Bawang putih sering digunakan dalam masakan. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa bawang putih mudah ditanam di Malaysia?

Maklumat Botani

Nama tempatan: bawang putih
Nama Inggeris: garlic
Nama saintifik: Allium sativum
Keluarga: Amaryllidaceae

Bawang putih sifatnya tumbuh secara rumpun. Jika nak tahu apa maksud setiap istilah botani ini, rujuk Belajar Botani Untuk Noob.

Cara Menanam

Bawang putih boleh ditanam melalui dua cara iaitu dengan biji benih ataupun bebawang.

Di Malaysia, sukar untuk kita dapatkan bekalan biji benih bawang putih melainkan kita yang ambil benih tersebut daripada bunga bawang putih.

Untuk permulaan, paling mudah kita tanam menggunakan bebawang.

Ambil satu labu bawang putih. Buka labu tersebut dan ambil setiap ulas.

Jika kita ingin bawang putih yang besar, simpan ulas tersebut di dalam peti ais bahagian chiller sekitar 10-15 hari. Hal ini bagi memberi kesan sejuk seperti di negara empat musim.

Ini akan memberi kesan agar bebawang tumbuh lebih besar.

Sebelum itu, pastikan kita telah menyediakan pasu yang telah berisi tanah campur. Boleh rujuk resipi campuran tanah untuk pasu yang ditulis oleh saya.

Biasanya sekitar 6-8 hari kita akan mula nampak ulas bawang putih mengeluarkan tunas.

Petua untuk menghasilkan bawang putih yang banyak terletak pada bunganya.

Sepanjang menanam, kita mungkin akan nampak satu daun sedikit keras keluar dari celah dedaun bawang. Daun ini adalah daun yang akan mengeluarkan bunga. Mungkin untuk pertama kali menanam, kita tidak akan perasan sangat.

Tetapi usah risau. Nanti mata anda akan mahir.

Bunga ini perlu dicantas buang. Jika tidak nanti masa tuai mungkin tiada bawang langsung untuk dituai. Bunga ini akan menyerap segala nutrien untuk menghasilkan bunga.

Walaupun begitu, jika kita inginkan cabaran bolehla kita biarkan bunga itu membesar dan menghasilkan biji benih. Kemudian kita boleh cuba menanam benih tersebut. Mana tahu dapat benih bawang putih varieti Malaysia?

Tuai

Kalau kita menanam untuk daun, kita boleh mula menuai sekitar sebulan selepas bawang putih bercambah.

Manakala untuk bebawang, kita perlu tunggu sehingga 6-8 bulan bergantung pada varieti bawang putih kita tanam.

Petanda untuk tuai adalah apabila dedaun bawang mula berwarna kekuningan. Seterusnya dedaun tersebut akan rebah.

Masa inilah kita boleh menuai bawang putih. Kita tidak perlu buang daun bawang putih yang kering itu.

Ikat dan jemur bawang putih di tepi rumah sehingga dedaun betul betul kering. Maka boleh la kita mendapat bawang putih untuk masakan.

Jika kita ingin dapatkan bekalan bawang putih berterusan, elok lah kita menanam mengikut jadual. Contohnya bulan ini tiga pasu bawang putih dan diikuti bulan hadapan lagi.

Kesimpulan

Menanam bawang putih ini mudah sahaja seperti menanam bawang merah. Cuma masa menuai bawang putih tiga kali ganda lama berbanding bawang merah.

Tidak Mahu Terlepas Maklumat Terkini Kebun Bandar?
Saya nak kongsi PERCUMA je buat masa ni. Cepat join!

LANGGAN EMEL KEBUN BANDAR

Masukkan nama dan alamat emel anda

*Kami hormati privasi anda. Bila-bila masa anda boleh berhenti melanggan.