Tiada Kawasan Untuk Berkebun? Cuba Batas Naik Selain Pasu Tanaman

emel kebun bandar

Ramai antara kita ingin berkebun, tetapi terhenti di langkah pertama iaitu mula berkebun. Ada yang tinggal di rumah teres dengan halaman yang sempit. Ada yang mempunyai sedikit tanah, tetapi tanahnya keras, berbatu atau tanah tambak bekas longgokan sisa binaan pemaju tanah yang langsung tidak menyuburkan pokok. Ada juga yang sudah mencuba menanam di atas tanah tersebut tapi gagal.

Jika anda pernah berkata, “Tak boleh berkebun, tanah rumah saya teruk,” catatan ini ditulis untuk anda. Penyelesaiannya mudah: jangan bergantung pada tanah yang sedia ada. Sediakan tanah sendiri di dalam batas naik.

Apakah Batas Naik?

Batas naik (raised bed) ialah bingkai tanpa dasar yang diletakkan di atas permukaan tanah, kemudian diisi dengan campuran media tanaman yang kita sediakan sendiri. Ia ibarat satu pasu besar tanpa ada dasar. Hanya ada dinding di sekeliling. Pokok tumbuh di dalam campuran itu, bukan di tanah asal. Maka, tanah liat yang keras, tanah berbatu atau tanah yang sentiasa becak tidak lagi menjadi masalah.

Kaedah ini sudah lama digunakan oleh peminat berkebun di seluruh dunia kerana kelebihannya jelas. Anda menentukan sendiri kualiti tanah, air hujan yang berlebihan mudah mengalir keluar, dan tanah di dalam batas tidak dipijak sehingga kekal gembur. Anda juga tidak perlu membongkok terlalu rendah ketika menyiram atau menuai.

Konsep Asas Batas Naik

Kajian menunjukkan akar pokok berada sekitar 15cm hingga 30 cm di atas tanah. Jika kita belajar pasal sains tanah, kita akan tahu bahawa itu adalah kawasan horizon O tanah. Di sinilah tanah membesar. Dengan ini, kita boleh faham bahawa batas naik tidak perlu tinggi. Paling bagus sekitar 30-45cm tinggi sahaja. Atau kiraan sekitar 1-1.5 kaki.

Manakala lebar batas naik adalah panjang tangan boleh capai. Biasa sekitar 90-100 cm. Panjang pula ikut keluasan kawasan. Minimum biasanya 1 meter ke atas.

Daripada konsep tinggi, lebar dan panjang ini saya simpulkan sesebuah batas naik perlu 30cm tinggi, 90cm lebar dan 100cm panjang. Dengan panduan ini kita sudah boleh mula membina batas naik. Kita pergi pula kepada bahan-bahan yang sesuai untuk pembinaan batas naik.

Manakala untuk tanah di dalam batas naik itu, cadangan saya adalah guna tanah campur yang ada dijual di nurseri tanaman. Tak perlu isi sampai tinggi batas. Cukup sekadar 20cm tinggi. Jika nak lagi bagus, saya ada tulis panduan membuat sendiri tanah campur untuk rujukan anda.

[ Beli tanah campur di sini (shopee) ]

Reka Bentuk Batas Naik Yang Ada

Asas batas naik ialah membina dinding buatan di keliling kawasan tanaman. Persoalannya, apakah bahan yang terbaik untuk dinding itu? Berikut beberapa pilihan yang biasa digunakan, beserta kelebihan dan kekurangannya apabila digunakan di Malaysia.

Kayu

Kayu ialah bahan yang paling biasa kita lihat dalam video berkebun orang putih. Namun, di Malaysia kayu kurang sesuai. Cuaca yang lembab sepanjang tahun menyebabkan kayu mudah reput dan rosak, apatah lagi mudah diserang anai-anai. Kayu keras seperti merbau memang lebih tahan, tetapi harganya mahal. Bukankah itu membatalkan tujuan kita berkebun untuk menjimatkan kos?

Jika berkeras nak guna juga, ketahuilah ketahanan kayu sekitar 3-6 bulan sahaja. Selepas itu anda perlu membina semula batas naik itu. Banyak kerja, bukan?

Binaan Batu

Alternatif lain ialah binaan batu, iaitu menyusun bata yang biasa digunakan untuk membina rumah. Binaan ini mudah dibuat, tetapi rupanya kurang cantik dan tanah boleh keluar melalui celah-celah batu. Untuk mengelakkannya, kita perlu menggunakan simen, tetapi itu menjadikan batas kekal di tempat itu dan tidak boleh dialihkan lagi.

Shera Plank

Shera plank juga boleh digunakan, dan Azuan Abdullah antara yang menggunakannya. Namun, berdasarkan pengalaman saya, kaedah ini agak renyah.

Kain

Batas naik ini lebih kepada pasu. Kelebihan adalah tahan lama. Saya pernah menggunakannya. Kelemahan sama seperti batas naik lain adalah media akan mudah cepat kering. Selain itu proses pemindahan adalah merenyahkan. Yelah kita kena keluarkan media dahulu. Boleh la kalau sesiapa nak mencuba.

[ Beli batas naik kain di sini (shopee) ]

Plastik Penghadang Akar (Rootpot)

Pilihan seterusnya ialah plastik penghadang akar atau rootpot. Bahan ini tahan lama dan terdapat dalam pelbagai ketinggian serta panjang. Namun, kita perlu membuat tiang untuk menyokongnya. Cara yang paling mudah ialah menggunakan tiang sepanjang tiga kaki daripada batang paip PVC bersaiz 16mm jenis tebal. Potong paip itu sepanjang tiga kaki dengan hujung dipotong serong, kemudian ketuk ke dalam tanah sebagai tiang. Tiang ini tahan lama.

[ Beli root control pot di sini (shopee) ]

Antara semua pilihan di atas, yang terbaik ialah batas naik galvanise.

Kenapa Batas Naik Galvanise Pilihan Terbaik?

Keluli bergalvani disalut lapisan zink, jadi ia tahan karat dan tidak reput walaupun terdedah kepada hujan dan panas setiap hari. Berbanding kayu yang mudah reput dan diserang anai-anai, batas galvanise tidak perlu dicat atau dirawat, dan boleh digunakan untuk tempoh yang lama.

Selain itu, rupanya kemas dan moden. Garisnya lurus, sudutnya rapi, dan halaman rumah kelihatan teratur walaupun ruangnya kecil. Ia juga ringan serta dipasang dengan mudah, kebanyakannya hanya menggunakan bolt dan nat tanpa memerlukan tukang.

Boleh Diubah Mengikut Kemahuan Anda

Inilah kelebihan yang paling saya suka. Batas galvanise biasanya dijual dalam bentuk panel yang dicantumkan sendiri, maka reka bentuknya bergantung pada keperluan anda.

Anda boleh memilih saiz yang kecil untuk sudut laman, atau saiz panjang untuk menanam sayur dalam kuantiti yang banyak. Anda boleh menyusun beberapa batas secara selari dengan lorong kecil di tengah. Jika ruang bertambah atau hasrat berkebun semakin besar, tambah sahaja batas baharu. Jika anda berpindah rumah, batas itu boleh dibuka, dibawa dan dipasang semula di tempat baharu. Tinggi batas pula boleh dipilih, sama ada rendah untuk sayur daun atau lebih tinggi untuk tanaman berakar dalam seperti lobak merah.

Cara Memulakan

Langkahnya tidak rumit. Pertama, pilih tempat yang menerima cahaya matahari sekurang-kurangnya enam jam sehari. Kedua, pasang panel dan letakkan batas di atas tanah yang telah diratakan. Ketiga, alaskan dasar dengan kadbod atau tikar rumpai supaya rumpai tidak tumbuh ke atas.

[ Beli tikar rumpai di sini (shopee) ]

Keempat, isi batas dengan campuran yang subur. Sebagai panduan awal, gunakan satu bahagian tanah atas, satu bahagian kompos atau baja organik yang telah reput, dan satu bahagian cocopeat untuk menggemburkan campuran serta menyimpan kelembapan. Kelima, tanam dan siram. Dalam masa yang singkat, anda sudah mempunyai kebun yang kemas.

[ Beli cocopeat di sini (shopee) ]

Sayur yang sesuai ditanam termasuklah sawi, kangkung, bayam, cili, terung, bendi, tomato dan pelbagai ulam seperti kesum dan pudina. Jika baru bermula, cuba tanam sayur daun terlebih dahulu kerana ia cepat tumbuh dan memberi semangat kepada kita.

[ Beli benih sawi di sini (shopee) ]
[ Beli benih kangkung di sini (shopee) ]
[ Beli benih cili di sini (shopee) ]
[ Beli benih tomato di sini (shopee) ]

Beberapa Perkara Yang Perlu Diambil Kira

Supaya tidak timbul kekecewaan, ada beberapa perkara yang baik diketahui. Dinding logam boleh menjadi panas di bawah matahari yang terik, jadi siramlah pada waktu pagi atau petang dan letakkan sungkupan seperti jerami atau daun kering di atas permukaan tanah untuk mengurangkan kehilangan air. Selain itu, pelbagai peniaga di Shopee menawarkan saiz dan ketebalan keluli yang berbeza. Semaklah ukuran, ketebalan dan ulasan pembeli sebelum membuat pilihan, kemudian sesuaikan dengan ruang yang anda ada.

Rumusan

Jika anda ingin mula berkebun tanpa menunggu tanah di rumah menjadi baik, batas naik galvanise ialah pelaburan yang berbaloi. Sekali pasang, ia kekal kemas dan tahan lama.

Berkebun tidak memerlukan halaman yang luas atau tanah yang sempurna. Yang diperlukan hanyalah satu langkah permulaan. Semoga batas naik ini menjadi permulaan kebun anda.

Catatan: sebahagian pautan dalam pos ini ialah pautan afiliasi Shopee. Jika anda membeli melalui pautan tersebut, saya mungkin menerima komisen kecil tanpa menambah kos kepada anda. Komisen ini membantu saya terus menulis panduan berkebun percuma di sini.

emel kebun bandar

Comments

    Comments are closed