Buah kundur adalah buah yang sedap dimakan bersama masakan. Terutama jika ingin dibuat air.
Saya sendiri mendapat benih buah kundur dari Sabah.
Asalnya dahulu tinggal di Sabah saya tidak pernah berniat untuk membeli buah kundur. Jika ditanya apakah cara makan buah kundur, akan dijawab orang Sabah, “masuk dalam sup.”
Maklumat Botani
Nama biasa: Kundur
Nama Inggeris: Winter melon
Nama saintifik:
Keluarga: Cucubitacea
Kundur adalah tumbuhan menjalar yang berkongsi ciri-ciri dengan labu. Mereka satu keluarga dengan timun, labu dan kundur.
Keluarga labu akan menghasilkan dua jenis bunga iaitu bunga jantan dan bunga betina. Untuk hasil yang maksimum, eloklah kita sebagai petani membuat pendebungaan manual. Jika tidak, kita harapkan lebah, lalat, rama-rama ataupun angin menjalankan fungsi pendebungaan.
Varieti Kundur
Terdapat pelbagai varieti buah kundur yang boleh ditanam.
- Kundur Sabah
- Kundur mini
- Kundur F1
Hati-hati dengan benih kundur palsu yang banyak dijual di shopee. Terutama penjual dari China. Saya sudah serik untuk membeli benih kundur tak berkualiti dari sana. Memang murah harganya. Tetapi tak pernah tumbuh! Mereka hanya menjual kundur yang sudah tamat tempoh. Untung atas angin sahaja.
Terdapat pelbagai varieti kundur. Ada kundur kecil sehingga lah kundur besar. Jika inginkan keunikan dan ketahanan, saya sarankan anda tanam buah kundur Sabah. Kundur di sana memang terbukti tahan penyakit dan kurang diserang perosak.
Hal ini kerana buah kundur tersebut ditanam secara turun temurun. Benih yang dipilih adalah jenis tahan lasak.
Hal ini berbeza dengan benih komersial yang sifatnya tak tahan lama.
Semai
Cara untuk biji benih cepat bercambah adalah dengan membuang hujung benih. Di sini lah terdapatnya hormon yang menghalang percambahan biji benih. Hormon ini akan perlahan-lahan hilang apabila air masuk. Bahagian ini akan mula lembut dan benih akan mula bercambah.
Kita ingin mempercepatkan proses percambahan. Lalu boleh kita ketip hujung tersebut menggunakan gunting atau pun kepit kuku.
Ketip sedikit sahaja asalkan terbuang hujung tersebut.
Setelah itu semai di dalam talam semaian ataupun pasu kecil. Gunakan media semaian yang bagus seperti peat moss ataupun cocopeat. Saya jarang guna tanah kerana tanah mungkin tercemar dan akan mempengaruhi percambahan benih. Tanah yang tercemar boleh membuatkan benih terkena penyakit layu batang.
Siram pagi dan petang.
Tanam dalam Pasu
Kundur boleh ditanam dalam pasu. Saiz yang sesuai adalah 40 cm tinggi dan 40 cm diameter (beli sini). Oleh kerana sifat kundur ini menjalar, maka kita boleh buat sokongan agar kundur tumbuh memanjat.
Tanam atas Tanah
Kundur sesuai ditanam di atas tanah. Tidak perlu penjagaan rapi.
Serangga Perosak dan Penyakit
Kundur jarang diserang perosak. Adapun serangga yang biasa menyerang adalah kumbang oren. Kumbang ini akan mencucuk dan menghisap dedaun kundur.
Tuai
Buah kundur boleh dituai apabila telah matang. Cara tengok adalah pada warna buah yang mula keputihan. Selain itu tangkai kundur yang mula mengeras dan berwarna keperangan.

Cara Makan Buah Kundur
Buah kundur boleh dimasak dalam masakan. Caranya adalah dengan mengupas kulit kundur. Seterusnya dipotong dadu dan dimasukkan ke dalam masakan seperti kari, sup ataupun gulai lemak.
Buah kundur akan meresap rasa masakan dan membuatkannya lebih enak dimakan.
Khasiat
Buah kundur mampu menyejukkan badan. Buah ini antara buah yang digunakan secara tradisional bagi merawat panas badan.
Rumusan
Penanaman buah kundur bukanlah susah asalkan ada ilmunya.
Rujukan
