Cara Tanam Padi Huma / Bukit

Padi huma atau padi bukit adalah salah satu varieti padi yang boleh ditanam tanpa memerlukan air yang banyak berbanding dengan padi sawah.

Menanam padi tidak lah menguntungkan berbanding menanam sayur-sayuran. Namun begitu, padi akan tetap ditanam kerana ia adalah makanan ruji kepada rakyat Malaysia.

Padi huma pada asalnya ditanam di bukit atau pedalaman. Namun begitu, padi huma masih boleh ditanam di atas tanah biasa yang kaya dengan bahan organik.

Saya akan tunjukkan caranya pada artikel kali ini. Baca sampai habis.

Berbanding padi sawah yang mampu mengeluarkan 5-10 tan per hektar, hasil padi huma hanyalah sekitar 1-1.5 tan per hektar. Ini menjadi antara faktor utama petani tidak ramai yang menanam padi yang tidak memerlukan air yang banyak ini.

Walaupun begitu, di Sabah dan Sarawak penanaman padi huma secara tradisional masih berlangsung.

Semai

Untuk permulaan, benih padi perlulah direndam di dalam air bersih selama 24-48 jam. Hal ini agar benih padi menyerap air sepenuhnya yang akan mempercepatkan proses percambahan

Setelah itu tanam dalam 3-4 biji benih ke dalam satu lubang. Untuk penaman atas tanah, jarak 1 meter di antara lubang.

Jika di dalam pasu, sama juga iaitu 3-4 biji per pasu. Jarak antara pasu boleh 1 meter atau ikut kesesuaian.

Penyediaan Tanah

Padi huma tumbuh subur di atas tanah yang kaya dengan bahan organik. Anda boleh menambah bahan organik seperti tinja ayam ke atas batas sebelum menanam.

Jika di dalam pasu, elok membuat campuran tanah seperti di artikel Campuran Tanah ini.

Saiz Pasu

Padi huma boleh ditanam di dalam pasu atau polibeg. Saiz minimum untuk pasu adalah tinggi 30 cm dan diameter 30 cm. Manakala untuk polibeg pula bersaiz 16 inci x 16 inci. Jika lebih besar, lebih bagus.

Pembajaan

Untuk pembajaan, padi huma ini sesuai mesra dengan baja organik seperti kompos atau tinja haiwan yang diproses. Kalau saya, saya akan rekomen baja organik Kebun Bandar yang mesra alam.

Pembajaan boleh dibuat dua minggu sekali dengan kadar segenggam untuk baja organik. Apabila masuk bulan ketiga, tingkatkan dos kepada 2 genggam satu rumpun.

Jika baja kimia seperti NPK hijau, letak dalam 2 sudu makan setiap dua minggu untuk 2 bulan pertama. Setelah itu tukar ke NPK biru pula dengan kadar yang sama.

emel kebun bandar

Penjagaan

Dari segi kawalan serangga perosak, padi huma tidaklah cerewet. Semburan racun organik seminggu sekali mampu mengawal daripada diserang serangga perosak.

Yang menjadi masalah ada pada serangan burung dan tikus. Makhluk perosak ini akan mula menyerang apabila mayang padi mula kelihatan.

Kawalan boleh dengan memasang orang-orang bagi mengawal serangan burung. Untuk tikus, pasang perangkap tikus sekitar tempat penanaman padi.

Tuai

Tempoh penuaian padi huma bergantung kepada varieti yang ditanam. Ada yang tiga bulan, empat mahupun 5 bulan.

Padi boleh dituai apabila butir padi mula nampak kekuningan. Kerat kepala padi dan dijemur kering dahulu.

Setelah itu padi diketuk bagi meleraikan daripada tangkai.

Proses padi ke beras

Untuk proses padi, secara tradisional padi akan ditumbuk bagi mencerai kulit padi dan beras. Kaedah moden menggunakan mesin.

Kesimpulan

Menanam padi huma ini ada keseronokannya tersendiri. Memanglah tidak dapat memenuhi pemakanan kita sekeluarga untuk setahun tetapi pengalaman itu yang penting.

Artikel ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa apabila penulis mendapat maklumat lengkap pasal penanaman padi huma.

Rujukan

  1. http://www.fao.org/fileadmin/user_upload/ivc/docs/uplandrice.pdf
  2. https://cgspace.cgiar.org/handle/10568/45115 (http://books.irri.org/9711041707_content.pdf)
  3. jstor.org/stable/41146412?seq=1

Gambar

  1. Kredit gambar: Puan Yasmin (dengan kebenaran)
emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    error: Content is protected !!