Cara Simpan Biji Benih dengan Betul

Masalah ini terjadi kepada hampir semua pekebun. Apabila motivasi berkebun sedang memuncak, kita akan ke nurseri tanaman atau kedai online (shopee, tiktok) dan membeli pelbagai jenis biji benih. Rambang mata dibuatnya!

Namun, apabila sampai di rumah, barulah realiti sebenar menyapa. Ruang menyemai kita terhad. Akhirnya, separuh daripada benih itu disimpan. Katanya untuk kegunaan masa depan.

Persoalannya, berapa lama kita boleh simpan biji benih tersebut? Adakah benih mempunyai tarikh luput?

Setelah sekian lama tersimpan di ceruk dapur atau di dalam laci, anda mungkin tertanya-tanya semasa menjumpainya semula: “Masih boleh guna kah benih ni?” (Sepatutnya anda labelkan tarikh beli, bukan?)

Jawapan ringkas saya: Boleh, tiada masalah.

Jika benih itu berjaya bercambah, ia akan membesar dan subur seperti tanaman biasa. Isu utamanya bukan pada kualiti tumbesaran pokok, tetapi pada kadar percambahan. Ingat, semakin lama benih disimpan, semakin rendah peluangnya untuk bercambah.

3 Faktor Utama Ketahanan Biji Benih

Benih adalah organisma hidup yang sedang ‘tidur’. Untuk kekal bernas, ia bergantung kepada tiga perkara ini:

1. Umur Benih

Kebanyakan biji benih berada pada tahap terbaik pada tahun pertama ia dihasilkan. Selepas tahun pertama, peratus percambahan akan mula menurun secara perlahan.

2. Jenis Tanaman

Baka tanaman memainkan peranan penting dalam menentukan jangka hayat benih:

  • Jangka Hayat Pendek (1-2 Tahun): Lada atau cili, jagung, bawang, kucai.
  • Jangka Hayat Sederhana (3-4 Tahun): Kacang panjang, kacang tanah, tomato, lobak, bendi.
  • Jangka Hayat Panjang (Sehingga 6 Tahun): Timun, salad, basil, labu.

3. Keadaan Penyimpanan

Ini adalah faktor yang boleh kita kawal. Musuh utama benih adalah kelembapan dan haba. Benih akan kekal hidup lebih lama jika disimpan di tempat yang:

  • Kedap udara (kurang oksigen)
  • Sejuk (0-15 oCelcius)
  • Gelap
Petua: Tempat terbaik untuk menyimpan stok benih anda adalah di dalam bekas kedap udara di bahagian ‘chiller’ peti sejuk.

Tips Membeli Benih Baharu

Masalah utama paket benih di pasaran (nurseri atau pasar raya) adalah ketiadaan tarikh luput pada bungkusan. Jadi, sukar untuk kita mengagak kesegaran benih tersebut.

Strategi terbaik adalah membeli dari nurseri atau kedai online yang mempunyai trafik jualan tinggi. Apabila ramai pembeli, pusingan stok mereka laju. Ini menjamin kita sentiasa mendapat stok benih yang baharu dari kilang.

Bagaimana pula dengan di nurseri baharu kita nak beli?

Jangan beli borong terus. Beli 1 atau 2 pek dahulu dan lakukan Ujian Percambahan.

emel kebun bandar
  • Semaikan sebilangan benih. Ambil 10-20 biji
  • Jika lebih 80% bercambah, itu tanda stok mereka masih segar.
  • Jika kurang, elakkan membeli benih di situ pada masa hadapan.

Kesimpulan

Jangan terburu-buru membuang stok benih lama yang anda jumpa di belakang almari. Tarikh luput hanyalah satu anggaran, bukan penentu mati hidup benih itu. Selagi benih tidak berkulat atau hancur, berikan ia peluang kedua.

Ingat, kunci utama penjimatan dalam berkebun adalah cara penyimpanan yang betul. Simpan benih di tempat yang sejuk, gelap dan kedap udara bermula hari ini. Jika ragu-ragu, semai sahaja sedikit sebagai eksperimen. Rugi sedikit masa jika tidak bercambah, tetapi sangat menjimatkan wang jika ia menjadi.

Rujukan

  1. https://www.gardenmyths.com/storing-collected-seed-fridge-or-freezer/
  2. https://echonet.org/echo-news/seed-saving-not-just-a-tradition/
emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

  1. Perlu tunggu sehingga 2-4 minggu. Jika masih tiada percambahan, boleh minta ganti rugi, jika nurseri itu beri.

  2. Nak tanya, saya ada beli benih cili paket di nursery terdekat kawasan saya…selepas itu saya terus semai alhamdullilah dlm 80% naik dari keseluruhan.. beberapa hari kemudian saya ada beli pula kali ni dlm tin…. tmpt yg sama.. tetapi selepas 6 hari semai tetap tiada perubahan..perlukah saya pergi ke nursury tersebut untuk tukar? Sebab saya semai dekat 1500 biji benih dan ada lagi 9000 benih lagi dlm tin… kalaulah semua termasuk yg dlm tin tuh pun tak leh nak bercambah… rugi jugak saya

  3. Baru saya tahu cara simpan yang betul patut lah semaian kedua saya guna kaedah hiroponik tak bercambah. huhuhu

  4. Sy berminat utk menanam asparagus Dan telah Cuba menyemai biji benih yg dibel di pasaraya. Malangnya telah hampir 5 kali mencuba masih tidak berhasil.

  5. Kalau disimpan elok di tempat dingin dan kering, boleh bertahan sehingga 2-3 tahun.

  6. Terima kasih.. ilmu ini sgt berguna.. tpi boleh saya tahu klau benih sayuran hijau sperti bayam dan sawi dan cili boleh bertahan berapa lama?
    Terima kasih..

  7. Terima kasih, info yg berguna

  8. Terima kasih. Suka jumpa ni , semoga ilmu mendapat berkat drNya.

  9. Terima kasih En Izham

  10. Terima kasih perkongsian ini

Anda Mungkin Berminat:

Inginkan Tips Berkebun Lagi?

Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
*Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
error: Content is protected !!