
Sabut kelapa (dikenali cocopeat dalam Inggeris) paling banyak digunakan dalam penanaman fertigasi sebagai media tanaman yang bagus, sehingga ramai anggap ia hanya sesuai untuk pertanian komersial berskala besar. Sebenarnya tidak. Kita sebagai pekebun bandar pun boleh menggunakannya dalam penanaman di rumah.
Sabut kelapa ialah bahan organik yang berasal daripada lapisan luar buah kelapa. Dalam penanaman, sabut ini diproses kepada beberapa bentuk utama, masing‑masing dengan fungsi berbeza dalam media tanaman.
Sabut kelapa tidak sama seperti tanah di mana tanah mengandungi beberapa bahan seperti pasir, lempung dan liat. Sabut kelapa ini lain sifatnya berbanding tanah.
Pertama ia adalah bahan organik semata-mata. Demi masa, sabut kelapa akan terurai menjadi humus. Humus adalah bahan organik paling kecil. Walaupun begitu, sabut kelapa tidaklah mudah terurai, kerana kandungan lignin yang tinggi di dalamnya. Sebab itu petani fertigasi boleh guna sabut kelapa sampai lebih daripada 5 musim penanaman.
Kedua, sabut kelapa mampu menyerap dan menyimpan air dengan bagus. Amat sesuai untuk kita yang ingin menanam pokok di dalamnya.
Sabut kelapa tidak menyimpan nutrien. Nutrien seperti nitrogen, kalsium dan magnesium sangat rendah dalam sabut kelapa, walaupun fosforus dan kalium sedia ada bergantung di mana sabut kelapa itu didapati. Jadi ia bukan sepenuhnya tiada nutrien, cuma tidak seimbang untuk keperluan pokok. Sebab itu sabut kelapa perlu dibekalkan dengan baja secukupnya, terutama nitrogen.
pH media tanaman ini tidaklah seperti peatmoss yang bersifat asidik iaitu pH sekitar 4-5. Media tanaman organik ini mempunyai pH hampir neutral iaitu sekitar pH 6-7 sahaja. Ideal untuk menjadi media tanaman.
Ini bahagian yang ramai pekebun baru terlepas pandang. Sabut kelapa mentah, terutama yang belum diproses dengan teliti, mengandungi tannin dan kadar garam yang agak tinggi. Kedua-dua bahan ini boleh menghalang pertumbuhan pokok, malah menyebabkan daun hangus di tepi atau pokok layu selepas ditanam.
Sebelum guna, rendam sabut kelapa dalam air bersih selama 24 jam, kemudian buang air rendaman tersebut. Ulang proses ini sebanyak 2 hingga 3 kali, sehingga air rendaman kelihatan jernih dan tidak lagi berwarna perang gelap. Kalau guna dalam bentuk blok yang dimampatkan, blok tersebut akan mengembang beberapa kali ganda semasa proses rendaman ini.
Kalau pokok tiba-tiba layu atau daunnya hangus selepas ditanam dalam sabut kelapa baharu, jangan terus syak penyakit. Cuba semak dahulu media tersebut, sebab kemungkinan besar puncanya garam berlebihan yang belum betul-betul luntur.
Sabut kelapa boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu sabut kelapa hancur, sabut kelapa potong dan serat sabut kelapa. Setiap satu jenis ini lain penggunaannya dalam dunia pertanian.
Sabut kelapa hancur (dinamakan cocopeat, coco coir atau coco dust) banyak digunakan dalam sistem fertigasi. Bentuk yang halus ini membolehkan sabut kelapa hancur menyimpan air dengan bagus. Petani fertigasi biasanya menggunakan sabut kelapa hancur ini sehingga 4 musim penanaman.
SKH dijual dalam dua bentuk. Bentuk pertama adalah dalam guni. Manakala bentuk kedua adalah dalam blok atau kiub. Satu guni boleh mengisi sekitar 4-6 polibeg saiz 16 x 16 inci.
