Cara paling mudah dan murah untuk mula kita menanam sayur di rumah adalah dengan menanam menggunakan biji benih.
Terdapat dua jenis saiz biji benih iaitu biji benih halus dan biji benih kasar. Maksud biji benih halus adalah biji benih yang saiznya kecil sekitar 1-5 mm diameter seperti biji benih sawi, bayam, kailan dan salad. Manakala biji benih kasar pula adalah biji benih yang saiznya 6 mm ke atas seperti biji benih rambutan, durian, manggis dan cempedak.
Cara menyemai biji benih sayuran tidaklah susah asalkan kita memahami beberapa asas semaian seperti asas percambahan biji benih dan jenis media yang sesuai.
Setelah kita faham asas, barulah kita belajar beberapa kaedah semaian yang biasa digunakan oleh pekebun. Dari situ kita pilih mana yang sesuai dengan kos, masa dan tempat kita. Saya juga akan menyatakan contoh pembiakan biji benih yang sesuai.
Mari kita mulakan dengan asas semaian biji benih. Dengan memahami asas ini barulah kita dapat menilai kenapa kadang semaian biji benih kita tidak menjadi.
Biji benih dalam keadaan kering tidak akan bercambah. Hal ini kerana tidak menepati syarat asas percambahan. Jadi apakah syarat itu? Terdapat tiga syarat atau keperluan asas untuk benih bercambah iaitu air, oksigen, dan suhu yang sesuai.
Cukup air, oksigen dan suhu maka bercambahlah benih. Kebanyakan biji benih sayur yang kita tanam sesuai dengan suhu di Malaysia iaitu sekitar 20-30 celcius. Jadi tidak perlulah kita risau untuk menanam kangkung, sawi, kailan dan kubis di halaman rumah.
Biji benih berkualiti akan menghasilkan anak pokok yang sihat dan kuat. Ciri-ciri benih berkualiti adalah seperti bentuk yang elok, saiz dan warna yang bagus.
Biji benih yang bagus akan mudah bercambah atau bernas. Contohnya jika kita membeli biji benih sawi yang bagus, biasanya akan bercambah sekitar tiga hingga lima hari. Namun jika lebih daripada itu masa percambahan, tandanya biji benih itu sudah lama dan tidak berkualiti.
Jumlah percambahan juga tinggi iaitu sekitar 90-95%.
Oleh itu pastikan kita dapat sumber biji benih yang berkualiti daripada penjual yang dipercayai. Hal ini kerana kadang-kala ada penjual yang menjual biji benih yang sudah lama disimpan. Sebab itu apabila kita menyemai biji benih walaupun sudah 10 hari menunggu, tetapi tiada yang bercambah.
Saya sarankan anda membeli biji penih daripada jenama yang terbaik dan terkenal seperti Baba, Green World Agro dan Trio.
Setiap jenis biji benih sayur bercambah pada tempoh yang berlainan. Ada yang sekejap seperti dalam 48 jam. Ada juga yang memakan masa sehingga 10 hari.
Contohnya sawi, bayam dan kangkung akan bercambah dalam sekitar 2-4 hari selepas semai. Manakala cili dan tomato sekitar 7-14 hari selepas semai.
Jika lebih dari 20 hari dan masih tidak nampak kelibat semaian, eloklah kita audit kembali kenapa biji benih tidak bercambah.
Kalau kita perhatikan betul, media tanaman bukanlah syarat utama untuk biji benih bercambah. Betul tak? Kita hanya perlukan air, oksigen dan suhu yang sesuai.
Jadi apakah fungsi media semaian? Hal ini terjawab apabila media semaian mampu membekalkan air berterusan kepada biji benih tanpa melemaskan biji benih di dalam air. Biji benih akan dapat air dan oksigen daripada media semaian.
Media semaian perlu adalah ciri-ciri berikut:
Menjadi amalan di Malaysia untuk petani menggunakan lumut gambut atau peatmoss (beli sini) sebagai media semaian. Hal ini kerana peatmoss menepati semua ciri-ciri media semaian yang sesuai. Saya sangat sarankan untuk sesiapa yang ingin mula berkebun mulakan dengan peatmoss.
Penggunaan peatmoss akan mengurangkan kadar kegagalan anda dalam mula berkebun. Baca lanjut dan anda akan dapat tahu cara semai guna peatmoss.
Walaupun begitu kita juga boleh menggunakan tanah kebun, sabut kelapa hancur (cocopeat) dan kompos sebagai media semaian.
Paling bagus jika kita dapat campurkan lumut gambut, sabut kelapa hancur, sekam bakar dan kompos dengan nisbah 1:1:1:1. Campuran semua bahan ini menjadikan media semaian paling mantap.
