Cara Tanam Mulberi Agar Buah Sentiasa Lebat

Cara Tanam Buah mulberry khasiat jenis

Mulberi adalah tanaman pokok berbuah yang boleh hidup di negara beriklim tropika. Buah dan daunnya dimakan oleh manusia dan haiwan sejak berkurun lamanya. Asal pokok ini adalah dari China.

Penanaman utama pokok ini asalnya adalah bertujuan sebagai makanan kepada ulat sutera. Sebab itu dahulu awal tahun 90an, pokok ini digelar sebagai pokok ulat sutera. Nama sekarang sahaja popular dengan mulberi di Malaysia.

Penanaman dan penjagaan mulberi tidak lah sukar. Pembiakan hanya menggunakan keratan batang.

Terdapat pelbagai varieti mulberi. Dari yang biasa sehinggalah bersaiz panjang buahnya.

Maklumat Botani

Nama: Mulberi, pokok ulat sutera
Nama saintifik: Morus spp.
Keluarga: Moraceae

Mulberi adalah tumbuhan yang boleh tumbuh tinggi mencecah 5 meter. Daunnya sehelai pada setiap batang. Buah mulberi keluar daripada celah ketiak daun.

Mulberi berkongsi keluarga dengan pokok tin. Oleh itu mulberi memerlukan cahaya matahari penuh dari awal pagi sampai ke petang untuk mengeluarkan hasil yang banyak. Cahaya 5-8 jam memadai.

Varieti Mulberi

Mulberi bukanlah ada satu spesis sahaja. Malahan banyak. Semua spesis ini sesuai hidup di Malaysia. Mari kita lihat satu per satu spesis ini ciri-cirinya. Pilih mana yang dekat di hati.

Mulberi Kampung

Saya suka guna istilah ini kerana mulberi ini paling biasa kita temui ditanam di sekitar kampung. Pokoknya tahan dan mudah dibiakkan. Semakin besar pokok, semakin meriah buah yang dihasilkan.

Ciri buah: Warna merah ketika muda. Buah muda berasa masam. Apabila matang bertukar kehitaman. Rasa buah manis apabila matang.
Ketinggian: Boleh mencecah 5 meter tinggi jika tidak dikawal pertumbuhan
Saiz buah: Sederhana

Mulberi Taiwan

Mulberi ini saiznya lebih panjang. Pembiakan adalah melalui keratan batang, tut dan cantuman mata tunas. Kebanyakan petani akan biak melalui tut dan bukannya keratan.

Ciri buah: Warna hijau ketika muda. Menjadi merah dan seterusnya hitam apabila masak. Rasa buah manis sejak muda lagi.
Ketinggian: Boleh mencecah 5 meter tinggi jika tidak dikawal pertumbuhan
Saiz buah: Memanjang

Mulberi Gergasi

Mulberi gergasi atau mulberi giant ini mempunyai saiz buah 3-4 kali ganda besar berbanding buah mulberi kampung. Penanaman dan penjagaan tidak rumit.

Cara Penanaman

Dalam kaedah penanaman, perkara-perkara seperti jenis tanah, pH, jumlah cahaya adalah amat penting. Saya susun agar mudah untuk anda faham dan mula menanam pokok mulberi dengan mudah.

Mulberi bukan lah tanaman yang cerewet. Apa-apa tanah boleh ia tumbuh. Termasuklah tanah liat, tanah merah dan semestinya lebih bagus jika tanah kaya dengan bahan organik. Tanah yang bergenang juga boleh pokok ini hidup.

emel kebun bandar

Campuran Tanah Pasu

Bagi yang ingin menanam dalam pasu, tentunya campuran tanah yang sesuai memainkan peranan penting. Gunakan tanah campur 6 dalam 1 yang biasa dijual di nurseri pokok. Selain itu anda boleh gunakan tanah sawit sebagai medium penanaman.

Jika inginkan cabaran lagi bolehlah cuba membuat tanah campur sendiri. Saya cadangkan guna campuran tanah bukit, sabut kelapa hancur (cocopeat) dan sekam bakar pada nisbah 3:2:1. Iaitu 3 tanah bukit, 2 sabut kelapa hancur dan 1 sekam bakar. Nisbah ini boleh diukur menggunakan bekas yang sama saiz. Contohnya jika anda menggunakan baldi 10L, maka kesemua bahan disukat menggunakan baldi tersebut.

Jika ingin mengetahui lebih lanjut, boleh baca artikel lengkap yang saya tulis bertajuk ‘Campuran Tanah Terbaik untuk Tanaman Pasu’.

Cara Pembiakan

Terdapat tiga cara utama bagi membiak pokok mulberi. Kesemua cara ini adalah secara tampang iaitu lebih kepada pengklonan tanpa ada perubahan genetik.

Keratan Batang

Cara pertama adalah dengan keratan batang. Cara ini adalah cara paling mudah. Potong keratan mulberi sekitar 10-15 cm dengan ada 3-4 mata tunas. Cucuk sedalam satu per tiga kedalaman polibeg. Untuk penyediaan tanah semaian ini, boleh rujuk pada campuran tanah pasu yang telah saya nyatakan sebelum ini.

Setelah itu letak di tempat redup. Dalam masa 2-3 minggu anda akan nampak mata tunas pecah dan mula mengeluarkan pucuk. Tapi nanti dahulu. Jangan bergegas untuk terus memindah anak pokok. Biarkan dalam 2 minggu lagi agar akar tumbuh. Hal ini kerana perkara paling penting dalam semaian keratan batang adalah munculnya akar. Pucuk adalah yang kedua.

Tempoh masa ini adalah sekitar 4-5 minggu.

