Menanam kubis bukanlah terhad di Tanah Tinggi Cameron sahaja. Kini kubis boleh ditanam di tanah rendah. Tetap kita dapat tuai kubis bulat.

Maklumat Botani

Nama biasa: Kubis
Nama Inggeris: Cabbage
Nama saintifik: Brassica oleracea var. capitata
Keluarga: Brassicaceae

Kubis adalah tanaman sama keluarga seperti sawi. Kubis adalah tanaman herba berdaun. Bermakna kubis tiada batang utama keras seperti pokok biasa. Kubis hidup semusim. Untuk ketahui setiap maksud istilah botani ini, adalah bagus anda rujuk Istilah Botani Untuk Noob agar lebih faham lagi.

Semai Benih Kubis

Biji benih kubis adalah sesuai untuk kita semai dahulu di dalam talam semaian atau bekas kecil dahulu. Apabila benih sudah bercambah, barulah kita pindah ke dalam pasu.

Hal ini bagi mengelakkan benih kita dilari atau dimakan oleh semut. Tambahan pula benih kubis adalah benih jenis halus. Sukar untuk kita lihat nanti apabila sudah ditanam di dalam pasu.

Biasa dalam 4-5 hari biji benih akan mula bercambah. Biarkan dahulu sehingga 10 hari selepas itu barulah pindah ke dalam pasu.

Pindah ke dalam Pasu

Setelah cukup umur pindah, kita pindahkan kubis ke dalam pasu di waktu petang. Seeloknya selepas pindah kita pastikan pasu diletak tempat redup.

Campuran tanah 3:2:1 adalah paling sesuai untuk penanaman kubis dalam pasu. Dapatkan cara campuran tanah di sini.

Penjagaan

Untuk siraman, macam biasa kita siram sekitar dua kali sehari. Pastikan tanah sentiasa lembab. Jika musim panas terik, siram tiga kali sehari. Jika kita rasakan sukar untuk meluangkan masa menyiram, kita boleh membuat sistem siraman automatik.

Pokok kubis paling suka akan baja organik seperti baja tahi ayam dan kompos. Tabur satu sudu makan dua minggu sekali atau sebulan dua kali.

Serangga seperti ulat beluncas paling suka memakan daun kubis. Kawal dengan cuka kayu dan racun serangga buatan sendiri.

Tuai

Kubis akan mula membentuk bulat setelah umur mencecah 90 hari atau 3 bulan selepas pindah dalam pasu. Pada awal pembesaran kita akan nampak rupa kubis sama seperti pokok kailan.

Untungnya menanam di rumah adalah kita boleh tuai daun kubis bila-bila masa peringkat umur. Nampak sahaja daun yang sesuai, kita boleh petik untuk dibuat masakan. Kita tidak perlu tunggu sehingga bentuk bulat pada kubis.

Kita masak daun kubis seperti biasa.

Kesimpulan

Kubis adalah tanaman yang boleh sebenarnya ditanam di tanah rendah. Tidak terhad di Cameron Highland.

Yang penting kita tahu bahawa kubis memakan masa sekitar 3 bulan untuk membentuk bulat.

Diharapkan penulisan saya ini membantu anda untuk menanam kubis. Jika ada soalan atau pandangan boleh lontarkan di komen. Sama-sama kita bincangkan.