Dari segi harga, guni sekitar 7-10kg biasanya dijual sekitar RM14-15 seguni kalau beli borong beberapa guni sekaligus, manakala blok yang dimampatkan sekitar 4.5-5kg pula berbeza-beza mengikut jenama, dari sekitar RM8 sehingga RM30 sebiji. Harga guni memang lebih murah bagi setiap kilogram, tapi bagi saya, blok lebih berbaloi beli untuk pekebun rumah. Blok lebih halus, tiada campuran serat di dalamnya, dan lebih senang disimpan berbanding guni yang besar.
Serat sabut kelapa pula adalah sabut kelapa panjang. Serat yang panjang ini biasa digunakan untuk penanaman orkid sama seperti sabut kelapa potong.
Anda boleh gunakan sabut kelapa sebagai salah satu campuran tanah. Dalam cara campuran tanah terbaik, saya bercerita menggunakan sabut kelapa dengan campuran 3 tanah, 2 sabut kelapa dan 1 tahi ayam. Campuran ini sahaja sudah bagus untuk menjadikan media tanaman itu subur.
Jika kita ingin menjadikan 100% sabut kelapa pun tiada masalah, asalkan sudah melalui proses rendaman seperti yang saya terangkan tadi. Ada pendekatan yang menggunakan sama seperti petani fertigasi iaitu tanam guna sabut kelapa dan beri baja AB. Baja AB adalah baja lengkap untuk fertigasi.
Bagi saya, jika kita mampu, apa salahnya? Tidak salah guna baja AB walaupun ada mengatakan baja ini tidak mesra organik. Bagi saya, baja adalah baja. Tiada kajian yang menunjukkan baja AB ini memudaratkan kesihatan.
Pilihan kedua pula adalah mencampurkan dengan baja selain baja AB. Boleh jadi baja organik atapun baja sebatian.
Selain sebagai media tanaman, SKH juga boleh digunakan sebagai media semaian menggantikan peat moss. Sama seperti guna untuk tanaman dewasa, pastikan sabut kelapa sudah direndam dan dibasuh dahulu, sebab anak benih lebih sensitif kepada kandungan garam berbanding pokok matang.
Jika kita menanam menggunakan sabut kelapa, antaranya yang saya lihat adalah pasu akan mudah tumbang. Terutama jika kita menanam pokok berat seperti cili dan terung. Apabila pokok mula besar, batang dan buah pokok akan menyebabkan pokok mudah tumbang. Hal ini boleh diatasi dengan guna pasu tanah liat ataupun menambah batu sekitar 1/4 di dalam pasu.
Satu lagi kelemahan yang kurang diberi perhatian, kualiti sabut kelapa boleh berbeza-beza ikut sumber dan cara pemprosesan. Ada batch yang kandungan garamnya lebih tinggi daripada biasa, walaupun nampak kering dan bersih dari luar. Sebab itu proses rendam dan basuh tadi bukan langkah pilihan, tapi langkah wajib setiap kali guna sabut kelapa baharu, tidak kira dari mana sumbernya.
Ringkasnya, sabut kelapa ini bukan sekadar bahan pengisi pasu. Ia media tanaman yang menyimpan air dengan bagus dan menggemburkan tanah, tapi datang dengan dua syarat yang perlu kita patuhi: rendam dahulu untuk buang tannin dan garam, dan bekalkan baja secukupnya kerana nutriennya sendiri tidak seimbang.
Kalau anda baru nak mula, pilih sama ada guni untuk jimat kos bagi kuantiti besar, atau blok untuk lebih senang simpan dan lebih halus. Apa jua pilihan, jangan skip proses rendaman itu, sebab itulah beza antara pokok yang subur dengan pokok yang tiba-tiba layu tanpa sebab yang jelas.
Cuba dahulu dalam skala kecil, kaji hasilnya, barulah guna secara meluas di kebun rumah kita.
