Bahaya Furadan Bagi Manusia yang WAJIB Petani Tahu

bahaya furadan bagi manusia carbofuran

Furadan (perawis aktif – carbofuran) adalah racun perosak bersifat sistemik yang sangat berkesan untuk mencegah tanaman daripada dimakan oleh serangga sebaik sahaja ditabur. Oleh sebab itu racun ini sangat popular digunakan di kalangan petani Malaysia.

Racun Furadan berbentuk pasir, biasanya berwarna ungu. Fungsi utama adalah untuk membunuh serangga perosak dan nematod. Ia sangat berkesan sehinggakan jika seekor burung atau tupai termakan sebutir pun boleh terus mati!

Jika manusia termakan setengah sudu kecil teh pun sudah mampu masuk ke wad kecemasan. Silap silap boleh terus mati.

Furadan adalah racun sistemik yang bermakna racun ini akan menyerap dan kekal lama di dalam sistem tumbuhan dalam tempoh tertentu. Batang, daun dan buah keseluruhan tumbuhan akan terkandung racun ini sebaik sahaja ia diserap oleh akar pokok.

Kajian menunjukkan perawis aktif racun furadan MASIH KEKAL walaupun selepas 3 bulan diberikan pada tanaman. Jadi kalau kita gunakan racun ini untuk tanaman kontan (yang boleh dituai hasil dalam 2-3 bulan) maksudnya racun tu masih ada, bukan? Apa akan jadi kepada kita sebagai pengguna yang memakan tanaman yang telah diberi racun ini?

Persoalan ini penting untuk membuat kita sedar bahawa furadan bukanlah racun yang bagus.

Cara Guna Furadan

Bagaimana cara mudah petani guna furadan? Kedah pertama adalah petani menabur sekitar 1-2 sudu makan bagi setiap lubang penanaman atau per pokok. Kemudian digaul bersama tanah agar dapat diserap oleh akar pokok.

Jika terlebih, boleh menyebabkan keracunan kepada sesiapa yang memakan pokok tersebut.

Penggunaan furadan yang kerap boleh mematikan tanah sekitar pokok. Hal ini kerana furadan bukan sahaja membunuh serangga perosak malahan membunuh organisma sekitar dalam tanah seperti cacing.

Teknik kedua pula adalah dengan memasukkan 1-2 sudu racun furadan ke dalam plastik kecil ditebuk dengan jarum halus dan digantung pada pucuk dan sekitar batang pokok. Bau furadan ini akan menghalau serangga. Kelebihan kaedah ini adalah racun furadan akan lambat habis.

Biasanya petani menggunakan kaedah ini pada pokok sawit dan pokok kelapa. Mereka akan menggantung bunjut berisi furadan 3G atau 5G di pucuk muda pokok. Hal ini akan menyebabkan kumbang tanduk tidak lalu untuk memakan.

Ada juga petani mencari cara mencairkan furadan untuk semburan. Namun, perlu ketahui amat BAHAYA furadan dicampur air ini. Jika terkena pada kulit dan mata amatlah bahaya. Boleh buat kulit rosak dan mata boleh buta!

Kesan Racun Furadan

Bahaya ke FURADAN ini? Ya, sangat bahaya di mana ia merupakan racun yang sangat toksik yang boleh membawa kepada kematian. Menurut laporan berita, di Kota bharu, Kelantan seramai tiga kanak-kanak beradik dimasukkan ke hospital selepas dipercayai terhidu serbuk racun jenis ‘Furadan’ ketika bermain ‘masak-masak’ di belakang rumah mereka di Kampung Berangan Pondok, Tumpat.

“Ibu mereka mendapati ketiga-tiga anak terbaring dengan badan yang lemah dan muntah-muntah di ruang tamu rumah,” katanya ketika dihubungi. Ini baru kes terhidu, belum lagi sisa racun perosak yang terdapat di dalam sayuran atau buah-buahan yang kita makan sekiranya ia disembur oleh FURADAN. Pelbagai impak buruk yang akan berlaku.

emel kebun bandar
Kesan Racun Furadan Kepada Manusia Petani Sayur
Kesan racun furadan kepada manusia.

Ada laporan menyatakan bahawa furadan digunakan dalam penanaman tebu, tembikai dan jagung bagi tujuan mengawal serangga pengorek batang. Ada yang dengan gembira mengatakan bahawa racun ini tidak akan masuk ke dalam buah.

Perlu kita ingat bahawa furadan ini adalah racun jenis sistemik, maknanya racunnya cair dalam air dan diserap masuk keseluruh bahagian pokok, mustahil ia berhenti mengalir hanya di tangkai buah. Sudah pasti ia turut masuk ke dalam buah.

Jika kita pula makan buahan yang tercemar, sisa baki racun ini juga akan berada dalam tubuh badan. Sisa baki racun ini akan terkumpul dalam badan tahun demi tahun. Sebab itu kita seperti mudah diserang pelbagai penyakit kronik walhal selalu makan sayur.

Boikot Furadan

Ada satu fakta yang mungkin tidak ramai tahu bahawa carbofuran ini telah diharamkan penggunaannya sejak 2008 lagi di negara-negara Barat seperti Kanada dan Persatuan Eropah (EU). Ini kemudian diikuti oleh Amerika Syarikat pada tahun berikutnya. Manakala Kenya pula bercadang mengharamkannya, tetapi masih membenarkan jualan di kedai pertanian.

Sedihnya, di Malaysia, racun ini dijual dengan bebas tanpa sebarang sekatan sehinggalah tahun 2019.

Marilah kita sama-sama memboikot pengunaan furadan ini demi kemaslahatan sejagat. Terutama kepada petani-petani kita.

Terdapat alternatif kepada racun berbahaya ini iaitu dengan kita membuat racun furadan organik. Bahan-bahan untuk buat racun organik ini pun mudah didapati.

Sama-sama lah kita menjadikan amalan berkebun sentiasa memberi satu yang baik kepada diri kita dan keluarga.

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!