
Tomato adalah buah yang paling banyak diguna dalam masakan. Tentunya ramai teringin menanam tomato dengan jayanya. Penanaman tomato terus-terang saya katakan bahawa susah. Hanya yang terpilih sahaja mampu. Dan tentunya anda orang terpilih kerana belajar menanam tomato daripada saya!
Sejarah asalnya, tomato bukanlah makanan ketika di bawa ke Eropah. Asal tomato dari Amerika Tengah. Para penjajah Eropah membawa pokok tomato ke Eropah sebagai hiasan. Mereka tidak makan kerana takut tomato beracun. Entah bagaimana akhirnnya tomato menjadi satu makanan yang tersebar luas ke seluruh dunnia selepas itu.
Nama Melayu: Tomato
Nama Inggeris: Tomato
Nama saintifik: Solanum lycopersicum
Keluarga: Solanaceae
Tomato adalah tumbuhan renek berbatang lembut. Jangka hayat pokok tomato pula adalah semusim. Ini bermakna apabila tomato sudah cukup menghasilkan buah, ia akan mula mati. Biasa jangka hayat tomato sekitar empat hingga enam bulan, tergantung pada varieti.

Tomato adalah antara tanaman yang paling banyak ditanam dan terhasilnya pelbagai varieti yang ada. Ada tomato ceri, tomato besar, tomato bulat bahkan tomato pelbagai warna.
Terdapat dua jenis pertumbuhan tomato iaitu pertumbuhan pasti (determinate growth) dan pertumbuhan tak tentu (indeterminate growth).
Tomato pertumbuhan pasti adalah tomato yang tumbuh pada ketinggian tertentu kemudian berbunga serentak, berbuah dan seterusnya mati. Biasanya tomato ini adalah jenis renek.
Manakala tomato pertumbuhan tak tentu adalah jenis tomato yang menghasilkan bunga tidak serentak dan kekal mengeluarkan pucuk baharu. Tomato ini jenis menjalar.
Kebanyakan biji benih tomato yang dijual di Malaysia adalah jenis pertumbuhan tak tentu. Bahkan tomato yang kita beli di pasar pun jenis pertumbuhan tak tentu.
Setelah kit mengetahui asas botani tomato, barulah kita masuk ke langkah-langkah penanamannya.
Kita mulakan dengan penyediaan pasu dan campuran tanah khas untuk tomato. Tomato sesuai ditanam di dalam pasu yang besar. Saiz sesuai adalah 30 cm diameter dengan 30 cm tinggi. Manakala polibeg saiz 16 x 16 inci dan ke atas sesuai untuk penanaman tomato.
Manakala untuk campuran tanah, eloklah gunakan campuran yang poros dan kaya dengan bahan organik. Tentunya saya akan saran anda beli tanah campuran berkualiti seperti tanah tiga dalam satu.

Saya tidak sarankan anda guna tanah hitam mahupun tanah bakar. Jika mahu juga gunakan tanah ini, pastikan anda membuat campuran dengan vermikompos dan sabut kelapa hancur (cocoepat) pada nisbah 2:1:1 iaitu 2 tanah hitam, 1 vermikompos dan 1 sabut kelapa hancur. Jika mahu tahu lebih lanjut tentang formula ini, boleh rujuk penulisan saya ini.
Penanaman tomato bermula dengan kita menyemai biji benih. Biji benih boleh kita dapat daripada buah tomato yang dibeli di pasar atau pun kita beli secara online.
Kalau kita lihat betul betul pada paket akan tertulis F1 Hybrid. Hibrid di sini bermaksud biji benih tomato itu adalah jenis gabungan daripada dua induk yang berkualiti. Tomato yang terhasil daripada biji benih F1 lebih berkualiti dengan ada ciri-ciri tahan penyakit dan kurang diserang perosak. Selain itu memberi hasil yang konsisten.
Memang kalau sesiapa untuk kurang stres menanam tomato akan saya sarankan mula menanam tomato dengan paket F1 Hibrid ini. Antara jenama yang saya beli dan memang menjadi adalah Tomato GWG.

