fbpx

Mengapa Bunga Gugur? Ini Sebab dan Penyelesaiannya

Mengapa Bunga Gugur Tak Lekat

Kita teruja melihat tanaman kita membesar dengan bagus. Setelah beberapa minggu menanti akhirnya tanaman mula mengeluarkan bunga. Tetapi beberapa hari kemudian, kita lihat bunga gugur di atas tanah.

Teruskan bacaan kerana pada artikel ini saya akan terangkan sebab bunga tak lekat dan cara penyelesaiannya.

Mengapa Bunga Gugur?

Sesetengah tumbuhan adalah normal untuk bunganya gugur. Contohnya bunga jantan gugur setelah beberapa hari berkembang. Kebanyakan tumbhan, seperti labu mengeluarkan bunga jantan seawal dua minggu sebelum bunga betina muncul.

Bunga yang sihat boleh gugur akibat daripada kekurangan pendebungaan, faktor persekitaran, kurang kesuburan tanah dan serangan trip.

Pendebungaan

Secara asasnya, pokok akan mempunyai dua bunga iaitu bunga jantan dan bunga betina. Ada pokok yang mempunyai bunga dua dalam satu. Iaitu pada bunganya terdapat bahagian bunga jantan dan bunga betina. Contohnya seperti bunga raya.

Manakala ada pokok yang terbahagi dua bunga seperti pokok timun, labu, dan tembikai. Pokok jenis ini mempunyai bunga jantan dan bunga betina pada satu-satu pokok.

Ada pula pokok yang mempunyai dua jenis bunga pada dua jenis pokok. Seperti pokok kelapa sawit.

Apabila bunga betina tidak disenyawakan oleh debunga jantan, maka bunga betina akan gugur. Hal ini biasa kita boleh lihat mengapa bunga durian belanda selalu sahaja gugur. Juga kita boleh lihat pada pokok labu kenapa asyik gugur bunga.

Agen pendebungaan seperti lebah, kelulut, rama-rama, kumbang, dan lalat amat penting bagi menjayakan kejayaan bunga menjadi buah.

Tetapi jika memang tempat kita tiada agen begini, bagaimana caranya? Kita boleh menjadi ‘kadi’ kepada tanaman kita. Ambil bunga jantan temukan pada bunga betina. Biasanya bunga betina dan jantan akan mula mengembang awal pagi sekitar jam 8pagi sehingga 10pagi. Ambil masa dan perhatikan perkembangan bunga.

Persekitaran

Kenaikan suhu boleh memberi kesan kepada jumlah bunga yang dapat kekal pada tanaman. Kita boleh kurangkan kepanasan yang kena pada pokok dengan meletakkan jaring hitam di atas tanaman.

Cahaya yang kurang juga mampu memberi kesan kepada keguguran bunga. Pastikan pokok kita menerima sekurangnya 4 jam sehari cahaya matahari pagi ataupun petang.

Kesuburan Tanah

Tanah yang kurang subur membuatkan pokok terpaksa fokus pada perkembangan daun sahaja. Walaupun telah tiba untuk mula mengeluarkan bunga, tetapi jika nutrien tidak mencukupi boleh menyebabkan pokok menggugurkan bunga.

Pastikan kita memberi baja pokok berkala.

Walaupun begitu, jika kita lihat pokok kita elok banyak dan hijau daunnya, mungkin juga faktor terlebih nitrogen. Ada petani menggunakan cara mengurangkan daun bagi menggalakkan bunga keluar pada pokok.

Trip

Trip adalah sejenis serangga perosak yang merosakkan pokok. Perosak kecil ini akan masuk ke dalam kudup bunga dan memakan kelopak. Walaupun trip bukanlah mudah untuk dilihat tanpa kanta, anda boleh mengesannya dengan melihat kerosakan pada kelopak bunga.

Anda boleh menyembur racun organik seperti minyak mambu bagi mengawal trip ini. Selain itu pastikan kebun kita bersih daripada rumpai yang mampu menjadi hos untuk trip bersembunyi dan membiak.

Nasihat Agar Bunga Tidak Gugur

Gugurnya bunga pada pokok adalah akibat pokok mengalami tekanan. Ini adalah tip bagi mengurankan tekanan pada pokok:

Pastikan tanah sentiasa lembab. Dengan cuaca yang panas di Malaysia, eloklah kita menyiram sekurangnya dua kali sehari pada batas tanaman. Jika tanam di dalam pasu, pastikan media campuran yang kita guna itu mampu menyimpan air dengan bagus.

Apabila nutrien kurang, pokok akan mengalami tekanan. Saya sarankan beri secukupnya baja organik pada tanaman kita. Sekurangnya dua minggu sekali dengan segenggam kompos atau mana-mana baja organik yang kita ada.

Tumbuhan bunga dan buah memerlukan cahaya matahari penuh sekurangnya 6 jam sehari agar dapat menghasilkan bunga dan buah yang cantik. Jadi pastikan lokasi penanaman kita itu mampu menerima cahaya yang secukupnya.

Kesimpulan

Bunga gugur boleh jadi sebab pendebungaan, faktor persekitaran, kekurangan baja dan trip. Sebagai pekebun kita perlulah peka akan hal ini agar kita dapat kurangkan bunga gugur.

Izham Alias

Graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di sebuah kolej komuniti di Sabah. Suka berkebun dan menulis pengalaman berkebun di blog ini. Sebarang pengiklanan, jemputan bengkel/seminar berkebun boleh terus emel ke izham@kebunbandar.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Content

error: Content is protected !!