Aktiviti berkebun menjadi hobi bagi sesetengah rakyat Malaysia. Terutama yang sudah berumur. Sama seperti hobi-hobi lain, berkebun memerlukan alatan yang sesuai. Yelah, hobi memancing tentunya perlukan pancing. Hobi bermain golf tentunya memerlukan kayu golf. Berkebun pula tidak tersekat hanya kepada pasu dan biji benih.

Jika kita pergi singgah sebentar di kedai pertanian, kita mungkin terpengaruh untuk membeli pelbagai alatan berkebun yang dijual. Namun tidak semua yang kita lihat di kedai pertanian itu sesuai untuk pekebun rumah seperti kita.

Pengalaman saya berkebun membolehkan saya menyenaraikan alat-alat yang wajib ada di kebun kita. Tidak kiralah kebun kita itu hanya sekangkang kera mahupun seluas lebih daripada kangkang kera.

1. Sudip tangan

Sudip tangan amat sesuai untuk penanaman pokok kecil seperti herba dan sayur. Ia juga sesuai untuk penanaman dalam pasu, membuang rumpai, dan mencampurkan tanah untuk pasu. Jika anda mempunyai wang lebih, seeloknya belilah sudip tangan keluli tahan karat. Ia tahan lasak dan selalunya mempunyai tempat pemegang yang selesa.

2. Penggembur tangan

Penggembur tangan seperti namanya berfungsi untuk menggembur tanah dan membuang rumpai. Tanah perlu digembur secara berkala agar tidak padat. Ini kerana tanah yang padat mengganggu pengairan air dan kemasukan oksigen bagi keperluan akar. Penggembur tangan jenis besi tahan karat amat sesuai digunakan kerana tahan lama dan sesuai untuk mengorek tanah yang keras.

3. Gunting pangkas / Sekateur (secateurs)

Gunting pangkas digunakan untuk mencantas dan membuang ranting mati, membentuk rupa pokok, dan menuai tanaman. Sepasang sekateur boleh menjadi mahal mengikut jenis dan kualiti. Cari sekateur yang boleh dileraikan untuk kemudahan pembasuhan dan pengasahan. Pastikan juga ia selesa dengan pegangan tangan anda kerana anda akan kerap kali menggunakannya untuk mencantas di kebun anda. Jika anda ingin membaca lebih lanjut berkaitan ini, saya sarankan baca Alat Berkebun – Gunting Pangkas.

4. Pisau cantuman tunas

ย Ia digunakan untuk membuat cantuman dan menuai tanaman sebagai ganti kepada sekateur.

5. Pencungkil rumpai

Ia nampak kecil tapi jangan dipandang rendah kemampuannya membantu anda membuang rumpai di kebun anda.

6. Penyiram (watering can/pot)

Ini penting jika kebun anda berada jauh dari sumber air. Jika tak pun, ia boleh menjimatkan penggunaan air di rumah anda.

7. Cangkul

Setiap pekebun wajib ada cangkul! Memang ada yang berkata pada zaman ini mesin menguasai semuanya, tetapi itu untuk skala besar. Bagi skala kecil bagi pekebun di rumah, cangkul penting untuk menggembur, merata dan memecahkan tanah, membuat batas, membuang rumpai, dan membuat lubang untuk tanam anak pokok.

8. Penggembur/Cangkul tiga mata

Selepas mencangkul, kita perlu juga menggembur tanah. Penggunaan cangkul tiga mata atau penggembur amat sesuai selepas kawasan penanam dibentuk dengan cangkul.

9. Topi kebun

Topi kebun boleh jadi topi jerami atau topi kepala. Ia mengikut kesesuaian orang. Pentingnya topi kebun bagi melindungi kepala dari terik panas matahari dan memudahkan kerja.

Topi Pekebun Kacak

10. Sarung tangan

Ia penting bagi melindungi tangan daripada sebarang kecederaan semasa berkebun. Sarung tangan kain amat sesuai digunakan. Ia dapat elak tapak tangan daripada melecur semasa aktiviti mencangkul berlangsung.

Itulah 10 alat berkebun yang wajib kita ada apabila mula berkebun. Jika tiada, pasti rasa tidak lengkap.

Ada yang nak tambah lagi senarai ini? Jangan lupa tinggalkan pandangan dan komen anda di bawah untuk sama-sama kita kongsikan.

[/fusion_text][/fusion_builder_column][/fusion_builder_row][/fusion_builder_container]