fbpx

Cara Tanam Halia dalam Pasu / Polibeg Hasil Puas Hati

Cara Tanam Halia dalam Pasu Polibeg

Halia boleh ditanam di dalam pasu selain daripada di atas tanah.

Maklumat Botani

Nama: Halia
Nama Inggeris: Ginger
Nama Saintifik: Zingiber officinale
Keluarga: Zingiberaceae

Halia adalah tumbuhan herba iaitu tumbuhan yang tiada berbatang keras seperti pokok mangga atau pun durian.

Halia mempunyai rizom iaitu akar yang terubahsuai sama seperti kunyit.

BACA: CARA TANAM KUNYIT DALAM PASU PALING MUDAH

Pembiakan

Untuk membiakkan halia perlulah kita gunakan rizom. Paling bagus adalah kalau kita ambil halia yang telah ada mata tunas keluar.

Tetapi jika tiada, kita boleh gunakan sahaja rizom yang ada.

Masukkan rizom halia ke dalam plastik berisi tisu lembab. Sertakan sekali dengan beberapa keping bawang merah. Tutup plastik dan tunggu sekitar dua hingga tiga minggu untuk mula kelihatan mata tunas. Apabila mata tunas nampak, kita akan gelar sebagai benih rizom.

Benih rizom ini perlulah dipotong sekitar 3-5 cm dengan ada satu atau dua mata tunas per potongan.

Pada setiap rizom akan ada bonjol. Bonjol tersebut akan mengeluarkan mata tunas. sumber: foto

Semai benih rizom ini di dalam dulang semaian berisi sabut kelapa hancur (cocopeat). Biar sehingga benih rizom mengeluarkan akar dan membentuk anak benih halia.

Anak pokok rizom yang tumbuh di dalam dulang semaian. sumber: foto
Anak benih halia yang sudah boleh dipindahkan ke dalam pasu.

Kemudian kita akan pindah anak pokok ke dalam pasu. Proses semaian ini nampak rumit tetapi akan memberi hasil yang memuaskan berbanding kita tanam terus ke dalam pasu.

Sebelum ni saya share pasal tanam kunyit. Kali ini cara tanam halia.Konsep sama.Saya kongsikan dalam video ini cara senang.Psst: Tolong like, komen dan share video ini agar lebih ramai tahu teknik simple tapi power ini.Kalau nak tahu langkah demi langkah cara tanam, rujuk blog saya di link inihttps://kebunbandar.com/langkah-mula-berkebun-pasu/#YoutubeKebunBandar

Posted by Izham Alias on Ahad, 29 Mac 2020
Video cara semai halia paling cepat.

Pemindahan ke dalam Pasu / Polibeg

Kita boleh lah pindah anak pokok bersaiz 10-15 cm tinggi ke dalam pasu.

Saya kongsikan petua agar rizom halia banyak. Semasa pindah, jangan isi penuh media tanah dalam pasu. Isi hanya 1/2 tanah sahaja dahulu. Apabila pokok halia semakin tinggi, tambah tanah sebanyak 2-3 cm tinggi sehingga menutup perdu. Aktiviti ini biasanya dalam sebulan sekali sehinggalah halia boleh dituai.

Biasanya setiap sebulan, halia akan mula nampak perdu untuk pertumbuhan baru. Tambah tanah pada perdu ini agar halia terus membesar. sumber: foto

Sambil top up tanah di pangkal pokok, sambil itu kita boleh membaja. Dalam segenggam baja organik.

Rizom halia ini bukanlah seperti ubi kayu yang tumbuh membesar ke bawah. Rizom halia akan tumbuh membesar ke atas. Sebab itulah penting untuk kita tutup perdu halia setiap bulan. Hal ini akan memberikan rizom halia yang banyak ketika kita tuai nanti. Sama seperti kita menanam ubi kentang. Top up, top up, top up.

Media Tanaman

Halia suka tanah yang kaya dengan bahan organik. Sebab itu bagus jika guna campuran tanah yang kaya dengan kompos. Untuk resipi campuran tanah boleh klik sini.

Ada juga bertanya kepada saya jika ingin guna sabut kelapa hancur (cocopeat) seratus peratus. Adakah menjadi?

Biasanya untuk penanaman fertigasi, petani memang akan menggunakan 100% sabut kelapa. Sebab mereka guna baja AB sebagai pembajaan.

Jika tanam di rumah, boleh juga guna baja AB. Siram tiga kali seminggu dengan baja AB dengan kepekatan 1.5 EC. Kalau nak tahu lanjut pasal baja AB, boleh klik sini.

Saiz Pasu / Polibeg

Halia sesuai ditanam dengan pasu berisipadu 15L ke atas. Untuk polibeg, saiz 16 inci x 16 inci ke atas sangat saya sarankan.

Apa yang penting ketinggian pasu perlulah sekurangnya 30cm dan ukurlilit 25 cm agar halia dapat berkembang dengan bagus.

Pembajaan Halia

Halia adalah tanaman yang banyak memakan baja berbanding tanaman lain. Asasnya, lagi banyak kita beri baja, lagi banyak pertumbuhannya.

Kita boleh mulakan dengan baja organik seperti kompos atau baja tahi ayam. Tabur sekitar segenggam sebaik sahaja kita menanam benih rizom ke dalam pasu.

Setelah itu tabur baja selang setiap dua minggu. Saya suka guna baja tahi ayam. Tak kisah la dalam bentuk pallet atau yang telah kering (beli dari kandang). Antara sebab adalah murah dan senang nak dapat.

Kalau kita ada baja organik lain, lagi bagus. Kuantiti seperti awal penanaman dalam pasu iaitu segenggam setiap pasu.

Cahaya

Pokok halia paling bagus ditanam di tempat separa redup. Jika terlalu terik matahari boleh menyebabkan daun halia kekuningan.

Kita boleh letakkan pasu di bawah pokok atau gunakan jaring hitam.

Contoh penanaman halia di bawah jaring hitam oleh petani halia fertigasi. sumber: foto

Sambil tambah tanah itu, sambil itu berikan juga baja.

Tuai

Halia boleh kita tuai dalam dua umur iaitu halia muda ataupun tua. Untuk halia muda, sekitar 5 bulan selepas tanam. Manakala untuk mendapatkan halia tua, kita perlu tunggu sehingga 7-9 bulan.

Halia muda – 5 bulan selepas tanam
Halia tua – 8 bulan selepas tanam

Cara tuai halia sangatlah mudah. Hanya perlu tarik halia dari dalam tanah. Leraikan tanah yang ada pada rizom.

Rumusan

Menanam halia di dalam pasu sangat sesuai untuk pekebun di rumah. Tanah yang tidak banyak tidak bermakna kita tidak boleh menanam halia.

Selamat mencuba!

Rujukan:

Izham Alias

Graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di sebuah kolej komuniti di Sabah. Suka berkebun dan menulis pengalaman berkebun di blog ini. Sebarang pengiklanan, jemputan bengkel/seminar berkebun boleh terus emel ke izham@kebunbandar.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Content

error: Content is protected !!