Kelaran – Ubat Untuk Pokok Mangga Tak Berbuah

emel kebun bandar
; Sepanjang dua minggu yang lalu saya ada menyebut teknik kelaran (atau girdling technique) yang telah saya buat pada pokok tin dan pokok mangga. Beberapa sahabat serta tuan admin Izham Alias mencadangkan dibuat pautan kepada maklumat ini. Maka dikesempatan ini saya tuliskan sebuah nota ringkas yang menerangkan sedikit-sebanyak tentang teknik ini. Teknik girdling diamalkan oleh penanam pokok buah-buahan, baik untuk kegunaan sendiri atau di ladang. Ada dua tujuan teknik ini dilakukan: a) Untuk mendapatkan buah yang banyak pada sesuatu musim, dan untuk menjadikan buah lebih besar dan lebih perisa. b) Untuk memaksa pokok berbuah. Ramai yang merungut pokok yang ditanam sehingga kini tak berbuah. Maka mahu ditakik dan ditabur garam. Ada yang cadangkan bakar pangkalnya. Disuruh bercakap dan berunding dengan pokok. Malah ada yang suruh ikatkan selipar buruk. Paling dahsyat, disuruh sarungkan coli pada pokok durian! Apa sahajalah, asalkan bahagia. Jika tak dapat buah, dapat lucunya. Apa kata buat teknik kelaran ini? Teori: Tumbuhan membentuk makanan (dalam bentuk karbohidrat, atau disebut juga “gula”) melalui fotosistesis di daun. Kemudian gula ini disebarkan ke seluruh pokok, tetapi akhirnya dihantar ke akar untuk tujuan simpanan. Jalan penghantaran bahan gula ini adalah melalui tisu floem yang banyak terdapat pada kulit. Pokok yang lambat berbuah itu terus-terus sahaja menyimpan gula ini di akar. Ini kita tak mahu. Kita mahu dia simpan di dahan-dahan dan apabila cukup bekalan, cepat-cepat membentuk bunga dan buah. Jika itu yang kita mahu, maka lakukan sesuatu supaya gula itu tidak dihantar ke akar. Bagaimana? Potong jalan penghantaran itu. Iaitu dengan membuat kelaran pada kulit. Kelaran boleh dibuat pada: a) pangkal dahan-dahan utama b) sekeliling paksi pokok. Cara membuat kelaran: Senang sahaja. Kelar. Potong kulit sehingga menyentuh tisu kayu. Sentuh saja. Jangan potong kayu itu. Buat potongan pertama. Kemudian potongan kedua. Lebar kelaran ini hendaklah tidak lebih daripada 5mm. Jika pokok kecil seperti pokok tin, 2mm cukuplah. Potonglah menggunakan pisau yang tajam. Jika pokok ini subur, selepas dua potongan dibuat, tinggal siat sahaja. Kulitpun tanggal. Lihat gambar. Selepas kelar, terpulanglah. Boleh dibalut dengan plastik cantuman. Boleh cat. Boleh biarkan sahaja. Maka selepas beberapa minggu, seharusnya pokok mula mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah. Selepas dua bulan, kelaran tadi sudah bercantum semula. Sebab itu jangan kelar lebar. Nanti pokok mati. Tinggal bacakan talkin sahajalah. Jika kelaran ini bertujuan untuk membesarkan dan memaniskan buah, kelarlah selepas bunga kembang. Jangan lewat. Jangan terlalu awal. Jika kelaran bertujuan untuk memaksa pokok berbuah, buatlah bila anda geram dan marah-marah. Saya tunjukkan gambar sebenar girdling pada dahan mangga Honey Dew yang saya buat. Kaedah: Kelaran boleh dibuat dengan dua cara iaitu dengan bersambung atau bertindih. a) bersambung jika anda dapat buat potongan dengan lurus. Jika mahu buat begini, tandakan dengan pensel atau pen. Baru potong dengan pisau. b) Bertindih. Hujung tidak bertemu tetapi MESTI bertindih. Kalau tak bertemu? Kalau tak bertindih? Kalau tak ikut teknik dan nasihat cikgu, tak menjadilah. Selamat mencuba. Abdul Hamid Ahmad Bandar Sierra, Kota Kinabalu

Perkara yang Perlu Diperhatikan Sebelum Mencuba

Teknik kelaran atau girdling ialah teknik lanjutan dan berisiko. Ia hanya sesuai untuk pokok yang sihat, cukup umur dan subur tetapi tidak berbuah. Jangan lakukan pada pokok yang masih kecil, lemah, sakit atau baru dipindahkan. Kelaran yang terlalu lebar atau terlalu dalam boleh membunuh pokok kerana ia memotong saluran makanan sepenuhnya.

Peringatan Keselamatan

  • Gunakan pisau yang sangat tajam dan bersih. Sapu pisau dengan alkohol untuk mengelakkan jangkitan.
  • Pakai sarung tangan kerana kerja ini melibatkan pisau yang tajam.
  • Jangan kelar keseluruhan lingkaran dalam satu pokok yang lemah. Mulakan pada satu atau dua dahan utama dahulu.
  • Hadkan lebar kelaran kepada tidak melebihi 5 milimeter untuk pokok besar dan 2 milimeter untuk pokok kecil seperti pokok tin.
  • Selepas kelar, jaga pokok dengan siraman yang mencukupi dan baja yang sesuai supaya pokok tidak tertekan.

[ Beli pisau cantuman (shopee) ]
[ Beli plastik pembalut cantuman (shopee) ]

Masa yang Sesuai

Masa kelaran bergantung kepada tujuan. Untuk membesarkan dan memaniskan buah, kelar selepas bunga kembang dan jangan terlalu lewat atau terlalu awal. Untuk memaksa pokok berbuah, kelar pada pokok yang sudah dewasa tetapi tidak berbuah, biasanya pada awal musim sebelum pembungaan normal. Pemerhatian di kebun sendiri menunjukkan hasil yang berbeza mengikut spesies, jadi catat tarikh dan keputusan.

Kesimpulan

Kelaran ialah satu alat yang berguna bagi pekebun yang sabar dan berhati-hati. Ia bukan jawapan kepada semua pokok yang tidak berbuah. Semak dahulu faktor lain seperti cahaya, baja berlebihan nitrogen, saliran dan umur pokok sebelum memutuskan untuk melakukan kelaran.

Sebahagian pautan dalam pos ini ialah pautan afiliasi Shopee. Jika anda membeli melalui pautan tersebut, saya mungkin menerima komisen kecil tanpa menambah kos kepada anda.

emel kebun bandar

Comments

    Comments are closed