Sawi adalah antara tanaman yang mudah di tanam sama ada di atas batas atau pun di dalam pasu. Kali ini saya berkongsi kaedah menanam sawi atas batas oleh seorang pekebun sayur.

Saya dan pelajar saya membuat lawatan ke sebuah ladang sayur berdekatan kolej. Saya lihat memang subur tanaman makcik ini. Jadi saya mengambil kesempatan untuk bersembang dengannya.

Makcik ini berkebun di kampung sahaja. Cara beliau menanam sawi atas batas mudah sahaja. Beliau membahagikan batas kepada dua jenis batas di kebunnya. Satu batas semaian dan satu batas tanaman.

Saya beri penerangan bagi setiap jenis batas.

Penyediaan Batas Semaian Sawi

  1. Sediakan batas dengan lebar 1 m, panjang 5 m (ikut kesesuaian) dan tinggi batas 15-30 cm.
  2. Tabur biji benih sawi di atas batas.
  3. Tabur sedikit tanah kering pada atas benih
  4. Gunakan siraman halus pada batas
  5. Tutup batas semaian dengan guni. Siram setiap hari sehingga bibit bercambah
  6. Bibit akan bercambah dalam 2-3 hari selepas disemai. Ketika ini kita boleh sudah alihkan guni daripada menutupi batas.
  7. Seterusnya selepas bercambah tabur dengan baja tahi ayam halus. Halus di sini bermaksud kita perlu ramas sehingga jadi macam serbuk.
  8. Setelah bibit mengeluarkan 4-6 helai daun, bibit sudah boleh dipindah ke batas tanaman
guni sungkup batas sayur
Semai Sayur Biji Sawi Hijau
batas bibit semaian sayur sawi

Penyediaan Batas Tanaman Sawi

  1. Siram pada batas semaian sejam sebelum bibit dipindah
  2. Pindah pada awal pagi atau lewat petang
  3. Cabut dengan berhati-hati bibit sawi sekali tanah agar tidak rosak akar
  4. Tanam bibit dengan jarak 10 cm antara bibit
  5. Tabur baja tahi ayam antara bibit. Elakkan baja terkena pangkal pokok
  6. Siram bibit tersebut
  7. Buat lindungan dengan jaring hitam. Jika tiada jaring hitam, boleh guna pelepah kelapa.
  8. Biar lindungan ini selama 2 minggu
    i. Ini bagi mengelakkan bibit kejutan cahaya matahari
    ii. Memberi masa untuk akar pulih
    iii. Untuk mengelak tekanan hujan turun merosakkan tanaman
  9. Sawi boleh dituai selepas 28 hari
baja sawi hijau
jaring hitam kebun sayur sawi
kebun sayur sawi bunga
Setelah 7-10 hari, kita boleh ubah jaring hitam dan biarkan anak pokok tumbuh subur.

Pembajaan Sawi

Kunci di sini adalah penggunaan baja tahi ayam. Baja tahi ayam memang sesuai untuk penanaman sayur. Makcik ini sudah 3 tahun tanam di kebunnya dengan hanya menggunakan tahi ayam sebagai baja utama. Bukan tahi ayam segar ya. Tetapi yang telah dikeringkan atau yang telah diproses.

Kesimpulan

Memang kalau kita lihat kerja pemindahan benih dari batas semaian ke batas tanam ini satu perbuatan renyah. Bayangkan kita perlu semai dan kemudian alih lagi. Tetapi renyah itulah yang membuatkan kebun makcik ini sentiasa dapat menuai sawi sentiasa.