Pokok Gamal / Turus Pagar (Gliricidia Sepium) Banyak Manfaat kepada Kebun

Pokok gamal adalah pokok berkayu keras yang paling banyak manfaatnya kepada kebun. Pada asalnya pokok ini diperkenalkan di Tanah Melayu sebagai pokok lindungan kepada pokok kopi dan lada hitam.

Pokok ini sering digunakan sebagai pokok lindungan di ladang, baja hijau, pagaran hidup, kayu api dan makanan haiwan ternakan. Pokok ini berasal dari Amerika Tengah dan Selatan dan banyak digunakan di India, Sri Lanka, Asia Tenggara dan Amerika Tengah.

Di Tambunan, Sabah ini saya lihat ramai menanam pokok gamal. Tetapi mereka menggelar sebagai pokok pelindung atau pagar. Hal ini kerana fungsi pokok ini biasanya ditanam sebagai pagar di tepi kebun.

Maklumat Botani

Nama Melayu: Pokok Gliricidia, pokok gamal, pokok turus pagar, pagar kebun, bunga Jepun, lebai siah, kayu pelindung
Nama Inggeris: Gliricida, kawakate (Philipines), mother of cacao
Nama saintifik: Gliricidia sepium
Keluarga: Leguminosae

Pokok gamal adalah pokok berbatang keras dan mampu mencapai ketinggian sehingga 10 meter. Pokok ini mempunyai kitaran hidup saka yang bermakna tetap kekal hidup walaupun telah berbunga dan berbuah.

Tergolong dalam keluarga Leguminosae atau kekacang ini menunjukkan pokok ini mampu menghasilkan baja sendiri bagi meneruskan kemandirian spesis.

Pembiakan

Pokok gamal ini boleh dibiakkan melalui dua cara. Cara pertama adalah menggunakan biji benih. Walaupun begitu, dengan cuaca di Malaysia, pokok ini jarang menghasilkan bunga. Susah nak dapat biji benih.

Oleh itu eloknya kita pergi ke kaedah kedua pula iaitu penanaman melalui keratan batang.

Penjagaan

Pokok yang digelar turus pagar ini tidaklah sukar untuk menjaga. Paling sesuai pokok ini ditanam pada musim hujan iaitu pada bulan Jun hinggalah Disember. Ketika ini kita tidak perlu risau untuk menyiram.

Setelah membuat cantasan, biasanya pokok ini akan mengambil masa sekitar 3 hingga 4 bulan untuk kembali pulih dengan subur.

Justeru kita boleh simpulkan terdapat sekitar 3 hingga 4 kali setahun boleh kita tuai hasil daripada pokok ini.

Manfaat kepada kebun

Setelah kita kenal asas botani dan pembiakan, sudah tibanya kita ketahui manfaat pokok ini kepada kebun kita.

Pokok Lindungan

Sebab utama pokok gamal diperkenalkan di Tanah Melayu adalah sebagai pokok lindungan. Kemudian fungsinya semakin bertambah apabila kajian banyak dilakukan terhadap pokok ini.

Tiang Hidup

Selain daripada pokok lindungan, pokok gamal juga menjadi tiang hidup untuk pokok lada hitam. Di Mexico mereka jadikan pokok gamal sebagai tiang untuk pokok buah naga.

emel kebun bandar

Hal ini dapat menjimatkan kos penanaman pokok buah naga yang menggunakan kayu belian atau konkrit sebagai tiang.

Baja Hijau

Kalau kita perasan di dalam maklumat botani, pokok gamal ini digolongkan dalam keluarga kekacang. Pokok keluarga kekacang mempunyai keunikan untuk menghasilkan sendiri nitrogen. Nitrogen adalah salah satu unsur yang penting untuk tumbesaran pokok.

Penghasilan nitrogen ini adalah pada bintil-bintil yang terdapat di akar pokok kekacang. Di dalam bintil ini terdapat satu bakteria yang dinamakan sebagai rizobakter. Rizobakter inilah yang menangkap nitrogen di udara lalu disimpan di dalam bintil ini. Bintil ini seterusnya akan membekalkan nitrogen berterusan kepada keluarga kekacang.

Sebab itulah pokok gamal ini sangat berguna. Kita tidak perlu susah susah untuk fikirkan untuk sentiasa membaja pokok ini. Bahkan kita boleh jadikan pokok gamal ini sebagai kilang penghasilan kompos berterusan.

Istilah ini dinamakan baja hijau. Iaitu kita menggunakan pokok segar sebagai baja terus kepada tanah.

Seperkara lagi, kita juga boleh jadikan baja cecair menggunakan daun turus pagar ini.

Pagar Hidup

Pernah terfikir tak mengapa ada terdapat orang sebut nama pokok gliricidia ini sebagai pokok pagar? Sebab memang fungsinya yang boleh menjadi pagar hidup!

Kita hanya perlu mengambil keratan batangnya dan cucuk di sekitar kebun. Nanti dalam masa beberapa minggu keratan tersebut akan mula mengeluarkan pucuk. Tanda ia telah menjadi satu pokok yang baharu!

Bagaimanapun, menjadikan pokok gamal ini sebagai pagaran akan ada kosnya. Kita akan terpaksa sentiasa cantas agar mengawal tumbesaran. Sisa cantasan ini boleh kita longgokkan di satu tempat di kebun untuk dijadikan kompos.

Racun Organik

Hal ini saya baca di Filipina mereka menggunakan dedaun pokok gamal sebagai racun organik.

Makanan Haiwan Ternakan

Dedaun pokok ini selain daripada baja dan racun boleh juga menjadi makanan untuk haiwan ternakan. Boleh potong dan berikan kepada ternakan seperti kambing dan lembu.

Kayu Api

Jika di negara-negara dunia ketiga seperti Afrika dan Filipina, kayu pokok gamal ini dijadikan sebagai kayu api.

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!