Saya sering mendapat soalan oleh orang yang baru hendak mula berkebun di rumah. Kebanyakan rumah mereka tiada tanah atau ruang yang luas untuk berkebun seperti di rumah kampung.
Saya berfikir, paling senang adalah bermula dengan menanam dalam pasu. Tidak perlu banyak. Mulakan dengan pasu atau bekas sahaja. Itulah kelebihan berkebun di rumah. Tidak perlu bahan mahal.
Kalau saya kira semua kos yang terlibat seperti biji benih (RM3), tanah campur (RM3), pasu (RM3) dan baja (RM3) tidak lah mahal. Sekitar RM12 sahaja.
Biji benih pula tidak lah semua akan kita guna untuk pertama kali penanaman. Dalam 3-5 biji benih. Dalam pek benih itu ada dekat 100 biji benih jika sawi.
Oleh itu, saya kongsikan langkah-langkah untuk kita mula berkebun menggunakan bekas atau pasu.
Sebelum mula berkebun, tentukan tanaman apa yang anda biasa makan. Macam saya suka makan kangkung, sawi, bayam, kailan dan apa-apa lah jenis sayur. Senaraikan dahulu di atas kertas.
Kemudian lihat senarai adakah tanaman yang anda tanam itu di bawah kategori mudah tanam. Contohnya kangkung, sawi dan bayam adalah tanaman yang sesuai untuk newbie mula. Penjagaan untuk tiga tanaman ini tidak rumit. Apatalah lagi digemari ramai.
Seterusnya, tetapkan lokasi yang sesuai untuk kita mula berkebun. Lokasi itu mestilah mudah untuk kita akses, ada cahaya matahari pagi dan petang, dan berdekatan sumber air.
Jika di rumah atas tanah, tentunya di halaman hadapan atau belakang rumah. Manakala untuk rumah pangsa, sama ada di balkoni atau ruang legar kaki lima. Yang pasti ada cahaya matahari di situ. Saya terangkan tip berkebun di apartment di sini.
Berkebun tentunya memerlukan alatan yang betul agar aktviti berkebun kita berjalan lancar.
Untuk newbie, saya boleh katakan ambil ini lima sahaja iaitu tanah, pasu, biji benih, baja dan sudip tangan. Untuk alatan asas, saya terangkan semua di sini.
Setelah ada semua bahan, kita sudah boleh mula menyemai. Tidaklah susah untuk semaian ini. Ada dua cara semai untuk anda yang baru hendak bermula.
Pertama, semai terus ke dalam pasu berisi tanah. Cara ini paling mudah. Anak pokok tidak perlu dipindahkan sebaik sahaja mula bercambah.
Tetapi ada kelemahan seperti benih mungkin dimakan semut atau hilang entah ke mana.
Cara kedua pula adalah dengan semai dahulu di bekas atau pasu kecil. Tunggu sehingga benih bercambah dan seterusnya ada 3-5 helai daun sebenar. Cara ini yang selalu saya buat.
Saya biasa semai benih di dalam dulang semaian yang dikerat kecil. Selain itu anda juga boleh semai di dalam bekas tapis. Ambil sedikit tanah campur yang dibeli untuk digunakan sebagai media semaian.
Jika guna dulang semaian, semai hanya 1-2 biji sahaja per lubang. Manakala untuk bekas tapis, boleh tabur dalam secubit dua sekitar itu untuk bercambah.
Apabila mula bercambah, tunggu sehingga 3-5 helai barulah pindah.
BACA >>> Cara Semaian Benih Sayur Yang Betul
Saiz pasu menentukan jenis tanaman yang boleh kita tanam. Kita boleh membeli pasu atau menggunakan botol minuman sebagai bekas untuk bercucuk tanam.
Untuk sayur daun seperti kangkung, saiz paling sesuai bermula dari sebesar botol minuman 500 mL sehinggalah 10L.
Saya terangkan hal ini dalam artikel Menanam Guna Botol Kitar Semula.
Di langkah #4 saya terangkan tentang penyemaian biji benih. Sekitar 4-6 hari benih mula bercambah. Kemudian sekitar 10-14 hari anak benih akan ada daun sebenar dalam 3-5 helai daun.
Apabila daun ini banyak barulah tanda untuk mula pindahkan.
Buat pemindahan pada lewat petang agar anak benih ada masa untuk pulih daripada kejutan pemindahan.
Pasu yang berisi anak benih itu kita letak di tempat redup selama 7 hari sebelum pindah di tempat yang ada cahaya matahari banyak.
Dengan cuaca Malaysia yang panas terik ini tentulah kita perlu menyiram selalu tanaman kita. Siraman boleh dilaksanakan sebanyak dua kali sehari iaitu di awal pagi dan petang.
Jika kita jenis sibuk bekerja, saya sarankan anda membuat sistem siraman auto. Tapi kalau kita baru nak mula berkebun, siram manual sahajalah. Ambil air dalam cebok. Pergi siram pokok tu.
Selesai pemindahan, boleh terus bubuh baja. Saya selalu guna baja organik seperti kompos atau baja palet tahi ayam. Kadang guna yang semi-organik seperti baja 888. Tengok keadaan dan stok baja yang ada di rumah.
Kuantiti tidaklah banyak. Satu sudu makan baja organik memadai untuk sayuran berdaun seperti kangkung, sawi atau bayam pada setiap pasu.
Bubuh baja pada jarak 5 cm jauh dari pangkal. Apa-apa baja tetap sifatnya panas. Jika terkena daun atau batang pokok boleh menyebabkan lecur dan seterusnya mati. Terutama baja sebatian seperti baja NPK hijau.
Kita boleh tambah baja setiap dua minggu sehinggalah seminggu sebelum tuai.
Kita tidak tahu bila serangga akan mula menyerang tanaman kita. Saya biasa guna cuka kayu sebagai langkah pencegahan.
Jika ada kesan serangan, saya akan membuat racun organik dari bawang putih dan cili padi. Untuk resipi racun organik, klik sini.
Akhir sekali sudah tiba masanya untuk kita menuai. Oleh sebab kita berkebun di rumah tentunya kita boleh tuai segar sayuran kita. Tidak perlu kita menunggu masa.
Untuk kangkung, kita boleh hanya kerat 5 cm dari pangkal. Nanti kangkung akan tumbuh lagi. Jimat.
Untuk sayuran lain, boleh terus tuai dengan tarik akar sekali.
Tidak kira di mana anda tinggal, berkebun ini satu aktiviti yang mudah dilakukan. Mulakan dengan berkebun dengan pasu. Bahan dan alatan semua boleh dapat dengan mudah.
Jika gagal, cuba lagi. Tiada istilah berjaya tanpa mencuba. Jika tidak cuba langsung, itu memang gagal selamanya.
Anda mesti ingin tahu lebih lanjut cara berkebun di rumah dengan guna pasu, bukan? Saya ada menulis eBook khas untuk ini. Dapatkan segera di sini.