Cara Buat Racun Organik Mesra Alam – JADAM Wetting Agent (JWA)

Apabila berkebun kita tidak akan lari daripada serangan serangga perosak seperti belalang, lalat putih mahupun kutu daun (afid). Jangan tipulah jika anda ingin organik 100% tanpa gunakan racun.

Saya sendiri tidak pernah berjaya menanam 100% tanpa guna racun organik. Setelah membuat beberapa bacaan, akhirnya saya terjumpa satu inovasi membuat racun organik yang mudah.

Nama racun organik ini adalah JADAM Wetting Agent (JWA) atau perekat JADAM. Perekat adalah bahan cecair yang digunakan bagi meningkatkan keberkesanan racun terhadap serangga perosak dan pokok.

Perekat akan membuang lapisan lignin yang ada pada kulit serangga seterusnya memudahkan penyerapan racun terhadap serangga.

Selain itu perekat membantu meningkatkan kesan baja foliar terhadap pokok.

Apa yang menariknya, JWA ini adalah kategorik perekat organik. Organik di sini bermaksud JWA akan terurai oleh mikrob dalam masa 5 hari selepas disembur. Ini membolehkan JWA tidak kekal lama di alam sekitar.

Bagaimana JWA Boleh Menjadi Racun Organik?

JWA itu sendiri adalah sabun. Buih hasilan JWA akan menutup liang pernafasan serangga seterusnya menyebabkan serangga mati kesesakan nafas.

Cara JWA bertindak ini membolehkan JWA diguna selalu untuk membasmi perosak. Serangga tidak akan membentuk imunisasi terhadap JWA tidak seperti racun kimia.

Cara Membuat 5L JADAM Wetting Agent (JWA)

Kita mulakan dengan bahan:

  1. Kalium hidroksida (KOH) – 160g
  2. Minyak masak kanola – 900 mL
  3. Air awal – 120 mL
  4. Air tambahan – 4L

*air yang sesuai digunakan adalah air lembut seperti air hujan, air RO, air tapis (coway atau cuckoo).

Alatan:

  1. Mesin gerudi (driller)
  2. Mata ayak simen
  3. Baldi 15L

Sebelum membuat JWA ini, pastikan anda telah memakai kelengkapan keselamatan yang sesuai iaitu gogles dan sarung tangan getah.

Cara buat perekat pestisida JWA:

  1. Masukkan air awal ke dalam baldi
  2. Seterusnya masukkan KOH. Ketika ini anda akan dapat melihat wap yang muncul akibat tindakbalas KOH dengan air. Hati-hati
  3. Goncang baldi sehingga larut KOH
  4. Setelah itu masukkan minyak masak kanola
  5. Mula gaul menggunakan mesin gerudi sehingga sebatian membentuk warna seperti mayonis. Biasanya sekitar 5-10 minit mengikut kelajuan mesin gerudi
  6. Tutup baldi dan biarkan selama 3 hari
  7. Setelah 3 hari, anda akan dapati sebatian sabun mengeras seperti mentega
  8. Masukkan air tambahan
  9. Anda boleh gaul menggunakan mesin gerudi atau gunakan kayu
  10. Ketika mengacau pastikan semua sabun hancur
  11. Sisa sabun tidak akan larut terus. Kacau larutan selang 2 jam selama 2-5 minit. Larutan JWA siap apabila semua sisa telah larut dalam air
  12. Anda boleh simpan JWA di dalam botol. Elakkan JWA terkena cahaya matahari sepanjang penyimpan

Penggunaan JWA

Sebagai perekat organik – JWA seperti telah saya terangkan di awal artikel ini, berfungsi sebagai pelekat pertanian. Gunakan 6-10 mL JWA campur dengan 1L air dan campur dengan apa-apa baja atau racun.

emel kebun bandar

Anda akan dapat lihat bagaimana JWA membantu meningkatkan kecekapan racun dan baja anda.

Sebagai racun organik – JWA juga boleh menjadi racun organik bagi membunuh serangga di peringkat awal seperti kutu daun (afid), lalat putih, koya, bena dan kepinding. Gunakan 10-30 mL JWA dicampur dengan 1L air dan sembur pada serangga yang menyerang. Biasanya serangga menyorok di bawah dedaun.

Semburan JWA paling berkesan dibuat awal pagi ataupun lewat petang. Ketika ini adalah waktu serangga perosak aktif.

Sebelum guna JWA, kita perlu menguji kepekatan campuran dahulu pada satu atau dua pokok. Dalam masa 2-3 hari jika tanaman masih dalam keadaan elok barulah kita semburkan pada tanaman lain.

Jika dos rendah tidak berkesan, tingkatkan kepekatan JWA sebanyak 5mL.

VIDEO

Dalam video ini saya tunjukkan cara membuat JWA dengan mudah. Di akhir video saya tunjukkan bagaimana JWA mampu membunuh serangga perosak.

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!