Tiada tanah lapang di rumah tidak lah bermakna kita tidak boleh berkebun. Alternatif yang paling bagus adalah berkebun menggunakan apa-apa bekas seperti pasu, polybag, ataupun botol plastik.
Berkebun guna pasu amat sesuai bagi sesiapa yang tiada kawasan yang luas untuk menanam. Tidak kira kita tinggal di rumah teres mahupun aparment. Yang penting ada semangat untuk berkebun!
Paling mudah nak mula adalah dengan membeli pasu, tanah campur, baja dan biji benih. Itu sahaja sudah memadai untuk bermula. Selesai. Eh banyak itu sahaja? Usah risau. Daripada 4 bahan itu sahaja boleh saya terang lanjut
Bekas – Pasu, Botol, Polybag
Saya gabungkan terus cara penanaman menggunakan pasu, botol dan polibeg dalam satu artikel. Sebab konsep menanam tiga-tiga bekas ini sama sahaja iaitu menanam dalam bekas. Kenapa saya perlu membazir masa mengulang benda yang sama untuk tiga artikel berlainan.
Pertama tentukan kita hendak menanam menggunakan bekas apa. Adakah kita ini jenis yang mahukan kekemasan dan ada bajet untuk beli pasu? Atau kita ini adalah jenis yang suka buat sendiri. Atau tak kisah asalkan bercucuk tanam.
Bagi yang suka kekemasan dan tidak ada masa untuk mencari botol, eloklah beli pasu di nurseri tanaman ataupun kedai Eco RM2.20. Di sana pelbagai saiz pasu ada dijual. Hanya perlu pilih mana yang berkenan. Dan kalau ingin menanam sayur, tentunya saya akan sarankan beli pasu paling besar dijual di kedai Eco.
Kalau tiada kedai Eco berdekatan, cuba cari di pasaraya berdekatan. Kebanyakan pasaraya ada seksyen berkebun. Oh ya, kedai Mr DIY juga ada menjual pasu. Pilih saiz 30cm diameter dan ketinggian sekitar 30cm juga.
Bagi yang ingin menanam dalam botol, boleh mula mengumpul botol mineral 1.5L. Saya tak sarankan botol 500 mL kerana saiz terlalu kecil dan mungkin akan mendatangkan masalah kemudian hari. Kejap lagi saya cerita nanti kenapa saya tak galakkan. Teruskan membaca.
Polibeg adalah plastik hitam tebal yang berlubang. Kebanyakan nurseri tanaman menggunakan ini untuk tanaman mereka. Antara faktornya adalah harga murah. Biasa polybag ini dijual dalam kilogram.
Untuk bercucuk tanam dalam bekas, saiz polibeg 12 x 12 inci ke atas sudah memadai.
Perkara pertama yang perlu kita perlu ambil perhatian adalah di mana lokasi pasu kita ingin berkebun. Di mana tempat kita hendak meletakkan pasu dan bekas tanaman kita. Adalah lebih baik jika kita letak pada tempat yang ada cahaya matahari seperti di tepi tingkap dan di tepi bangunan.
Cahaya matahari pagi adalah paling bagus untuk tumbuhan. Jika tempat kita tinggal itu hanya ada cahaya di antara waktu pagi atau petang, pilihlah di waktu petang.
Sayuran berdaun seperti kangkung, sawi, dan bayam memerlukan sekurang-kurangnya 4-6 jam cahaya penuh untuk hidup subur. Pokok buah dan bunga memerlukan cahaya 6-8 jam sehari.
Sebab itulah lokasi memainkan peranan penting.
Jangan lupa, letak pasu di tempat yang mudah kita lihat. Ini agar sentiasa memotivasikan kita untuk terus berkebun.
2. Jenis Tanaman
Kita juga perlu tahu jenis tanaman apa yang hendak kita tanam di dalam bekas. Lain tanaman lain penjagaannya. Untuk pemula, saya cadangkan kita menanam kangkung, bayam dan sawi kerana tanaman ini sangat senang tumbuh dan dijaga. Cuba tanam dahulu di dalam bekas dan lihat perkembangannya di lokasi yang telah kita pilih.

Kemudian apabila sudah menuai tanaman tersebut, boleh cuba dengan tanaman lain. Mulakan sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Apa yang penting? – Pengalaman.
3. Pengairan
Ramai yang ingat tanam menggunakan bekas tidak membuat sistem pengairan yang baik. Jangan keliru istilah pengairan dengan penyiraman. Pengairan bermaksud air siraman diserap oleh pokok manakala lebihan air disalurkan keluar dari bekas tanaman.
Kebanyakan sayur dan pokok buah tidak tahan dengan air bertakung di dalam bekas. Akar tumbuhan akan lemas dan seterusnya boleh menyebabkan kematian pokok. Pastikan setiap bekas yang kita gunakan mempunyai lubang pengairan dibawahnya agar air siraman yang lebih boleh mengalir keluar dari pasu.
Ingat! Kita tidak tanam pokok air tetapi kita tanam pokok darat. Tentunya air hanya secukupnya memadai.
4. Baja
Pembajaan amat penting kepada pokok yang tumbuh di dalam bekas. Jika di atas tanah, akar pokok boleh menjalar jauh mencari sendiri air dan nutrien tetapi di dalam bekas tidak. Oleh itu selalulah bekalkan baja seperti kompos, baja sebatian ataupun baja tahi ayam kepada tanaman kita. Kalau boleh, selang selikan dengan baja kimia jika kita lihat kesannya lambat.
Pembajaan boleh dilakukan dua minggu sekali ataupun sebulan sekali bergantung kepada jenis baja yang kita guna. Jika saya guna kompos sebagai baja akan saya bubuh seminggu sekali. Dan hanya pada hari Sabtu atau Ahad sahaja saya akan membaja. Penetapan hari untuk membaja akan memudahkan saya untuk tahu jadual pembajaan yang bagus.
5. Media tanaman
Media di sini dimaksudkan adalah jenis-jenis tanah yang boleh kita gunakan untuk bertanam. Ada yang guna tanah campur, tanah bakar ataupun kompos sebagai media dalam pasu kita. Untuk penanaman pasu, lebih elok kita guna media yang tidak berat seperti kompos. Campuran kompos dan tanah atas (top soil) sangat disarankan. Di samping kompos boleh menjadi baja, ia juga bertindak sebagai media yang bagus untuk penanaman pokok kita seperti tanaman sayur. Ringan adalah kunci utama untuk penanaman dalam pasu.
BACA >>> Campuran Tanah Terbaik Untuk Pasu
6. Penyiraman
Terdapat dua sistem siraman iaitu automatik dan manual. Biasanya kita lebih senang untuk menggunakan sistem siraman manual iaitu dengan terus menyiram dari paip air ataupun tong siraman. Terdapat beberapa inovasi yang boleh kita gunakan untuk menyiram secara automatik. Jika ada duit lebih, boleh kita upgrade menggunakan sistem titisan berasaskan sistem fertigasi. Tetapi jika ingin jimat kos, guna sahaja siraman automatik menggunakan bahan terbuang.
BACA >>> Siraman Automatik Dengan Botol Plastik
Kesimpulan
Dengan mengetahui 6 perkara asas ini, anda tentunya sudah boleh mula berkebun dengan pasu di rumah. Jangan tunggu lama-lama untuk mula berkebun. Teruskan sahaja dengan apa ada di tangan.
Jika anda ada komen atau pandangan, jangan lupa untuk tinggalkan jejak di bawah. Sama-sama kita bincangkan.