Setelah mendapatkan biji benih berkualiti, anda boleh melakukan langkah semaian dengan menyemai ke dalam dulang semaian.
Pertama isi dulang semaian dengan medium semaian yang steril seperti peatmoss ataupun sabut kelapa hancur (cocopeat).
Kedua, buat sedikit lubang di dalam medium semaian tadi dan masukkan satu biji benih tomato setiap lubang. Biar selesai taruh semua biji benih dalam setiap lubang semaian barulah kita kambus. Hal ini agar kita tidak lupa lubang mana yang telah dimasukkan biji benih.
Siram perlahan dulang semaian. Saya sarankan gunakan kepala penyiram mudah alih ini agar siraman tidak menyebabkan peatmoss terkeluar. Lakukan siraman dua kali sehari. Tidak perlu siram jika peatmoss masih lembab.
Letak dulang semaian di tempat ada cahaya matahari. Boleh di tepi tingkap ataupun di tepi rumah. Benih atau bibit tomato akan mula bercambah sekitar lima hingga tujuh hari. Ketika inilah waktu kritikal untuk anak benih mendapat cahaya yang cukup.
Tujuh hari selepas bibit bercambah, anda boleh mula sembur anak benih tomato dengan cuka kayu bagi menguatkan ketahanan anak pokok.
Bagi yang inginkan cabaran, anda boleh menanam menggunakan biji benih daripada buah tomato yang dibeli.
Pertama dapatkan buah tomato yang berwarna merah pekat. Belah tomato tersebut dan ekstrak keluar biji benih tomato yang ada. Benih tomato tersorok sekali dengan lendir buah.
Bab ini paling saya malas. Perlu kita ambil penapis dan tapis sehingga tinggal biji sahaja. Seperti kita tapis makanan.
Cara kedua pula adalah kita ambil semua biji dan terus semai ke dalam bekas semaian. Biasa bekas semaian saya guna adalah bekas tapis kecil yang berisi dengan peatmoss.
Saya suka menyemai biji benih di atas dulang semaian. Hal ini kerana pengurusan yang mudah dan cantik di mata. Kalau nak guna sarang telur ayam itu, bukanlah saya. Antara sebabnya adalah nanti apabila basah akan merosakkan dan susah nak angkat. Laburlah beli talam semaian. Setakat ini dulang semaian yang saya pernah beli masih boleh bertahan sehingga 2 tahun lamanya.
Untuk dapat idea semaian benih ini, boleh ikut penulisan saya tentang cara semai benih dengan betul di sini.
Apabila anak pokok berumur 25 hingga 30 hari, sudah tiba masanya untuk kita pindahkan ke dalam pasu. Satu pasu cukup dengan satu pokok tomato.
Pemindahan anak pokok tomato sesuai dibuat di waktu lewat petang. Tanam anak pokok sedalam hingga cabang pertama. Hal ini akan menggalakkan pertumbuhan sistem akar yang kuat untuk pokok tomato nanti.

