
Tiada yang lebih menyeronokkan apabila dapat menuai sayur dan buah segar terus ke dapur kita sebagai makanan yang sihat. Lebihan tuaian boleh dikongsikan kepada jiran sekeliling atau dibuat jeruk kemudiannya.
Pada artikel kali ini, saya berkongsi langkah demi langkah membina kebun sayur yang boleh kita praktikkan untuk sesiapa yang tinggal di rumah atas tanah. Untuk apartment, nantikan artikel yang lain.
1. Tapak
Cari kawasan di bahagian rumah kita yang menerima cahaya matahari sekuragnya 4-8 jam sehari. Tapak tersebut perlulah juga dekat dengan sumber bekalan air. Tanah dipilih mestilah dalam keadaan elok dan tidak bertakung air apabila hujan. Atau jika tiada tanah dan semua bersimen, lihat tips tanam dalam pasu.
2. Bina pelan
Sebelum kita sibuk memborong beli benih eloklah kita lukis pelan kebun kita di atas kertas dahulu. Pilih tanaman yang sesuai dengan tapak kita. Kita perlu tahu sama ada tanaman yang kita tanam itu berapa lama boleh ditanam sebelum masuk ke dalam perut kita. Buat juga kawasan untuk kita berjalan dan sampai jarak mana tangan kita boleh mencapai untuk mengekalkan batas dan tuai. Rujuk artikel Batas Timbun.
3. Benih, varieti dan tumbuhan
Untuk penanaman yang berjaya pastikan kita memilih benih yang berkualiti. Istilah varieti tanaman mungkin tidak berapa dikenali di Malaysia. Beli satu atau dua pek dahulu daripada penjual biji benih. Cuba tanam dan lihat perkembangannya.
Belilah benih berkualiti daripada syarikat yang boleh dipercayai. Jangan simpan biji benih melainkan benih itu unik dan sukar didapati.
Jika beli anak pokok pastikan ia segar dan bebas daripada penyakit dan serangga.
4. Kapur dan baja
Kebanyakan tanah di Malaysia adalah tanah berasid dengan pH bawah 4.5. Ini akibat daripada hujan sepanjang tahun. Untuk tanaman membesar dengan baik, pH 5.5-6.0 sudah memadai.
Untuk itu, penggunaan kapur pertanian adalah perlu jika kita ingin berkebun dengan jayanya. Satu genggam kapur pertanian untuk satu pasu dengan saiz diameter 35 cm dan ketinggian 30 cm sudah memadai. Untuk lebih tepat, boleh buat sendiri ujian pH.
Sayur boleh diklasifikasikan sebagai ringan, sederhana, berat dalam mengambil baja berdasarkan saranan pembajaan untuk setiap kumpulan.
| Berat 8-8-8 dengan kadar 200g per 1 m² |
Sederhana 8-8-8 dengan kadar 100g per 1 m² |
Ringan 8-8-8 dengan kadar 50g per 1 m² |
||
| kubis | artichoke | timun | labu | kacang buncis |
| daun sup | asparagus | terung | ||
| salad | kacang panjang | sayur daun | rhubarb | |
| bawang | lobak merah | bendi | squash | |
| ubi keledek | melon | tembikai | Swiss chard | |
| tomato | lobak putih | cili benggala | watermelon | |
| terung | cili padi | cili besar | ||
Bubuh baja berdasarkan keperluan setiap tumbuhan. Kebanyakan sayur perlu baja di peringkat permulaan penanaman dan apabila mula matang. Saya sarankan pembajaan dilakukan 2 minggu sekali. Kiraan mudah, dengan 5g per pokok.
5. Penyediaan tanah
Mulakan penyediaan tanah dengan menanam daun-daun pokok. Tambah bahan organik seperti kompos, habuk kayu atau baja tahi ayam. Bahan organik mampu membaiki struktur tanah dan menyuburkan tanah.
6. Mula bercucuk tanam
Jarak antara tanaman boleh didapati di carta penanaman sayur. Di setiap pek benih Kebun Bandar juga ditulis jarak sesuai untuk setiap tanaman.
7. Gembur
Tanah perlu digembur agar tidak padat dan oksigen dapat masuk ke dalam tanah. Gembur dengan penggembur tangan ataupun cangkul. Jangan gembur terlalu dalam kerana mungkin akan terkena akar pokok. Terlalu kerap menggembur akan menyebabkan tanah cepat kering.
8. Sungkup
Sungkup dari bahan yang mudah didapati seperti jerami, daun-daun atau kompos mampu memelihara kelembapan tanah, mengawal rumput rumpai dan mengurangkan penggemburan.
Bubuh sungkup secukupnya sekitar 5 hingga 10 cm selepas siap batas. Surat khabar juga boleh dijadikan sebagai sungkup sekitar dua hingga tiga lapis sekitar tumbuhan. Bubuh 5 cm jerami atau kompos di atas surat khabar tersebut.
9. Penyiraman
Siram kebun sekerap yang perlu agar kelembapan kekal. Apabila tidak hujan, siram lama sekali seminggu bagus untuk tanah liat. Tanah berpasir mungkin memerlukan siraman selalu.
Siram di awal pagi agar daun cepat kering. Ini membantu mengelak serangan penyakit. Sebolehnya siram di bahagian bawah sahaja bagi mengelakkan penyakit pada tumbuhan akibat lembab.
10. Kawalan serangga dan penyakit
Kerosakan teruk pada tanaman kita boleh berlaku akibat serangan serangga dan penyakit. Setiap serangga dan penyakit lain rawatannya. Lebih elok kita mempraktikkan penanaman yang baik agar kedua-dua perkara ini dapat dielakkan.
11. Tuai
Tuan sayur sebaik sahaja ia matang. Biarkan ia terlalu di pokok akan membawa kepada masalah penyakit dan serangga. Sayur buah seperti kacang panjang, bendi, labu dan timun pula akan terlebih matang dan menyebabkan pokok tidak menghasilkan buah lagi.
Lebihan tuaian boleh disimpan di dalam peti ais atau dijeruk sebaik sahaja dituai.
Sumber:
