Lambakan biji benih di rumah. Hal ini terjadi pada semua pekebun. Apabila motivasi berkebun tinggi, kita akan pergi ke nurseri tanaman membeli pelbagai jenis biji benih.

Apabila sampai di rumah barulah kita mula berfikir. Kita bukanlah ada ruang yang banyak untuk menyemai semua benih yang kita beli. Lalu kita simpanlah separuh untuk tempoh yang tertentu. Tetapi timbul satu persoalan. Berapa lama kita boleh simpan biji benih itu? Perlu diketahui bahawa biji benih juga ada tempoh luput.

Setelah beberapa lama di dalam simpanan

Apabila masa mula memakan diri kita, barulah kita sedar tentang pek benih yang masih tersimpan nun di ceruk dapur atau entah di bilik mana. Anda tertanya, masihkan boleh guna biji benih ini? Yang entah bila anda beli (sepatutnya anda labelkan tarikh anda beli benih tersebut!)

Jawapan saya, boleh tiada masalah. Benih itu jika bercambah akan tumbuh seperti biasa, menghasilkan tanaman yang boleh hidup subur seperti biasa.

Yang menjadi keutamaan terletak bukan pada kualiti anak benih tetapi peratus percambahan anak benih itu nanti. Lagi lama kita simpan biji benih, lagi sukar ia akan bercambah.

Berapa lamakah masa biji benih itu elok?

Bagi biji benih bercambah, ia perlulah bernas atau hidup. Semua biji benih yang terhasil daripada pokok induknya masih hidup lagi.

Tiga perkara yang memberi kesan kepada biji benih adalah:

  1. Umur
  2. Jenis
  3. Keadaan penyimpanan

Umur

Kebanyakan biji benih kekal bernas pada tahun pertama, dan tahun kedua. Peratus percambahan mula menurun setelah tahun pertama.

Jenis

Jenis biji benih memberi kesan berapa lama ia boleh kekal bernas. Biji benih seperti lada dan jagung susah untuk bertahan selama 2 tahun. Manakala biji benih seperti kacang panjang, kacang tanah, tomato dan lobak, boleh bertahan sehingga 4 tahun lamanya. Biji benih seperti timun dan salad boleh mencecah sehingga 6 tahun tempoh penyimpanan.

Keadaan penyimpanan

Biji benih anda mempunyai peluang untuk hidup lama jika disimpan di tempat yang betul. Biji benih lebih kekal hidup apabila disimpan di tempat yang kedap udara, sejuk dan gelap. Antara tempat terbaik itu adalah di dalam peti ais anda.

Namun begitu, kebanyakan paket biji benih yang dijual di nurseri atau pasaraya tidak diketahui tarikh pembungkusan dan tarikh luputnya. Jadi sukar untuk kita mengagak tarikh luput.

Lebih elok kita membeli biji benih dari nurseri yang ramai pembeli. Ini kerana stok biji benih baru selalu masuk. Jadi kita tidak perlu risau biji benih yang dijual adalah biji benih lama.
Bagaimana jika nurseri baru?

 

Kita boleh membeli 1 atau 2 pek biji benih dahulu dan membuat ujian percambahan biji benih. Jika peratus percambahan melebihi 80%, tanda biji benih itu masih baru lagi. Jika sebaliknya, jangan lah meletak harapan untuk ke nurseri itu lagi membeli paket biji benih.

Pernahkah anda mengalami masalah ini? Meriahkan bahagian komen dengan pandangan dan cadangan anda. Saya suka membacanya.

Tidak Mahu Terlepas Maklumat Terkini Kebun Bandar?
Saya nak kongsi PERCUMA je buat masa ni. Cepat join!

LANGGAN EMEL KEBUN BANDAR

Masukkan nama dan alamat emel anda

*Kami hormati privasi anda. Bila-bila masa anda boleh berhenti melanggan.