fbpx

Cara Tanam Sawi Putih di Dalam Pasu / Polibeg di Rumah

Sawi putih adalah antara tanaman yang mudah ditanam di dalam pasu. Penjagaannya sama sahaja seperti kita menanam sawi hijau.

Maklumat botani

Nama biasa: Sawi putih,
Nama Inggeris: white bok choy
Nama saintifik: Brassica rapa L.
Keluarga: Cruciferae

Sawi putih adalah tumbuhan satu musim. Nak tahu apa kelebihan belajar botani tumbuhan? Jom baca penerangan saya Belajar Istilah Botani Untuk Noob.

Semai

Kita boleh memilih untuk menyemai terus biji sawi putih ke dalam pasu atau kita semai dahulu di dalam talam semaian.

Mengikut pengalaman saya, elok lah kita semai dahulu dalam talam semaian. Satu lubang dengan 1-2 biji sahaja.

Isi penuh talam semian dengan media semaian seperti peat moss atau sabut kelapa hancur (cocopeat). Kemudian letak 1-2 biji benih. Tabur sedikit lagi media semaian bagi menutupi biji benih.

Siram halus agar benih tidak terkeluar.

Biasanya sekitar 2-4 hari biji benih akan mula bercambah. Letak talam semaian di tempat ada cahaya matahari. Bibit yang bercambah akan menjadi tumbuh melidi jika kurang cahaya.

Tunggu sehingga ada 4-5 helai daun sebelum pindah ke dalam pasu.

Pemindahan ke dalam Pasu

Sediakan pasu dengan campuran tanah berkualiti. Campuran tanah ini anda boleh belajar buat sendiri atau pun beli di nurseri pokok.

Waktu terbaik pindah adalah lewat petang selepas asar ketika terik matahari mula turun.

Siram dahulu anak benih dengan air sebelum pindah. Pindahkan secara berhati-hati agar akar pokok kurang tercedera.

Saiz pasu boleh jadi dari kecil sehinggalah besar. Jika saiz pasu kecil, kita boleh tanam sekitar satu pokok per pasu. Jika besar, kita boleh menanam banyak anak pokok dengan jarak 5-10 cm per pokok.

Penjagaan Sawi Putih

Sawi putih seperti sayur berdaun lain memerlukan tanah yang sentiasa lembab. Oleh itu pastikan siraman dibuat dua kali sehari.

Sawi putih adalah sayur yang suka baja organik seperti kompos dan tahi ayam. Baja seminggu selepas pemindahan dilakukan. Dua minggu kemudian kita boleh baja lagi. Kuantiti paling sesuai adalah segenggam se pasu setiap kali pembajaan dibuat.

Jika anda sukakan baja kimia, anda boleh gunakan baja NPK hijau dengan kadar satu sudu makan (3-5g) sekali pembajaan. Ini bermula dengan seminggu selepas tanam dan dua minggu selepas tanam.

Untuk kawalan serangga perosak dan penyakit, saya sarankan kita gunakan cuka kayu dan racun organik buatan sendiri. Hal ini mampu mencegah tanaman kita daripada diserang serangga seperti lalat putih dan koya.

Tuai Sawi Putih

Sawi putih boleh dituai apabila mencecah umur 24-30 hari. Kita boleh tuai terus dengan menarik pokok dari tanah atau memotong pada pangkalnya.

Untuk jualan, saya biasa lihat petani menuai sekali akar. Selepas tuai mereka akan merendam sawi putih di dalam air bagi memastikan kesegarannya terjamin sehingga sampai ke tangan pembeli.

Kesimpulan

Sawi putih adalah antara sayur berdaun yang senang ditanam di dalam pasu.

Jika ada soalan atau pandangan, boleh la anda utarakan di bahagian komen. Sama-sama kita berbincang.

Izham Alias

Graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di sebuah kolej komuniti di Sabah. Suka berkebun dan menulis pengalaman berkebun di blog ini. Sebarang pengiklanan, jemputan bengkel/seminar berkebun boleh terus emel ke izham@kebunbandar.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Content