Cara Tanam Cili Hiasan dalam Pasu (Dari Semai sampai Buah Lebat)

emel kebun bandar

Ramai yang membeli cili hiasan di nurseri kerana penampilannya yang menarik — buahnya kecil, tumbuh tegak menghala ke atas dan berwarna-warni: ungu, kuning, jingga dan merah dalam satu pokok yang sama. Namun, selepas satu dua minggu, daun mula menguning, buah gugur, dan akhirnya pokok mati.

Sebenarnya, cili hiasan tidak sukar untuk dijaga. Yang penting, kita perlu memahami bahawa ia tetap tergolong dalam genus Capsicum, iaitu spesies yang sama dengan cili padi atau cili besar. Keperluan asasnya adalah sama; perbezaannya hanya pada tujuan penanaman, iaitu untuk keindahan dan bukan untuk kegunaan dapur. Ini penulisan saya tentang penanaman cili untuk makan.

Dalam artikel ini, dikongsikan cara menanam cili hiasan bermula daripada biji benih sehingga pokok berbuah lebat, sesuai untuk ditanam dalam pasu atau polibeg di kediaman bandar.

Maklumat Botani

Nama Melayu: Cili hiasan
Nama Inggeris: Ornamental pepper, ornamental chili
Nama saintifik: Capsicum annuum (bagi kebanyakan varieti hiasan)
Keluarga: Solanaceae

Bolehkah Cili Hiasan Dimakan?

Persoalan ini sering ditanyakan.

Jawapannya, boleh, kerana ia tetap merupakan spesies Capsicum annuum yang sama dengan cili biasa. Namun, kebanyakan varieti hiasan dibiakkan khusus untuk keindahan buah dan bentuk pokok, bukan untuk rasa — sebahagiannya sangat pedas, manakala sebahagian lagi hambar.

Sekiranya benih dibeli daripada nurseri yang dilabelkan sebagai “ornamental”, eloklah dianggap ia bertujuan untuk hiasan sahaja, melainkan pembekal menyatakan secara jelas bahawa ia selamat untuk dimakan.

Cara Menyemai Biji Benih Cili Hiasan

  1. Sediakan talam semaian atau cawan plastik berlubang di bahagian bawah, kemudian isikan dengan peatmoss atau cocopeat. Kedua-dua medium ini sesuai digunakan kerana mampu mengekalkan kelembapan dengan baik.
  2. Semaikan 1-2 biji benih pada setiap lubang, pada kedalaman kira-kira 0.5 sentimeter sahaja. Elakkan menanam terlalu dalam.
  3. Siram menggunakan semburan halus, dan letakkan di tempat teduh terlebih dahulu.
  4. Biji benih cili hiasan biasanya bercambah dalam tempoh 7 hingga 14 hari, sama seperti cili padi. Sekiranya benih telah lama disimpan, tempoh percambahan mungkin lebih panjang.
  5. Sebaik sahaja bercambah dan mengeluarkan dua helai daun, anak benih boleh mula didedahkan kepada cahaya matahari secara beransur-ansur. Elakkan meletakkannya terus di bawah panas terik kerana anak benih masih lembut dan mudah rosak akibat cahaya matahari yang terlalu terik.

Bilakah Masa Sesuai untuk Pindah Tanam?

Anak pokok perlu ditunggu sehingga mempunyai 4 hingga 6 helai daun sebenar (biasanya dalam tempoh 3 hingga 4 minggu selepas disemai) sebelum dipindahkan ke pasu yang lebih besar. Sekiranya pemindahan dilakukan terlalu awal semasa akar masih rapuh, risiko pokok mengalami kejutan pemindahan dan mati adalah tinggi.

Penyediaan Pasu dan Campuran Tanah

Cili hiasan sesuai ditanam dalam pasu bergaris pusat 15 hingga 30 cm kerana saiz pokoknya tidak sebesar cili besar atau cili padi. Gunakan campuran tanah yang kaya dengan bahan organik — tanah hitam atau tanah sawit boleh dicampurkan dengan kompos atau vermikompos pada nisbah 2:1 atau 3:1. Boleh baca cara campuran tanah untuk ketahui cara campuran tanah yang bagus untuk setiap tanaman.