Tut

Cara kedua adalah dengan tut. Pilih batang yang sihat. Jangan pilih batang utama. Pilih cabang dari batang utama. Kelar pada satu dahan. Kemudian kelar pada bahagian bawah dengan jarak 5 cm. Buang kulit. Kikis batang sehingga hilang lendir.

Sapu hormon pengakaran seperti ini di bahagian kulit kelaran atas. Di sini lah akar akan keluar.

Balut dengan plastik. Masukkan cocopeat. Ikat dengan kemas. Anda boleh gunakan tali rafia atau jika ingin cepat gunakan cable tie.

Akar akan keluar sekitar 3-4 minggu. Selepas itu boleh kerat di bawah bunjut. Buka dengan berhati-hati agar akar tidak tercabut.

Rendam dalam air selama sehari. Setelah itu barulah pindah ke dalam polibeg. Ini perlu dijaga selama 3-4 minggu agar pokok jadi stabil.

Jumlah keseluruhan masa adalah 2 bulan untuk siap satu anak pokok.

Cantuman Baji / Mata Tunas

Kaedah ketiga pula adalah dengan menjalan kaedah cantuman sama ada cantuman mata tunas atau pun cantuman baji. Untuk cantuman mata tunas, pokok penanti boleh kita gunakan pokok mulberi kampung. Pokok penanti ini lebih kuat dan tahan akarnya.

Ambil mata tunas daripada pokok mulberi yang kita kehendaki dan cantumankan pada pokok penanti. Hal ini sama untuk cantuman baji.

Tanaman dalam pasu

Mulberi boleh ditanam di dalam pasu. Saiz yang sesuai adalah 45 cm diameter dan ketinggian 45 cm ke atas. Anda boleh memulakan dengan pasu yang kecil. Apabila akar sudah memenuhi ruang, anda boleh menyalin ke pasu lebih besar. Mengikut pengalaman saya, setiap tahun perlu dibuat pemasuan semula agar pokok mulberi sentiasa mengeluarkan buah yang meriah.

Tanaman atas tanah

Mulberi sesuai sangat ditanam di atas tanah. Untuk sesiapa yang menanam di rumah, saya sarankan menanam jauh 5 meter ke atas dari bangunan seperti rumah. Hal ini kerana akar pokok mulberi boleh merosakkan bangunan jika tidak terkawal.

Jika ingin menanam di tepi rumah juga, boleh ditanam bersama pengekang akar. Hal ini akan menyebabkan akar mulberi tumbuh ke bawah dan tidak menjalar ke tepi lalu merosakkan struktur berdekatannya.

Untuk skala ladang komersial, mulberi ditanam pada jarak 4 meter antara pokok dan 5 meter antara baris.

Kawalan Serangga Perosak dan Penyakit

Secara umumnya, pokok mulberi adalah jenis tahan serangan serangga perosak seperti belalang, afid dan kepinding putih. Penyakit yang mungkin menyerang mulberi adalah kulapuk downy. Walaupun begitu, dengan penggunaan baja organik, peratus serangan amatlah kurang. Jadi saya sangat sarankan anda menggunakan baja organik sentiasa untuk pokok mulberi.

Pembajaan

Untuk awal penanaman eloklah kita guna baja organik seperti baja tahi ayam atau mana-mana baja organik yang ada di pasaran. Antara yang saya saran adalah baja tahi cacing atau vermikompos. Vermikompos bagus dalam membekalkan nutrien dan menjaga kesuburan tanah.

Jika ingin menggunakan baja kimia, saya saran guna baja NPK biru. Baja NPK biru mengandungi 12 peratus nitrogen, 12 peratus fosforus dan 17 peratus kalium. Sesuai untuk pokok buah.

Baja boleh diberikan setiap 2 minggu sebanyak 2 (100g) genggam baja organik atau 1 genggam (50g) baja NPK biru. Gandakan pemberian baja apabila anda mula ingin membuahkan pokok.

Cara Bagi Buah Mulberi Lebat

Buah mulberi keluar di celah ketiak daun. Jarang buah keluar pada batang yang lama. Oleh sebab itu kita perlu beberapa kaedah untuk memaksa buah keluar.

Sebelum melaksanakan kaedah ini, saya sarankan anda untuk membaja dahulu pokok. Biar semasa buah keluar pokok mempunyai nutrien yang cukup bagi menghasilkan buah yang besar dan meriah.

Cantasan

Apabila terlalu rimbun, maka perlu dibuat cantasan. Cantas sampai 1 meter ke pangkal. Nanti akan keluar banyak pucuk baru pada mata tunas. Di sepanjang pucuk baharu ini akan muncul buah mulberi.

Adakah cara ini akan merosakkan pokok? Tidak. Cara ini akan membantu untuk pokok kita menghasilkan buah dengan lebih cepat.

Lenturan

Togel semua daun. Lenturkan ke bawah. Hal ini akan memaksa mulberi untuk mengeluarkan tunas baharu pada setiap mata tunas. Apabila tunas baharu keluar, maka akan keluar sekali buah mulberi.

Setelah tuai semua pokok, anda boleh cantas semua batang mulberi. Ulang kaedah cantasan dan diikuti lenturan. Insya-Allah mulberi akan sentiasa mengeluarkan hasil tanpa henti.

Tuaian

Buah mulberi boleh dipetik apabila warna mula bertukar dari hijau ke merah merahan. Buah beri ini boleh dimakan segar, dijadikan jus atau dibuat halwa kering.

Untuk cara pemprosesan produk hiliran buah mulberi, anda boleh rujuk ‘Cara Proses Buah Mulberi’.

Rujukan

  • https://www.gardenguides.com/127054-history-mulberry-tree.html
emel kebun bandar

Terkini

error: Content is protected !!