Cara Tanam Cekur Manis dalam Pasu

Cekur manis adalah sayuran yang sedap dimakan. Penjagaan cekur manis tidaklah sukar apabila ia mula tumbuh. Yang penting kekalkan pembajaan dan cantasan berkala.

Biasanya orang kita memasak bahagian pucuk dan daun muda.

Maklumat Botani

Nama Melayu: Cekur manis, pucuk manis, sayur manis, asin-asin, katuk (Indonesia)
Nama Inggeris: Sweat leaf bush
Nama saintifik: Sauropus androgynous
Keluarga: Euphorbiacea

Cekur manis mempunnyai batang keras dan boleh tumbuh sehingga 3 meter tinggi. Daun cekur manis berwarna hijau.

Penyediaan Pasu

Pasu bersaiz 30 cm tinggi dan 30 cm lebar sudah memadai untuk tanam pokok cekur manis ini. Sementara itu jika anda ingin menanam di dalam polibeg, saiz yang saya sarankan adalah 20 inci x 20 inci ke atas.

Mengikut pengalaman saya, saiz polibeg 16 x 16 inci tidak berapa sesuai kerana akar pokok akan cepat memenuhi pasu.

Campuran Tanah

Bagi menghasilkan pokok cekur manis yang sentiasa subur, campuran tanah perlulah kaya dengan bahan organik. Hal ini bersangkut-paut dengan kelestarian tanaman untuk berada dalam pasu.

Anda boleh dapatkan tanah 3 dalam 1 ataupun menggunakan tanah hitam atau tanah bakar. Jika gunakan tanah hitam atau tanah bakar, pastikan anda membuat campuran dengan kompos pada nisbah 2:1.

Untuk faham lebih lanjut tentang ini, anda boleh membaca penulisan saya tentang kaedah membuat sendiri campuran tanah di sini..

Pembiakan

Pokok cekur manis boleh dibiakkan melalui dua cara iaitu semaian biji benih dan keratan batang. Lazimnya cara kedua lebih digemari oleh pekebun kerana kadar kemenjadian yang tinggi dan pokok akan cepat boleh dituai.

Cara pembiakan keratan batang adalah dengan memotong batang diameter 1 cm hingga 3 cm dengan panjang 20 cm hingga 30 cm. Biasanya batang ini berwarna perang dan keras. Batang yang berwarna hijau masih lembut dan tidak sesuai untuk dibuat semaian.

Setelah melakukan pemotongan, boleh terus buat semaian ke dalam pasu. Jika tidak, rendam keratan batang di dalam bekas berisi air yang menutup 5-10 cm keratan dari bawah. Saya lebih suka membuat terus penanaman kerana tidak perlu tunggu sehingga akar tumbuh di bahagian bawah batang. Hal ini kerana saya suka memudahkan kerja.

Jika penanaman di ladang, biasanya mereka akan menyemai dahulu keratan di dalam polybag bersaiz 6 x 7 inci. Untuk penanaman di rumah, kita semai terus sahaja di dalam pasu. Lagipun peratus kemenjadian adalah tinggi.

Cucuk terus keratan batang dengan dalam satu per tiga panjang batang. Contohnya jika panjang keratan adalah 30 cm, 10 cm di dalam tanah manakala 20 cm lagi di atas permukaan tanah. Yang ini boleh kita agak agak sahaja. Tidak perlu lah sampai mengambil pembaris dan ukur. Gunakan kecekapan mata anda dalam menilai, boleh?

emel kebun bandar

Satu pasu boleh kita semai dalam 2-3 keratan. Jangan lebih kerana ini akan membuatkan daun dan pucuk yang terhasil nanti kecil.

Setelah cucuk, padatkan sedikit tanah sekitar pangkal batang dengan menekan menggunakan tangan. Hal ini bagi memastikan keratan betul melekat dengan tanah agar sumber air terus membekalkan pada keratan.

Siram setelah semua selesai. Letak pasu di tempat redup agar tidak terkena terus cahaya matahari. Kita perlu pastikan keratan batang tidak kering.

Penjagaan

Pada awal penanaman, paling penting untuk kita menjaga kelembapan tanah dalam pasu. Siram keratan setiap hari agar tanah sentiasa lembab.

Pembajaan

Jika kita menanam di atas tanah, penjagaan cekur manis ini tidaklah rumit. Namun jika di dalam pasu, kita perlukan sedikit usaha yang lebih berbanding di atas tanah terutama dari segi pembajaan.

Kit perlu sentiasa memberi baja setiap 2 minggu yang mana jika tanam di atas tanah boleh sebulan sekali.

Cukup untuk hanya membaja tahi ayam pada kadar satu genggam setiap 2 minggu sekali. Bubuh baja di hujung pasu dan elak terkena pada pangkal pokok. Apa-apa baja ada sifat panas.

Kawalan Perosak dan Penyakit

Cekur manis jarang diserang perosak dan penyakit.

Tuai

Setelah 40 hingga 60 hari, pokok cekur manis mula menampakkan pucuk. Pucuk cekur manis boleh kita tuai setelah 3 bulan kita tanam.

Agar kita sentiasa mendapat pucuk yang berkualiti, cantas setiap 6 bulan batang cekur manis sehingga 1 meter dari pangkal.

Pemasuan Semula

Setelah pokok berumur setahun lebih akan tiba masanya untuk kita membuat pemasuan semula. Antara tanda perlu pemasuan semula adalah apabila akar mula keluar di bontot pasu, daun kekuningan walaupun air dan baja diberi berkala dan pokok mula tidak produktif (terbantut).

Rujukan

emel kebun bandar

Izham Alias

Saya adalah graduan Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian UPM. Minat membaca dan menulis tentang dunia berkebun di rumah. Kini bekerja sebagai pensyarah agroteknologi di ... kenali lanjut penulis (klik sini)

Tags

Share

    Anda Mungkin Berminat:

    Inginkan Tips Berkebun Lagi?

    Jom langgan emel KebunBandar! Terima tips dan trik berkebun terus ke emel anda secara percuma!
    *Kami juga membenci spam. Anda boleh berhenti melanggan bila bila masa tanpa soal.
    error: Content is protected !!