dengan kaedah potong sedikit ini akan memendekkan sekitar 3-5 hari.

Konsep potong ini adalah kita memotong dari atas. Jika lihat di keratan rentas ini, pada bahagian berwarna putih itu akan mengeluarkan tunas baharu. Jadi kita potong dari atas agar tunas itu mudah keluar lalu menjadi daun.

Penyediaan Pasu
Bawang sesuai ditanam di talam pasu dengan diameter 30 cm dan ketinggian 30cm. Pasu yang besar dan luas membolehkan bawang mengeluarkan bebawang lebih banyak. Untuk polybag pula, anda boleh gunakan saiz 16 x 16 inci. Yang penting di sini adalah campuran tanah yang digunakan.
Campuran Tanah
Bawang suka tanah yang poros tidak bertakung air terutama tanah yang kaya dengan bahan organik. Eloknya buat campuran tanah antara kompos dan tanah hitam dengan nisbah 1:1. Cara kira sukatan mudah sahaja untuk nisbah ini. Jika kita guna 1 pasu kompos, kita guna juga 1 pasu tanah. Campur dan gaul kedua-duanya. Boleh baca penulisan saya tentang cara mudah membuat campuran tanah pasu di sini.
Penanaman dalam Pasu
Setelah kita potong atas bawang merah, kita boleh terus tanam di dalam pasu. Jika pasu saiz sekitar 10 cm diameter dan tinggi 15 cm (contohnya botol 500 mL), kita boleh menanam satu bawang.
Jika saiz pasu seperti botol 10L, kita boleh menanam 3 hingga 4 bawang merah dengan jarak 10 cm antara bawang.
Korek sedikit lubang dan masukkan bawang merah. Biar potong bawang merah separas dengan aras tanah. Kambus sedikit untuk tutup bawang merah.
Bawang memerlukan air yang cukup di awal pertumbuhan agar bebawang besar. Siram dua kali sehari.

Penjagaan
Bawang merah sesuai ditanam di tempat yang ada cahaya matahari penuh. Jika di tempat redup, bawang yang terhasil akan lebih kecil.
Pembajaan
Bawang merah paling suka baja organik seperti kompos dan baja tahi ayam. Di awal penanaman, terus letak baja dengan jarak 5 cm daripada bawang selepas tanam dalam pasu. Antara kesilapan orang ramai dalam membaja adalah meletak baja betul di tepi bawang. Hal ini tidak boleh kerana apa-apa baja sifatnya panas. Apabila terkena bawang akan menyebabkan bawang melecur.
Siram selepas pembajaan dilaksanakan.
Setelah itu bubuh lagi satu sudu makan baja tahi ayam atau vermikompos setiap 2 minggu sekali.
Jika guna baja kimia, boleh letak baja NPK hijau dalam satu sudu teh setiap 2 minggu sekali.
Cantas Kuntum Bunga
Apabila bawang mencecah umur sekitar 20-30 hari selepas tanam, bawang akan mula mengeluarkan satu daun yang sedikit keras. Daun ini kalau kita perhatikan di hujungnya ada sedikit bonjol. Ini adalah kuntum bunga bawang yang akan menjadi bunga bawang.

Jika kita biarkan kuntum bunga ini menjadi bunga, segala nutrien bawang akan fokus bagi penghasilan bunga. Seterusnya menyebabkan bawang tidak menghasilkan bebawang yang berkualiti tinggi.
Oleh itu saya sarankan untuk anda membuang bunga itu dengan memotong terus daun kuntum bunga tersebut.
Dengan itu kita akan dapat menghasilkan bawang yang besar.
Tuai
Bawang boleh dituai setelah hampir semua daunnya rebah iaitu sekitar 35-45 hari selepas bawang ditanam di dalam pasu. Daun yang rebah ini akan berwarna kekuningan seakan layu.
1 kg bawang yang kita semai akan menghasilkan 3 kg bebawang. Sifir mudahnya satu bawang kita tanam akan menghasilkan 3-5 biji bawang lagi.
Jika kita tuai selalu daun bawang maka akan kurang besarlah bebawnag yang terhasil.
Bawang Merah Skala Komersil
Malaysia mempunyai potensi untuk menghasilkan bawang merah berkualiti tinggi. Di negara jiran kita seperti Indonesia dan Filipian petani sana mengeluarkan bawang merah berkualiti tinggi.
Potensi itu ada. Yang penting kita ingin mencuba dan terus mencuba.
Rumusan
Bawang merah boleh ditanam untuk mendapatkan daun ataupun bebawang. Jika kita tuai daun, hasil bebawang akan berkurangan. Jika ingin mendapatkan bebawang yang banyak, maka fokus bagi daun banyak.
Rujukan