Lagi lama kita simpan biji benih, lagi kurang berkualiti. Suhu bilik akan merosakkan biji benih. Paling bagus jika benih lebihan kita simpan di dalam peti ais di bahagian bawah. Pastikan label dengan betul agar tidak tersilap. (beli sini biji benih berkualiti)
Setelah kita faham asas benih. kita masuk ke cara semaian benih sayur yang betul.
Terdapat dua cara yang boleh kita laksanakan dalam aktiviti semaian ini. Pertama adalah semaian terus ke dalam bekas tanaman. Kita ambil biji benih dan terus tanam ke dalam pasu. Dari situ kita jaga sehinggalah tuai.
Kedua pula adalah dengan semai dahulu di bekas lain seperti di dalam talam semaian (seed tray) (beli sini) atau pun tapis. Setelah benih bercambah, kita pindah benih ke bekas lebih besar atau terus ke atas batas. Dari situ kita jaga sehinggalah tuai.
Kaedah kedua lebih renyah tetapi hasil kemenjadiannya lebih tinggi berbanding kaedah pertama.
Biji benih sayur yang harga murah, mudah bercambah dan saiz yang besar sesuai untuk teknik semaian terus. Biji benih besar seperti kangkung, ketumbar,
Walaupun begitu, biji benih halus seperti bayam juga boleh kita semai terus. Hal ini kerana harga benih bayam adalah relatif murah.
Biji benih halus seperti bayam, tomato, dan cili biasanya elok kita semai di dalam bekas kecil dahulu. Saya menyemai di dalam pasu kecil atau di atas tapis kecil. Ini terpulang kepada bekas yang kita ada. Asalkan bekas tersebut tidak bertakung air. Media semaian ikut seperti saya nyatakan pada Asas #4.
Jika hendak lebih teratur paling bagus jika kita semai di dalam dulang semaian (beli sini). Ikuti video di bawah untuk caranya.
Paling penting adalah semai 1-2 biji benih sahaja untuk setiap lubang. Ramai pemula terlalu teruja sehingga bubuh 5-10 biji benih per lubang. Akibatnya benih bercambah dan tumbuh kurus meleding.
Manakala untuk kedalaman benih sekitar 0.5-1 cm sahaja. Jangan terlalu dalam. Takut benih lemas. Jangan terlalu cetek. Takut benih kering akibat terdedah.
Selesai kita semai benih di dalam bekas, boleh kita letak di tepi rumah atau tempat yang redup. Jangan terus jemur kerana bekas akan cepat kering dek pancaran cahaya matahari.
Sebaik sahaja kita nampak benih bercambah, perlulah kita pindah benih ke tempat yang ada cahaya matahari. Di tepi tingkap atau tepi rumah sudah memadai.
Benih yang tumbuh kurus tanda tempat yang kita letak benih itu kurang cahaya matahari. Ubah ke tempat yang ada cahaya matahari.
Jika kita rajin, kita boleh guna lampu LED (beli sini) sebagai ganti cahaya matahari. Jarak minimum 15cm dari anak benih.
Tanda anak benih boleh pindah ke pasu lebih besar atau atas batas adalah apabila sudah ada 3-5 daun sebenar. Semasa ini akar anak benih sudah kuat dan mampu bertahan setelah pemindahan. Jika hendak tahu lebih, boleh baca artikel ‘Cara Pindah Tanam Anak Pokok‘.
Aktiviti semaian benih adalah asas untuk kita berjaya dalam berkebun. Jika gagal, usah risau. Teruskan. Insya-Allah akan berjaya nanti.
ary says:
terima kasih untuk informasinya sangat bermanfaat sekali saya tengah membudidayakan bawang merah di jepang apalabila nanti ada masalah mohon petunjuknya terima kasih
Izham Alias says:
Boleh bercambah. Semai macam biasa. Terus tanam dalam pasu.
Mohamad Yusof says:
Tadi makan ciku beli tepi jalan. Kalau amek biji dia semai boleh hidup ke? Macam mana caranya?
Tamrin says:
Terima kasih atas ilmunya.. rupanya kegagalan saya selama ini adalah di teknik menanam bibit..
kala says:
😍😍bestnya..thank you for sharing
Ena says:
Ilmu yg sgt berguna..Terima Kasih Tuan..
Maimon says:
Terima kasih en. Izham . Penerangan dan penyampaian ilmu yg sangat berguna, jelas dan mudah difahami.
Maznam binti Ali says:
Setiap kali benih yang saya semai akan menjadi, masaalahnya, saya kurang pandai cara-cara menjaga tanah. Tanah akan menjadi keras dan gersang membuatkan anak benih yang saya semai menjadi bantut.Apa yang perlu saya buat….
salma ibrahim says:
Terima kasih. Penerangan yg sangat jelas terutama cara menyemai benih , nisbah tanah dan membaja .