Cara Buat Baja Daripada Kulit Telur Ayam (Baja Kalfos)

Tanaman anda kerap mengalami buah muda gugur secara tiba-tiba atau kudup bunga gugur? Cuba semak jika betul telah anda berikan air, baja, cukup cahaya, dan ada agen pendebungaan seperti rama-rama, lebah, ataupun serangga lain.

Jika semua telah anda cukupkan, mungkin faktor lain yang menyebabkan masalah ini seperti kekurangan kalsium. Cara terbaik untuk memulihkan keadaan ini adalah dengan menggunakan baja kalfos. Baja Kalfos adalah gabungan dua unsur iaitu kalsium dan fosforus.

Semua bahan untuk membuat baja organik ini boleh kita dapati dari dapur kita sendiri. Ia adalah cecair nutrien sesuai untuk tumbuhan yang mula berbunga.

Pada fasa bunga ini, tumbuhan memerlukan kalsium dan fosforus yang banyak. Dalam kaedah pertanian alami, kita guna kalfos sebaik sebelum tumbuhan mula mengeluarkan putik bunga. Kata mudahnya, kita berikan fosforus pada sistem akar, yang akan membolehkan tumbuhan menyerap air dan nutrien dari tanah bagi membantu fasa kritikal untuk putik bunga keluar.

Kita berikan kalsium bagi menguatkan persediaan tumbuhan untuk menampung mengeluarkan bunga dan buah yang banyak.

Ringkasnya, baja kalfos baik untuk perkembangan sistem akar, melebatkan dan berupaya mengelak bunga dan buah yang belum matang gugur serta menghasilkan buah yang berkualiti.

Saya kongsikan resipi baja kalfos.

Resipi Baja Kalfos

Bahan-bahan:

  1. Kulit telur ayam – 100 g
  2. Cuka organik* – 1 L
  3. Bekas 1.5L

*apa-apa cuka makan yang biasa kita guna di dapur.

Alat:

  1. Kuali

Cara buat:

  1. Ramas dan hancurkan kulit telur ayam sehingga menjadi serpihan kecil
  2. Sangai serpihan kulit telur itu sehingga berwarna hitam di dalam kuali
  3. Masukkan hasil sangai tersebut ke dalam bekas
  4. Tuang cuka kayu ke dalam bekas
  5. Buih-buih akan muncul. Biarkan sehingga buih itu hilang
  6. Tutup bekas dan peram antara 20 sehingga 30 hari
  7. Setelah itu tapis cecair KalFos.

Penggunaan:

  1. 3-5 mL kalfos dengan 1L air
  2. Sembur pada daun, batang dan pangkal pokok. Boleh juga siram jika tiada masa.

Penghasilan baja organik ini mudah, bukan? Hanya guna cengkerang telur ayam. Tidak lebih tidak kurang. Dengan menggunakan baja kalfos ini, kita mungkin dapat mengurangkan kos pembajaan. Apatah lagi memberi kesan bagus kepada tanaman.

Selamat mencuba!

Rujukan:

  1. https://permies.com/t/54487/CalPhos-liquid-fertilizer-spray-eggshells
emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

  1. Assalamualaikum w.b.t..boleh tuan kongsikan cara menyemai dan penjagaan pokok lanskap indoor bagi kediaman apartment/kondominium?

Anda Mungkin Berminat:

error: Content is protected !!