Pernah tak pokok yang anda tanam dalam pasu tiba-tiba layu di waktu tengah hari sehingga petang? Walhal di awal pagi dan malam elok segar.
Ini tanda akar pokok anda telah diserang oleh ulat kekek. Ulat kekek adalah larva kumbang yang suka memakan akar pokok. Jika dibiarkan lama, pokok anda boleh mati!
Terdapat dua rawatan untuk membasmi ulat ini iaitu menggunakan racun kimia seperti furadan atau starkle G. Jika secara organik, anda boleh gunakan racun bakteria BT
.
Dari mana datang Ulat Kekek?
Ulat kekek adalah larva kumbang atau anak kumbang. Kumbang akan bertelur di tempat yang kaya dengan bahan organik seperti timbunan kompos separa siap. Kompos adalah baja organik yang sesuai untuk semua tanaman.
Jika ulat kekek muncul di dalam timbunan kompos yang kita buat, itu tiada masalah. Hal ini kerana ulat kekek bertindak sebagai agen pengurai bahan organik dalam timbunan kompos. Lama-kelamaan bahan organik terurai menjadi baja kompos.
Namun di dalam kawasan terhad, ulat kekek akan fokus pada akar pokok sebagai makanan utama. Sebab itu jika kita ingin menggunakan kompos buatan sendiri mestilah kompos yang betul telah matang. Takut ada telur kumbang yang seterusnya akan menetas dan memakan dalam pasu kita.
Elak Serangan
Bagaimana cara terbaik untuk elak serangan anak kumbang ini? Pertama, gunakan baja organik bebas daripada telur kumbang dan larva ini.
Jika guna tanah kompos sawit, pastikan tanah tersebut bebas daripada ulat ini. Antara caranya adalah belek dahulu secara teliti dalam tanah sebelum mula menanam.
Rawatan Kimia
Untuk sesiapa yang ingin kesan yang cepat, boleh gunakan racun furadan atau starkle-G. Tabur sekitar 1-2 sudu makan sekitar pokok dan kemudian siram. Anda boleh lihat kesan dalam masa 2-3 hari selepas diberi racun ini. Pokok akan tidak mula layu dan kembali segar di waktu tengah hari.
Cuma perlu diberi peringatan. Jika anda guna furadan, terdapat tempoh 3-5 bulan tanaman anda tidak boleh dituai kerana racun ini bersifat sistemik iaitu meresap ke dalam pokok melalui akar. Racun ini akan kekal di dalam pokok selama 3-5 bulan.
Boleh rujuk artikel tentang bahaya furadan kepada manusia untuk bacaan lanjut anda.
Sama juga untuk racun starkle-G yang bersifat sistemik. Racun berasal dari Thailand ini bertahan di dalam tanaman selama 40-50 hari lamanya. Anda boleh dapatkan racun kimia starkle-G di sini.
Jadi untuk menggunakan racun kimia ini perlulah anda fikir 2-3 kali sama ada berbaloi atau tidak untuk makanan anda. Bagi saya ia sesuai untuk tanaman yang tidak kita makan seperti pokok bunga. Jika untuk pokok makan seperti pokok tin, pastikan selama 2 bulan itu tidak kita ambil atau tuai buahnya.
Rawatan Organik
Jika anda seperti saya yang suka organik, anda boleh matikan ulat kekek ini dengan bakteria BT atau nama penuhnya Bacillus thuringiensis.
Bakteria BT ini akan menyerang semua jenis serangga berkulit lembut. Penggunaannya mudah sahaja. Anda hanya perlu larutkan 1g serbuk bakteria BT ke dalam 1L air tanpa klorin. Kacau sehingga sebati. Kemudian siram ke dalam pasu yang disyaki diserang ulat kekek. Lakukan selama 3 hari berturut-turut sehingga anda dapati pokok tidak layu di waktu tengah hari.
Anda boleh dapatkan paket bakteria BT di sini.
Rumusan
Pokok layu tanpa sebab boleh menjadi tanda pokok anda diserang oleh ulat kekek. Lakukan tindakan segera sama ada menggunakan racun kimia seperti starkle-G ataupun racun organik seperti bakteria BT
.