Pastikan pasu mempunyai lubang saliran yang baik kerana cili tidak sesuai jika akarnya sentiasa berada dalam keadaan bertakung air, yang merupakan punca utama akar reput.

Cara Memindahkan Anak Pokok

  1. Cungkil perlahan-lahan bahagian bawah talam semaian bagi mengeluarkan anak pokok tanpa merosakkan akarnya.Saya lebih suka menggunakan belakang sudu. Jika guna cawan, boleh tekan tekan sedikit cawan plastik dan keluarkan perlahan-lahan anak pokok.
  2. Tanam pada aras yang sama dengan permukaan tanah asal di pasu yang baharu.
  3. Selepas ditanam, taburkan sedikit baja kompos di sekeliling pangkal pokok pada jarak kira-kira 5 sentimeter daripada batang, dan elakkan baja daripada bersentuhan terus dengan batang.
  4. Siram secukupnya dan letakkan pokok di tempat teduh selama 3 hingga 5 hari untuk membolehkan ia pulih daripada kejutan pemindahan, sebelum didedahkan sepenuhnya kepada cahaya matahari.

Penjagaan Harian

Cahaya matahari: Cili hiasan memerlukan sekurang-kurangnya 6 jam cahaya matahari sehari untuk berbunga dan berbuah dengan lebat. Sekiranya kekurangan cahaya, pokok akan kelihatan kurus dan menghasilkan buah yang sedikit.

Penyiraman: Siram sekali sehari, sama ada pada waktu pagi atau petang. Pastikan tanah sentiasa lembap tetapi tidak bertakung air. Pada musim panas, penyiraman mungkin perlu dilakukan sebanyak dua kali sehari.

Pembajaan: Selepas 2 minggu pokok stabil di dalam pasu, pembajaan boleh dimulakan menggunakan baja organik seperti kompos setiap 2 minggu sekali, iaitu segenggam di sekeliling pangkal pokok. Apabila pokok mula berbunga, baja boleh ditukar kepada baja NPK yang mempunyai kandungan kalium (K) lebih tinggi bagi menggalakkan pembentukan buah, contohnya baja NPK 12-12-17.

Pemangkasan: Apabila pokok mencapai ketinggian 15 hingga 20 sentimeter, pucuk atas boleh dipangkas atau cubit buang bagi menggalakkan pokok bercabang dengan lebih rimbun dan menghasilkan buah yang lebih banyak.

Masalah yang Biasa Berlaku

  • Daun menguning dan gugur — biasanya menandakan tanah terlalu lembap sehingga akar lemas, atau kekurangan baja. Keadaan saliran pasu perlu diperiksa terlebih dahulu.
  • Bunga gugur tanpa menjadi buah — lazimnya berkaitan dengan kekurangan proses pendebungaan (akibat kekurangan serangga atau angin) atau tekanan haba dan kekeringan. Pokok boleh digoncang secara perlahan pada waktu pagi bagi membantu proses pendebungaan sendiri.
  • Serangan kutu daun (afid) dan lalat putih — serangga kecil ini menghisap jus daripada daun muda cili. Larutan racun organik atau larutan sabun cair boleh disembur setiap 3 hingga 4 hari sehingga serangan berkurangan.
  • Reput pangkal batang — biasanya berpunca daripada tanah yang terlalu lembap dan saliran yang tidak baik. Penyiraman berlebihan perlu dielakkan dan pasu perlu dipastikan tidak bertakung air selepas hujan.

Berapa Lamakah Tempoh untuk Berbuah?

Secara purata, cili hiasan mula berbunga dalam tempoh 6 hingga 8 minggu selepas disemai, manakala buah pertama boleh dituai atau mula bertukar warna dalam tempoh 2 hingga 3 bulan selepas ditanam, bergantung kepada varieti dan cara penjagaan.

Penutup

Cili hiasan merupakan pilihan yang sesuai bagi sesiapa yang ingin memiliki tanaman berwarna-warni di ruang tamu, tepi tingkap atau anjung rumah tanpa memerlukan ruang yang luas. Cara penjagaannya tidak jauh berbeza daripada cili biasa; yang penting ialah memastikan cahaya matahari yang mencukupi dan saliran tanah yang baik. Dengan penjagaan yang betul, pokok akan berbuah lebat dan bertahan lama sebagai hiasan semula jadi di rumah.

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    error: Content is protected !!