Baja adalah elemen penting dalam berkebun. Baja yang bagus akan membuatkan tumbuhan tumbuh subur. Terdapat dua kategori baja iaitu baja organik dan baja bukan organik (inorganik).
Apakah itu baja organik? Baja organik ialah baja yang terhasil daripada makhluk hidup yang wujud secara semulajadi di alam kita. Antara contoh adalah najis haiwan seperti tahi ayam, arnab, kambing, lembu dan kuda.
Baja kompos pula adalah terhasil daripada penguraian bahan-bahan organik seperti sisa-sisa tanaman, dedaun kering dan kayu-kayan reput. Pada akhir proses penguraian ini akan menghasilkan bahan yang berwarna perang kehitaman dengan bau seakan tanah.
Tahi haiwan adalah sumber baja organik yang bagus. Ia mampu membekalkan nutrien kepada tanaman dan memperbaiki tanah agar menjadi lebih subur. Hal ini berbeza dengan baja kimia yang hanya fokus memberi nutrien kepada tanaman tetapi melupakan tanah.
Apabila tanah rosak, maka kesuburan pokok juga akan menurun.
Tahi segar mengandungi pelbagai bakteria dan mikrob yang aktif mengurai segala macam bahan dalam tinja haiwan. Banyak haba terbebas semasa proses ini berlangsung. Oleh sebab itu tidak disarankan meletak baja segar terus pada pokok kerana boleh membuatkan pokok melecur akibat haba yang dibebaskan.
Saranan saya adalah elok diproses dahulu najis haiwan yang ingin dijadikan baja. Jemur tinja haiwan ini selama 2 hingga 3 bulan sehingga kering dan tidak mengeluarkan bau yang kuat.
Petani biasanya akan menyembur najis dengan mikrob baik seperti EM atau LAB bagi mempercepatkan proses pereputan. Semburan ini mampu memendekkan masa pereputan najis sehingga 2-3 mingu sahaja daripada 2-3 bulan.
Setelah reput, najis boleh digaulkan dengan tanah atau di dalam pasu pada jumlah yang disarankan.
Jika kita ingin membuat perbandingan, harga baja organik lebih rendah berbanding baja kimia. Kita lihat seguni (25kg) baja sebatian NPK sekitar RM50 hingga RM100, tergantung pada jenama dan kualiti. Manakala baja tahi ayam hanyalah RM5 hingga RM10 satu guni (20kg).
Oh ya ini berbeza dengan baja tahi ayam pallet. Baja ini adalah baja yang telah diproses dan dibentuk palet untuk digunakan oleh pekebun. Harga tentunya sedikit mahal berbanding baja organik mentah belum diproses.
Baja organik memberi kesan baik kepada tanaman dan juga tanah. Tanah yang baik akan menghasilkan tumbuhan yang subur. Pemberian baja organik yang seimbang mampu memberi sumber nutrien penting kepada mikroorganisma yang tinggal di dalam tanah.
1. Unsur lengkap
Baja organik mempunyai unsur tersedia yang diperlukan oleh tumbuhan. Unsur ini walaupun tidaklah banyak tetapi boleh terus diserap oleh tumbuhan.
2. Pelepasan unsur perlahan-lahan
Pelepasan unsur secara perlahan-lahan. Contohnya kompos melepaskan unsurnya perlahan-lahan untuk diserap oleh akar pokok. Pokok sama juga seperti manusia ada hadnya untuk mengambil nutrien sehari. Jika sudah kenyang, kita akan berhenti makan.
Begitu jugalah tumbuhan. Jika sudah cukup kuota serapan nutrien hari itu, maka tumbuhan akan berhenti sehingga esoknya pula. Jadi apa berlaku pada nutrien lain yang belum sempat diserap? Akan larut lesap melalui air yang disiram atau air hujan yang turun. Tentunya ini merugikan.
3. Memperbaiki struktur fizikal tanah dan kimia tanah
Struktur tanah yang sihat bergantung pada organisma kecil dalam tanah seperti cacing. Yang seterusnya membantu penyerapan nutrien oleh tumbuhan. Tanpa mereka, kemampanan pertumbuhan tumbuhan sukar dikekalkan. Ini akhirnya menyebabkan kita terpaksa bergantung kepada baja kimia.
Humus terhasil selepas bahan organik mereput. Humus dapat meningkatkan keupayaan tanah untuk memegang air dan nutrien untuk diserap oleh akar pokok. Hal ini menjadikan tanah lebih mudah dikerjakan dan mempunyai pengudaraan yang lebih baik untuk akar pokok tumbuh.
Sifat kimia tanah melibatkan kadar pertukaran kation (KPK) dan pH. KPK yang tinggi membolehkan tanah memegang lebih banyak nutrien. Lebih banyak nutrien tanah boleh pegang, lebih mudah untuk akar serap nutrien yang tersedia ada.
Lazimnya jika kita melakukan aktiviti pembajaan dengan betul dan berkala, kita mampu memnghasilkan tanaman berkualiti. Seterusnya memberi kesan kepada pengeluaran hasil yang banyak.
Major nutrien yang diperlukan bagi tumbesaran tumbuhan adalah nitrogen, fosforus dan kalium. Baja organik membekalkan jumlah seimbang makronutrien ini. Walaupun begitu, keperluan tanah yang spesifik dan kesan yang diingini memerlukan ramuan yang khusus.
Contohnya untuk anak pokok, bubuh baja yang kaya dengan nitrogen seperti baja tahi ayam, darah ikan (blood/fish meal) atau baja tahi kelawar (guano). Manakala jika tujuannya untuk pembungaan dan tumbesaran akar, guna baja kaya dengan fosforus seperti baja tulang atau batuan fosfat. Untuk menghasilkan buah yang berkualiti dan mengelak penyakit, tambah baja yang kaya dengan kaliaum seperti baja rumpai laut.
Perkembangan tumbuhan boleh tersekat jika kekurangan mikronutrien seperti kalsium, magnesium, sulfur, kuprum dan zink. Baja organik mengembalikan unsur perlu ini ke tanah. Contohnya tambah gypsum bagi meningkat level sulfur. Sulfur merangsang pertumbuhan. Jika inginkan pembentukan buah yang berkualiti, tambah borax, membekalkan boron, kepada tanah. Kalsium daripada dolomit atau superphosphate membantu pembentukan dinding sel yang akhirnya meningkatkan kekuatan tumbuhan.
Kompos
Tinja Haiwan
Hasil Sampingan Marin
Meals
Mineral
Sungkupan
Tentunya ramai ingin mengetahui apakah bezanya baja organik dan baja kimia, bukan? Saya buat satu jadual perbandingan untuk mudah anda faham. Di sini kita boleh cuba memahami kelebihan dan kekurangan baja organik dibandingkan dengan baja kimia.
Di sini kita dapat buat rumusan bahawa baja organik memberi kesan yang sangat bagus kepada kebun kita. Pokok kita akan lebih subur dan tahan serangan perosak dan penyakit.
Rujukan: