Pengurusan Racun Rumpai yang Harus Petani Tahu

Jika bercucuk tanam di atas tanah, rumpai memang menjadi masalah utama kepada pekebun. Cara paling mudah kendalikan rumpai adalah dengan menggunakan racun rumpai.

Sebelum itu, kita kenala apakah itu rumpai? Rumpai adalah tumbuhan yang tumbuh di tempat ia tidak dikehendaki. Pelbagai spesis rumput antara rumpai yang paling banyak tumbuh di ladang dan kebun sayur.

Terdapat tiga cara menguruskan rumpai iatu kawalan biologi, mekanikal dan kimia. Penggunaan racun rumpai tergolong dalam kawalan kimia.

Kali ini kita belajar cara untuk menguruskan racun rumpai bermula dengan mengenal sifat racun rumpai, jenis tindakan, dan perkara penting berkaitan racun rumpai.

Perkara paling penting adalah kita perlu tahu bahawa racun rumpai adalah bahaya dan perlu dikendalikan dengan baik. Oleh itu saya ada masukkan langkah keselamatan pada akhir artikel ini.

Sifat Racun Rumpai

Terdapat dua sifat racun rumpai iaitu selektif (memilih) dan tidak selektif (tidak memilih).

Racun rumpai selektif hanya mematikan spesis rumpai tertentu sahaja manakala meninggalkan tanaman dalam keadaan terkawal. Racun ini bertindak mengganggu pertumbuhan rumpai melalui “peniruan” hormon tumbuhan. Pemilihan ini mungkin disebabkan oleh translokasi, penyerapan berbeza, perbezaan fizikal (morfologi) atau fisiologi antara spesies tumbuhan.

Antara contoh racun rumpai selektif adalah seperti 2,4-D dan imazapic. Racun 2,4-D bertindak khas membunuh rumpai berdaun lebar seperti melostoma. Racun seperti ini banyak digunakan ketika pokok padi sedang tumbuh.

Racun rumpai tidak selektif bertindak terhadap semua spesies tumbuhan tertentu. Mana-mana tumbuhan yang terkena racun ini akan mati. Ia digunakan untuk membersihkan tapak perindustrian, tanah sisa, kereta api dan benteng keretapi. Contoh racun rumpai ini adalah seperti paraquat, glufosinate, dan glyphosate.

Jadi penting untuk kita menilai sifat racun apa yang ingin kita gunakan.

Tindakan Racun Rumpai

Jenis racun rumpai dibahagikan kepada tiga berdasarkan cara tindakan racun tersebut.

  • Racun sentuh
  • Racun serap
  • Racun pra-cambah

Racun Sentuh

Racun sentuh akan membunuh mana-mana bahagian yang terkena dengan racun ini sahaja manakala yang tidak terkena akan masih hidup. Bahagian akar dan mungkin batang yang terlindung akan hidup dan tumbuh semula.

Sebab itu kalau kita guna racun sentuh perlulah disembur kepada seluruh bahagian tumbuhan.

Racun ini sangat berkesan pada rumpai daun lebar yang tumbuh semusim.

Kelemahan apabila tidak terkena akar adalah rumpai mampu tumbuh semula selepas mati. Kesannya cepat, tapi tumbuhnya rumpai pun cepat.

emel kebun bandar

Tindakbalas racun ini terhadap tumbuhan adalah cepat. Dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas sembur kita dapat lihat tumbuhan mula layu.

Jadi sesuailah racun ini bagi petani yang ingin melihat kesan yang cepat. Di samping itu, racun sentuh ini paling sesuai disembur semasa musim hujan.

Cara semburan secara jalur atau bulatan di bawah kanopi tumbuhan sesuai digunakan untuk racun jenis ini.

Lazimnya petani boleh membuat campuran dengan racun pracambah.

Bagi kawalan yang menyeluruh terhadap rumpai saka, racun ini perlu disembur berulang-ulang dalam jangkamasa yang pendek. Tujuannya untuk mengurang dan menghabiskan simpanan makanan dalam tisu tumbuhan yang tidak terkena racun.

Paraquat

Paraquat adalah antara racun rumpai paling popular di kebanyakan negara. Racun ini mengandungi perawis aktif dikenali sebagai ‘paraquat dichloride 25% w/w’. Di antara beberapa jenama racun jenis ini seperti Paraquat, CP Paraquat, Gramoxone PP199, Chemquat, Terquat, dan Clean-Up.

Racun jenis sentuh ini membunuh rumpai daun lebar dan rumput. Untuk kesan maksimum, semburan pada tumbuhan perlu lenjun.

Petani menyembur racun ini dengan kerapa bagi mendapat kawalan yang berkesan.

Racun ini sesuai dicampur dengan Diuron. Diuron bertindak sebagai racun pracambah. Campuran ini ada di pasaran dengan jenama Paracol. Keberkesanan racun paraquat ini juga adalah lebih baik jika dicampur dengan 3g Ally dalam 18 liter air.

Namun begitu, ia tidak berkesan jika disembur di atas permukaan tanah kerana bahan aktif paraquan akan diikat oleh liat pada tanah.

Keburukan paraquat adalah sisanya tersimpan lama di dalam tanah.

Racun paraquat boleh meresap melalui kulit dan mesti dielakkan dari menyedut kabus semasa menyembur dan elakkan dari terkena mata dan kulit. Jika termakan ia boleh merosakkan bahagian usus, paru-paru, hati dan ginjal.

Racun serap / sistemik

Racun serap atau racun sistemik adalah racun yang menyerap masuk dan mengganggu sistem organ tumbuhan.

Sebagai contoh racun ‘monoron’ menghalang proses fotosintesis berlaku. Racun serap lain mungkin merosakkan proses pernafasan, metabolisma, karbohidrat, lemak dan juga protein dalam tumbuhan.

Jika hendak dibandingkan dengan racun sentuh, racun rumpai jenis ini membunuh rumpai dengan lebih berkesan. Rumpai yang mati akibat racun ini akan mengambil masa lama untuk kembali pulih. Walaupun begitu, tindakan racun ini hanya dapat dilihat sekitar 2 hingga 3 minggu selepas semburan.

Ada sesetengah petani mencampurkan racun sentuh dan racun sistemik untuk mendapat kesan yang cepat. Tindakan ini bukanlah tindakan bijak. Racun sentuh akan membunuh tisu tumbuhan. Apabila tisu ini mati, serapan racun sistemik akan tergganggu.

Menggunakan kadar kepekatan yang tinggi juga tidak sesuai untuk racun ini. Kepekatan yang tinggi akan menyebabkan kematian pada tisu tertentu dan ini akan menghalang pergerakan racun ke bahagian akar rumpai. Gunakan dos yang disyorkan pada label racun.

Racun Garlon 250 – Sistemik untuk daun lebar seperti kekacang, senduduk dan juga untuk membunuh pokok.

Racun Ally – Sistemik untuk daun lebar. Bahan aktifnya ialah metsulfuron-methyl. Sesuai dicampur dengan round-up dan juga paraquat.

Glyphosate

Glyphosate adalah racun serap dengan kandungan perawis aktif iaitu ‘N-(Phosphonomethyl) glycine’. Antara nama dagangan racun ini seperti Roundup, Ecomax dan Touch down.

Racun sistemik ini sesuai membunuh rumpai saka seperti lalang, menerong, rumput sambau dan juga rumpai daun lebar.

Ia sesuai dicampur dengan 3g racun Ally untuk mendapat kesan yang lebih terutama pada daun lebar. Racun ini kurang merbahaya pada mamalia.

Untuk menggunakan secara berkesan perlu menggunakan air yang bersih. Glyphosate akan hilang racunnya bila bercampur dengan lumpur.

Racun Pra-cambah

Racun jenis ini berkesan untuk tujuaan kawalan rumpai pada peringkat paling awal. Biasanya racun pracambah digunakan di awal pembukaan batas kebun atau ladang terutama selepas kerja-kerja penyediaan tanah selesai. Racun ini mampu menghalang anak benih rumpai tumbuh sebelum penanaman dibuat.

Racun Diuron adalah racun pracambah digunakan untuk kawal rumput dan rumpai daun lebar. Biasanya digunakan dengan racun lain. Kegunaan Diuron akan lebih berkesan jika digunakan bersama pelekat (surfactant).

Organic Arsenicals

Antara perawis aktifnya adalah cacodylic acid dan methanearsonic. MSMA dan DSMA adalah antara jenama yang mengandungi perawis aktif ini.

Racun jenis ini mengandungi logam arsenik yang boleh terkumpul di dalam tanah dan mencemarkan tanah. Logam arsenik boleh diserap oleh tumbuhan dan apabila dimakan oleh manusia boleh mengakibatkan sakit buah pinggang.

Oleh sebab itu racun ini sudah jarang digunakan.

Jenis racun rumpai dan perawis aktif:

Jenis Racun RumpaiPerawis aktif
Racun sentuhParaquat
Racun serap– Glyphosate
– Glufosinate ammonium
Racun pra-cambah– bensulide
– metolachlor
– pendimethalin
– Atrazine

Perkara Penting Untuk Tahu Berkaitan Racun

Ada beberapa perkara kita perlu tahu apabila melibatkan hal racun kimia ini iaitu perawis aktif dan langkah keselamatan terlibat.

Perawis Aktif

Apabila kita membeli racun rumpai, pada label itu akan kita lihat ditulis perawis aktif (active ingredient, a.i). Fungsi perawis aktif adalah untuk bertindak mematikan rumpai.

Perawis aktif ini dibahagikan kepada tiga nama:

Nama kimia

Penamaan ini diberikan secara sistematik oleh badan tertentu seperti International Union of Pure and Applied Chemistry (IUPAC) dan Chemical Abstracts Service (CAS). Kalau belajar sains sekolah menengah, inilah masanya untuk mengaplikasikan pengetahuan tersebut.

Nama biasa

Nama kimia terlalu panjang dan rumit untuk petani ingat. Maka saintis menerbitkan nama biasa pula.

Nama dagangan

Nama dagangan ialah jenama produk racun kimia yang biasa tertulis pada label produk. Hal ini agar petani tidak lupa jenama syarikat apa racun dia beli.

Contoh racun mengikut nama:

Nama biasaNama daganganNama kimia
Cypermethrin Cymet, Kencis [Cyano-(3-phenoxyphenyl)methyl]3-(2,2-dichloroethenyl)-2,2-
dimethylcyclopropane-1-carboxylate
Mancozeb MZ-45, Manzeb 80 manganese ethylenebis(dithiocarbamate)(polymeric) complex with zinc salt
Brodifacoum Matikus, Talon 3-[3-[4-(4-Bromophenyl)phenyl]-1,2,3,4-tetrahydronaphthalen-1-yl]-2- hydroxychromen-4-one
Metaldehyde Siputox, Meta 5G r-2, c-4, c-6, c-8-tetramethyl-1,3,5,7-tetroxocane
Glyphosate Roundup, Ken-up, Acomac N-phosphonomethyl glycine

Kelas Racun Rumpai

Racun rumpai dibahagikan kepada empat kelas mengikut tahap keracunan sesuatu racun. Kita boleh lihat pada botol racun dengan warna yang tertera.

Kelas Racun Rumpai
Kelas racun rumpai mengikut Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP)

Langkah Keselamatan

Racun kimia adalah berbahaya. Itu kita perlu ingat dan semat dalam minda. Jangan buat main dengan racun kimia. Telah banyak nyawa petani mati akibat salah penggunaan racun sama ada mereka tidak tahu cara yang betul kendalikan racun atau mereka memang jahil.

Saya harap anda ambil perhatian pada bahagian ini.

Makanan

Sebelum makan pastikan telah kita cuci bersih tangan dan tukar baju. Jika lapar, pastikan makan dahulu sebelum meracun.

Pakaian Keselamatan Meracun

Baju lengan panjang, seluar panjang, apron, topeng gas, penutup mata, topi dan sarung tangan.

Jangan ambil lewa akan hal pemakaian ini. Ramai pekerja buruh mati keracunan akibat mengabaikan keselamatan pemakaian.

Larangan kawasan semburan

Jangan masuk ke kawasan semburan selepas sembur. Hal ini kerana racun masih aktif ada lagi di sekitar itu. Biarkan selama sekurangnya 12-24 jam sebelum masuk semula ke kawasan disembur.

Tindakan selepas menyembur racun rumpai

Beberapa tindakan perlu dibuat sejurus sahaja kita selesai menyembur racun rumpai.

Mandi

Setelah kita sembur, terus tanggal baju dan basuh bersih. Asingkan baju daripada baju lain. Seeloknya kita basuh dengan tangan dahulu bagi membuang lebihan racun.

Cuci tangan sebersihnya setelah menyembur

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    error: Content is protected !!