Selepas perpindahan, anda boleh terus membaja anak pokok. Korek sedikit dan bubuh baja dengan jarak 5-10 cm jauh dari pangkal. Siram. Letak pancang bulat terus selepas itu sebagai sokongan.
Jika pada keesokan harinya anda nampak anak pokok layu, mungkin semasa pindah tanam akar terluka. Untuk itu elok untuk anda lindung anak pokok dengan jaring hitam. Biarkan selama lima hingga tujuh hari sebelum singkir jaring hitam.
Pokok tomato sangat sensitif pada tanah yang kering. Oleh itu pastikan anda siram dua kali sehari. Saya biasa siram menggunakan tong siram yang bagus. Cara untuk kenal pasti betul air sudah menyerap masuk ke dalam pasu adalah dengan kita melihat pada bontot pasu. Apabila air sudah mengalir dari bontot pasu, tandanya air sudah cukup. Jangan terlebih siram atau akan datang masalah penyakit tomato nanti.
Pastikan pokok tomato anda mendapat cahaya matahari sekurangnya enam jam sehari. Cahaya matahari penting bagi pokok buah terutamanya dalam menghasilkan makanan daripada fotosintesis.
Menurut bacaan saya, sejak awal tahun 1940an lagi, penjajah Inggeris telah berjaya menanam tomato di Tanah Melayu. Mereka menggunakan baja tahi lembu sahaja walaupun ketika itu telah mula diperkenalkan baja kimia.
Pokok tomato memberi tindakbalas yang bagus terhadap baja organik terutama baja vermikompos, mengikut pengalaman saya.
Jika anda nak pertumbuhan dan hasil yang cepat, memang boleh anda gunakan baja kimia sebab itulah kelebihan baja kimia. Pada 4 minggu awal penanaman, gunakan baja NPK hijau dengan kadar 1 sudu makan per 2 minggu. Masuk minggu keenam, beralih pula ke baja NPK biru dengan kadar sama.
Masuk umur 2 minggu selepas tanah di dalam pasu, anda boleh mencubit pucuk tomato bagi menggalakkan lebih banyak cabang keluar. Hal ini kerana lebih banyak cabang, lebih banyak buah tomato yang akan terhasil.
Jika dalam masa 2 minggu awal setelah kita pindah anak pokok ke dalam pasu adanya keluar bunga tomato, eloklah kita cabut. Bagi pokok fokus dahulu segala nutrien kepada kekuatan akar.
Biasanya pada umur 3 minggu, tomato akan mula menampakkan putik bunga. Di sini anda boleh membuat pendebungaan sendiri dengan menjentik sedikit pada bunga tomato di awal pagi sekitar 9-10 am.
Hal ini bagi menggalakkan pendebungaan berlaku antara bunga jantan dan bunga betina.
Pokok tomato adalah pokok menjalar. Kita boleh biarkan pokok tomato kita menjalar di atas tanah. Atau jika kita ingin lebih kemas dan teratur kita biarkan ia memanjat. Sama ada pada pagar rumah atau gunakan tiang sokongan.
Terdapat pelbagai idea pancang yang boleh kita gunakan untuk tomato ini. Tapi bagi saya, pancang bulat adalah paling ideal untuk tomato ditanam di dalam bekas.

Tomato adalah satu keluarga dengan cili dan terung. Oleh itu mereka mempunyai perosak dan penyakit yang sama.
Serangga perosak utama tomato adalah kutu daun (aphid) dan kepinding putih (whiteflies). Kepinding putih menyerang sejak peringkat anak pokok lagi. Senang sahaja nak tahu jika tomato diserang serangga ini. Lihat pada bawah daun sama ada seakan debu putih. Apabila kita lalukan tangan pada daun anak pokok akan ada serangga putih bertebangan.
Kawalan awal boleh kita buat dengan menyembur racun organik seperti minyak mambu. Minyak mambu mempunyai bahan aktif yang mampu mengawal lebih 100 jenis serangga. Sebab itulah saya sendiri menghasilkan racun organik dengan ekstrak minyak mambu yang boleh anda dapatkan di sini.
Selain itu, cuka kayu juga mampu meningkatkan ketahanan tanaman terhadap serangan perosak dan penyakit. Ikuti penulisan lanjut tentang manfaat cuka kayu terhadapan tanaman di sini.
Mahu cabaran? Anda boleh membuat racun organik sendiri mengguna bahan dari dapur seperti bawang putih dan cili padi sahaja! Ikuti penulisan kaedah pembuatan racun organik di sini.
Pernah tak apabila elok sahaja pokok tomato ada bunga tiba-tiba anda dapati pokok layu tanpa sebab. Anda sudah siram, beri baja, letak tempat cukup cahaya matahari tetapi tetap tanaman anda sayang itu layu.
Mesti terfikir kenapa, bukan? Akar dan batang pokok tomato sangat sensitif pada serangan kulat phytophthora. Kulat ini sedia ada dalam tanah dan paling mudah menjangkiti pokok tomato. Sebab itulah di awal langkah penanaman saya sarankan anda membeli biji benih berkualiti. Hal ini sebenarnya untuk mengurangkan peratus serangan kulat jahat ini.
Sementara itu, anda boleh matikan kulat ini dengan menggoreng tanah campur di dalam tin biskut selama 30 minit sebelum guna tanah campur tersebut untuk penanaman tomato. Tips ini saya dapat sewaktu membaca buku berkebun penjajah Inggeris di Tanah Melayu sekitar zaman 1940an.
Tempoh untuk tomato menghasilkan buah bermula dari awal percambahan mengambil masa kira-kira 70 hari, tergantung pada varieti.
Warna buah tomato adalah hijau semasa muda dan kemerahan apabila mula masak. Kita boleh tuai apabila buah tomato mula menjadi merah. Jangan petik buah tomato dengan tangan. Guna gunting atau pisau untuk potong tangkai tomato.
